Sihir Menurut Islam

Sihir bukanlah perkara baru dalam alam manusia. Ia telah lama wujud dan diamalkan sejak zaman dahulu kala. Asal usul sihir adalah daripada syaitan. Merekalah yang mempelopori ilmu tersebut dan diajarkan kepada manusia bukan untuk kebaikan malah untuk kejahatan kerana syaitan itu adalah musuh utama manusia. Mana mungkin musush akan mengajar atau memberi kebaikan kepada musuhnya.

Sejauh yang dapat dikesan daripada sejarah manusia, ilmu sihir dikatakan telah muncuh sejak zaman Nabi Idris AS dan dikatakan telah berkembang dalam kalangan Bani Israil di Babylon (Iraq) dalam tahun 586 sebelum Masihi, yang dikaitkan dengan kisah Harut dan Marut yang mengajar ilmu sihir itu kepada manusia.

Pada zaman Nabi Musa AS, ilmu sihir menjadi ilmu yang amat digemari oleh masyarakat pada ketika itu. Ramai ahli-ahli sihir atau tukang-tukang sihir yang menjalankan profesion sihir itu dengan bebas dan digeruni oleh masyarakat.

Apabila Nabi Musa AS berdakwah kepada Firaun dan Bani Israil umumnya dan mengajak mereka kepada agama Tauhid, Allah SWT membekalkan kepada Musa AS mukjizat tongkat yang boleh bertukar menjadi ular dan tangannya boleh mengeluarkan cahaya. Firaun dan Bani Israil menolak kejadian tersebut sebagai mukjizat, malah mereka mengatakan bahawa itu adalah perbuatan sihir.

Firaun dengan mudah mengumpulkan ramai ahli-ahli sihir yang masing-masing berkeupayaan melakukan kerja sihir. Akan tetapi dengan pertolongan Allah SWT, Nabi Musa AS dengan mudah dapat mengalahkan semua ahli sihir tersebut sehingga mereka mengakui Nabi Musa AS sebagai nabi dan mereka beriman dengannya.

Sihir ada dalam mana-mana masyarakat, baik masyarakat maju seperti yang wujud sekarang ini mahupun masyarakat mundur. Ahli-ahli sihir mengambil kesempatan berlandaskan profesion mereka di mana-mana sahaja dengan taktik dan strategi yang boleh menawan mangsa untuk faedah keduniaan semata-mata tanpa mempedulikan nilai-nilai murni kehidupan.

Ahli-ahli sihir ini biasanya melakukan apa sahaja yang diminta untuk memuaskan hati pelanggan mereka asalkan sahaja mereka sanggup menyediakan bayaran yang lumayan.

Kerana itu berlakulah perbuatan sihir yang mengakibatkan mangsa tersebut jatuh sakit dengan tiba-tiba tanpa sebab yang jelas, bermusuh-musuhan, bercerai-berai, gila, runsing yang kronik, malah sehingga membawa maut yang berpunca daripada sihir.

Oleh sebab sihir itu wujud dan berlaku di alam nyata, ia bukan lahi khayalan. Kemudaratannya itu amat ketara dan boleh berlaku ke atas orang biasa di peringkat bawahan dalam ‘hirarki’ masyarakat manusia, malah boleh berlaku sehingga ke peringkat paling atas dan ke atas siapa sahaja yang ditujukan oleh pengamal-pengamal sihir tersebut.

Rasulullah SAW sendiri pernah disihir oleh ahli sihir pada zamannya seperti yang sabit dalam sebuah hadith sahih, menunjukkan seriusnya fenomena sihir itu yang mesti ditangani oleh pihak berwajib. Tindakan yang berkesan dan sesuai denan peredaran zaman haruslah diambil.

Selama ini tidak ada peruntukan dalam mana-mana enakmen atau undang-undang di Malaysia yang boleh diambil tindakan undang-undang ke atas orang yang melakukan sihir jika disabitkan. Oleh sebab itulah, sihir berleluasa pada zaman sekarang ini dan mangsanya semakin ramai. Maka di situ perlu difikirkan tindakan yang berkesan bagi mengatasi gejala sihir ini daripada terus merebak demi menyelamatkan manusia daripada perbuatan jahat manusia yang melakukan sihir.

Kehidupan Jin