Surah Al-Ikhlas dan Mu’awwidzatain

An-Nasa’i meriwayatkan dari Abdullah RA, bahawasanya pada suatu hari Rasulullah SAW bersabda kepada dia: “Ucapkanlah!” Abdullah RA bertanya: “Apakah yang harus ku ucapkan?” Rasulullah SAW menjawab: “Qul huwallahu ahad (Al-Ikhlas) dan Al-Mu’awwidzatain (Al-Falaq dan An-Nas) ketika kamu memasuki waktu petang dan ketika kamu memasuki waktu pagi sebanyak tiga kali, nescaya itu akan mencukupimu dari segala sesuatu.” (HR. An-Nasa’i)

Dari Abu Sa’id Al-Khudri RA, dia berkata: “Nabi Muhammad SAW dahulu biasa memohon perlindungan dengan Allah SWT, dari kejahatan jin dan mata manusia sampai Al-Mu’awwidzatain turun. Ketika kedua-dua surah itu turun, maka baginda membaca kedua-duanya dan tidak lagi membaca doa selainnya.” (HR. At-Tirmizi dan An-Nasa’i)

Dari Aisyah RA dia berkata: “Apabila Rasulullah SAW hendak tidur, baginda mengumpulkan kedua belah tapak tangan baginda kemudian meniupnya, lalu membaca surah Qul huwallahu ahad (Al-Ikhlas), Qul a’udzu birabbil falaq (Al-Falaq), dan Qul ‘audzu birabbinnas (An-Nas), kemudian mengusapkan kedua belah tapak tangan baginda ke seluruh tubuh bagainda. Baginda SAW memulakannya dari kepala dan wajah, lalu ke seluruh tubuhnya. Baginda melakukan itu sebanyak tiga kali.” (HR. Al-Bukhari)

Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah berkata tentang an-nafts (tiupan atau hembusan ludah):

“Jiwa si peruqyah berhadapan dengan roh-roh jahat, dan kekuatannya bertambah sesuai kemampuan jiwanya berhadapan dengannya. Setiap kali jiwa peruqyah menguat, maka ruqyah yang dihasilkan kian sempurna dan usahanya menggunakan perantaraan hembusan itu berfungsi sebagai sengat bagi roh-roh jahat tersebut.

Pada hembusan itu terkandung rahsia yang lain, yakni hembusan itu merupakan sarana yang digunakan oleh roh-roh baik mahupun jahat. Hembusan ini juga dilakuka oleh tukang sihir sebagaimana yang dilakukan oleh orang yang beriman.

Allah SWT berfirman: “Dan dari kejahatan para penyihir wanita yang menghembus pada ikatan.”

Seseorang akan menyesuaikan diri dengan suasana kemarahan dan permusuhan, lalu menghantarkan hembusan nafasnya laksana anak panah terhadap mangsanya, dibantu dengan meludah yang ada sedikit air liur padanya, menciptakan keadaan tertentu yang mempunyai pengaruh. Tukang-tukang sihir menggunakan hembusan ludah sebagai alat bantu yang nyata. Apabila dia tidak berhubung terus dengan tubuh orang yang disihir, maka dia menghembus pada ikatan, lalu mengucapkan mantera sihir. Tukang sihir menjalankan pembedahan sihirnya terhadap orang yang dituju dengan perantaraan roh-roh hina dan jahat, lalu serangan sihir itu akan dihadapi oleh roh yang bersih dan baik dengan cara mempertahankan diri, melafazkan ucapan ruqyah, dan bantuan hembusan. Mana di antara kedua-duanya yang lebih kuat, maka Dialah yang menang. Permusuhan dan senjata sama seperti permusuhan dan senjata dalam perang fizikal.

Faktor penentu dalam pertempuran dan pertandingan rohani dan jasmani ini ialah alat-alat dan tenteranya. Akan tetapi sesiapa yang berjala dikalahkan oleh perasaannya, maka dia tidak akan merasakan pengaruh, tindakan dan reaksi dari roh-roh jahat. Hal ini disebabkan bertakhtanya kekuasaan perasaan ke atas diri dan jauhnya dirinya dari dunia roh, peraturan dan tindakannya.

Yang dimaksudkan ialah bahawa rohani itu, apabila ia kuat, lalu dia menyesuaikan diri dengan makna-makna Al-Fatihah, lalu menggunakan hembusan nafas dan ludah sebagai sarana, maka dia akan mampu menghadapi kesan buruk yang muncul dari roh-roh yang kotor itu, lalu Allah SWT menghilankannya. Wallahu a’lam.

Petikan daripada buku “Ensiklopedia Rawatan Islam” Ibnu Qayyim Al-Jauziyah, Prof. Sya’ban Ahmad Solih