Perlindungan Diri Daripada Sihir (bhgn 1)

Pemeliharaan Diri Daripada Cengkaman Sihir

Sihir merupakan suatu fenomena yang benar-benar berlaku dan dapat memberikan kesan mudarat, kesakitan dan penderitaan kepada mangsa sihir dengan izin Allah SWT. Penderitaan yang dirasai itu sebenarnya merupakan natijah daripada penglibatan makhluk-makhluk halus jin dan syaitan yang berupaya menyakiti manusia juga dengan izin Allah SWT. Sebenarnya fenomena sihir merupakan suatu bentuk ujian daripada Allah SWT di dalam kehidupan manusia dan suatu bentuk penyakit yang perlu dirawat dan perlu dicegah sebelum ianya menimpa seseorang.

Ajaran Islam telah mensyariatkan pelbagai jenis doa dan wirid yang perlu diamalkan oleh setiap Muslim dalam kehidupan sehariannya khususnya pada waktu pagi (selepas solat subuh) dan petang (selepas solat asar atau maghrib). Seseorang Muslim yang rajin dan beriltizam dengan amalan-amalan doa dan wirid-wirid tersebut, melalui limpahan kurniaan Allah SWT akan sentiasa terpelihara daripada segala rupa bentuk kejahatan dan kesakitan yang boleh dicetuskan oleh makhluk jin dan syaitan. Selain itu, seseorang Muslim itu juga seharusnya sedar bahawa bertakwa kepada Allah SWT merupakan kubu dan benteng yang paling ampuh bagi melepaskan diri daripada segala gangguan dan cengkaman jin dan syaitan.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 99-100:

Terjemahannya: “Sesungguhnya syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh dan kuasa ke atas orang-orang yang beriman dan bertakwakal sepenuh jiwa kepada Tuhan mereka. Sesungguhnya penguasaan syaitan itu hanyalah terhadap orang yang menjadikannya pemimpin mereka dan orang yang melakukan syirik kepada Allah.”

Demikian jugalah keadaan bagi setiap individu Muslim itu seharusnya rajin beramal ibadat yang merangkumi amalan wajib dan sunat serta sentiasa berusaha mendekatkan diri dan rohnya kepada Allah SWT, Zat yang mentadbir dan mengawal sekalian alam.

Selain mengekalkan amalan wajib dan memperbanyakkan amalan sunat, seseorang Muslim itu juga seharusnya berusaha melepaskan diri daripada melakukan pelbagai dosa dan maksiat sama ada dosa kecil mahupun dosa besar. Menurut para ulama sesungguhnya dosa-dosa yang dilakukan oleh manusia diumpamakan sebagai racun yang akan menjauhkan manusia daripada rahmat dan pemeliharaan Allah SWT.

Apabila menjadikan diri dalam dosa dan maksiat, maka syaitan, jin dan iblis pastinya memiliki ruang yang cukup selesa untuk menyakiti dan menderitakan kehidupan orang tersebut.

Firman Allah SWT dalam surah az-Zukhruf ayat 36:

Terjemahannya: “Sesiapa yang berpaling daripada mengingati Allah yang Maha Pemurah maka Kami akan jadikan baginya syaitan lalu syaitan itu menjadi temannya yang tidak pernah berpisah daripadanya.”

Justeru, seseorang Muslim itu seharusnya rajin bertaubat kepada Allah SWT dengan memperbanyyakkan istighfar memohon keampunan daripadaNya. Lantaran itu juga, perlu berusaha menurut keampunan yang dimilikinya untuk sentiasa menjadi hampir dengan Allah SWT, mendapat rahmat dan keredaanNya.

Bagi tujual berkubu dan membentengi diri daripada pelbagai kejahatan dan bala bencana khususnya ganguan, kesakitan dan kejahatan sihir yang dicetuskan oleh makhluk jin dan syaitan, perkara utama ialah menjaga atau memelihara amalan-amalan wajib seperti solat lima waktu sehari semalam dan menutup aurat. Selain itu, sebagai tambahan perlu mengamalkan bacaan-bacaan khususnya doa yang dipetik daripada al-Quran, as-Sunnah dan amalan ulama-ulama muktabar untuk dijadikan “wirid” harian pada waktu pagi dan petang.

Baca bahagian kedua di sini

Kehidupan Jin