Allah SWT menjelaskan bahawa syaitan adalah musuh kepada para nabi dan juga pada semua umat manusia. Hal ini kerana, syaitan akan sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia dengan pelbagai cara dan pendekatan. Dalam usaha ini juga pada syaitan memperdaya manusia dengan pelbagai tipu daya agar golongan manusia tersebut menjadi pengikut dan pembantu setiap mereka.
Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 112:
Terjemahannya: “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh daripada syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya, dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.”
Dalam hadith, Nabi Muhammad SAW pernah menyebutkan kepada Abu Zar RA bahawa di kalangan manusia juga terdapat syaitan. Diriwayatkan daripada Abu Zar RA nerkata bahawa beliau telah masuk ke dalam masjid dan menuju kepada Rasulullah SAW serta duduk berhampiran baginda. Lalu, Nabi Muhammad SAW bersabda kepadanya:
Terjemahannya: “Wahai Abu Zar, mohonlah perlindungan kepada Allah SWT daripada kejahatan syaitan-syaitan daripada kalangan jin dan manusia.” Lalu, bertanya (Abu Zar): “Adakah di kalangan manusia itu syaitan?” Jawab Rasulullah SAW: “Ya”.”
Allah SWT menjelaskan bahawa iblis dan syaitan tidak mampu untuk menipu manusia kecuali penipuan itu berlaku kepada mereka yang mengambil syaitan sebagai ikutan atau mengikut langkah-langkah syaitan tersebut.
Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 42:
Terjemahannya: “Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang-orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri).”
Malik bin Dinar berkata bahawa sesungguhnya syaitan manudia itu adalah jauh lebih jahat berbanding dengan syaitan jin. Ini kerana, jika dipohon perlindungan daripada Allah SWT, nescaya berundurlah syaitan jin itu. Sedangkan, syaitan manusia tetap akan datang dan menarik seseorang kepada maksiat.
Manakala Ibnu Abbas pula menyatakan bahawa iblis telah membahagikan manusia kepada dua jenis golongan iaitu satu golongan lagi kepada manusia dengan tujuan untuk mencelakan mereka agar mereka menjadi musuh kepada Nabi Allah dan para aulia’Nya serta musuh kepada orang-orang yang beriman.
Merujuk kepada hadith, siapakah yang dimaksudkan sebagai syaitan manusia? Syaitan manusia adalah merujuk kepada manusia yang berpura-pura baik pada zahirnya, menunjuk-nunjuk dalam amal ibadahnya, meminta dirinya diangkat sebagai pemimpin, tidak bersetuju dengan al-Quran dan hadith sebagai panduan hidup dan dyariat bahkan sehingga memperkecilkan al-Quran dan al-hadith dengan mengatakan ia tidak lagi sesuai untuk zaman ini, tergelincir iktikadnya, dan sebagainya lagi. Hal ini jelas menunjukkan bahawa syaitan manusia adalah bertopengkan peribadi Muslim, tetapi gerak kerja dan tingkah laku peribadinya adalah bertakhtakan syaitan sebagai raja.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 144:
Terjemahannya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman, adakah kamu hendak mengadakan alasan yang terang nyata bagi Allah untuk (menyeksa) kamu?”
Berdasarkan kepada perbincangan di atas, jelas memperlihatkan bahawa pelbagai cara yang telah dilakukan oleh manusia untuk mendampingi jin atau makhluk halus dengan bermatlamatkan sesuatu kepentingan. Namun demikuan, perdampingan tersebut bukan merupakan sesuatu yang diharapkan, apatah lagi ia bukan sesuatu yang digalakkan dalam ajaran Islam itu sendiri. Hal ini tidak lain kerana makhluk halus seperti syaitan, iblis dan termasuk jin mempunyai agenda khusus untuk menyesatkan manusia dengan membuat dan menjana pelbagai tipu daya yang kadangkala pada zahirnya nampak baik, tetapi sebenarnya adalah helah semata-mata.