Tatkala Allah telah menciptakan Adam, Dia memerintahkan para malaikat untuk sujud kepada Adam. Oleh itu, seluruh malaikat sujud, kerana Allah SWT berfirman:
“Wahai orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar; dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah At-Tahrim:6)
Namun begitu, di sana terdapat makhluk Allah SWT yang mahu beribadah kepada-Nya, tetapi bukan daripada jenis mereka. Sebabnya mereka diciptakan dari cahaya, sedangkan makhluk ini (syaitan) diciptakan dari api. Ketika ujian diselenggarakan, syaitan mengkhianati Allah SWT.
Dia enggan sujud kepada Adam AS dengan alasan dirinya lebih mulia daripada Adam AS. Dia membandingkan asal-usul penciptaan, sementara dia tidak memerhatikan siapa yang memberikan perintah? Hal ini dapat dilihat berdasarkan ayat berikut:
“Allah SWT berfirman: ‘Apakah yang menghalangmu untuk bersujud (kepada Adam) pada waktu Aku menyuruhmu? Iblis menjawab:’Aku lebih baik daripada dia. Kamu ciptakan aku daripada api, sedangkan dia Kamu ciptakan daripada tanah.” (Surah Al-A’raf:12)
Menghairankan apabila setelah itu iblis masih mengakui bahawa zat yang menciptakannya ialah Allah SWT. Dia juga menyatakan bahawa zat yang maha mematikan dan menghidupkan ialah Allah SWT. Pengakuan ini dapat dilihat melalui:
“Iblis menjawab: ‘Berilah tempoh kepadaku sampai waktu mereka dibangkitkan.” (Surah Al-A’raf: 14)
Namun begitu adakah ilmu dapat dimanfaatkan jika tidak diamalkan ? Sudah pasti tidak! Bahkan, keadaan ini akan menjadi malapetaka bagi pemiliknya dan menjadi beban yang berat di hari kiamat kelak. Dalam keadaan inilah, Allah SWT menetapkan pengusiran dan laknat kepada iblis. Allah SWT berfirman:
“Allah SWT berfirman: ‘Keluarlah dari syurga, kerana sesungguhnya kamu (makhluk) terkutuk. Dan sesungguhnya laknat itu tetap menimpamu sehingga hari kiamat'”. (Surah Al-Hijr: 34-35)
Bermula dari sini permusuhan antara Adam AS dengan iblis berakar umbi. Keadaan ini mengakibatkan iblis sentiasa berfikir untuk membalas dendam agar dirinya terhibur.