Penyebab Gangguan Syaitan Di Rumah (Bahagian 12)

MENCACI SAHABAT RASULULLAH

Pengertian sahabat Rasul adalah orang yang pernah bertemu dengan Rasulullah SAW dalam keadaan iman dan Islam. Sebaik-baik manusia yang hidup dari masa ke masa, adalah mereka yang hidup sezaman dengan Rasulullah SAW, sedang mereka dalam keadaan beriman. Baru kemudian generasi di belakangnya, lalu generasi di belakangnya, dan seterusnya. Barangsiapa menghina atau mencaci maki para sahabat, bererti dia telah melakukan perbuatan dosa yang dilarang agama. Dalam perkara ini Rasulullah SAW telah menegaskan:

“Allah telah berfirman: “Barangsiapa memusuhi kekasih-Ku, sungguh Aku mengizinkan berperang dengannya.” (HR. Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)

Perihal larangan mencaci maki sahabat, Rasulullah SAW telah menegaskan:

“Janganlah kamu mencaci sahabatku. Demi Allah yang diriku berada dalam kekuasaan-Nya, andaikata salah seorang di antara kamu berinfak emas sebesar gunung Uhud, belumlah dapat mengimbangi satu genggam atau setengah genggam kebaikan para sahabat.” (HR. Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)

Anas bin Malik juga telah menegaskan: “Ada sekumpulan sahabat Rasul yang mengatakan: “Pada suatu ketika kami pernah dicaci maki, kemudian Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa mencaci maki sahabatku, maka dia akan dilaknat Allah, malaikat dan seluruh umat manusia.” (HR. Bukhari dan Muslim dari Anas bin Malik)

Dalam riwayat lain Rasulullah SAW telah menegaskan: “Takutlah kepada Allah SWT, takutlah kepada Allah SWT dalam urusan sahabat-sahabatku. Janganlah kamu jadikan mereka sasaran makian sesudahku. Barangsiapa mencintai mereka, maka dengan kecintaanku aku mencintai dia. Barangsiapa membenci mereka, maka dengan kebencianku aku membenci dia. Barangsiapa menyakiti mereka, bererti dia telah menyakiti aku. Barangsiapa menyakiti aku, bererti telah menyakiti Allah. Dan barangsiapa menyakiti Allah, maka Allah akan melemparkan dirinya ke dalam neraka.” (HR. Tirmidzi dari Abdullah bin Mughafal)

Rasulullah SAW melarang umatnya mencaci maki para sahabat, baik dalam bentuk perilaku, kata-kata mahupun yang lain. Barangsiapa mencaci maki mereka, bererti dia kufur, dan diancam dengan seksa neraka. Sebaliknya, barangsiapa mencintai dan memuliakan para sahabat, dia akan dicintai oleh Rasulullah SAW dan dijamin mausk syurga. Kerana itu, kita harus selalu merenungi dan menghayati perjuangan para sahabat dalam menegakkan agama Islam, hingga tumbuh perasaan ingin melanjutkan perjuangannya, serta mempunyai perasaan hormat dan mencintai mereka.

Dalam sebuah riwayat, Ibnu Mas’ud menerangkan, bahawa Rasulullah telah menegaskan: “Apabila ada orang mencaci sahabatku, maka hentikanlah. Apabila ada orang menuturkan tentang ramalan bintang, maka hentikanlah. Dan apabila ada orang membicarakan takdir, maka hentikanlah.” (HR. Thabrani dan Ibnu Hibban dari Ibnu Mas’ud)

Perihal keistimewaan para sahabat, telah banyak diterangkan dalam kitab-kitab tarikh. Di antara sekian ramai sahabat, menurut para ulama ahlus-sunnah, ada sepuluh orang yang memiliki keistimewaan luar biasa. Mereka mendapat jaminan syurga, sebagaimana telah ditegaskan dalam Al-Quran:

“Dan orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama masuk Islam di antara orang-orang Muhajirin dan Ansar, dan orang-orang yang mengikut mereka dengan baik, Allah reda kepada mereka dan mereka pun reda kepada Allah, dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya untuk selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar.” (At-Taubah: 100)

Di antara sepuluh sahabat Muhajirin dan Ansar yang mendapat jaminan syurga, yang paling istimewa adalah Abu Bakar Shidiq, Umar bin Khatab, Utsman bin Affan dan Ali bin Abi Talib. Yang demikian, tidak diragukan lagi kecuali oleh orang-orang yang suka berbuat bidaah, atau orang munafik yang suka membuat keonaran.

Mengikut sunnah para sahabat, adalah bahagian dari ketaatan terhadap Rasulullah SAW. Sebab baginda telah menegaskan:

“Hendaklah kamu berpegang teguh kepada sunnahku dan sunnah Khulafaur Rasyidin yang mendapat petunjuk sesudahku. Gigitlah ia dengan gigi gerahammu, dan jauhilah olehmu perkara-perkara yang baru dalam agama.” (HR. Tirmidzi dari Irbadah bin Sariyah)

Yang dimaksudkan Khulafaur Rasyidin adalah Abu Bakar, Umar bin Khathab, Usman bin Affan, dan Ali bin Abi Talib. Mereka terpilih menjadi khalifah sesudah Rasulullah SAW meninggal.

Perihal keistimewaan Abu Bakar RA, banyak ayat Al-Quran yang menerangkan. Di antaranya adalah firman Allah SWT:

“Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan memberi bantuan kepada kaum kerabatnya, orang-orang yang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (An-Nur: 22)

Ayat ini berkaitan dengan Abu Bakar, yang bersumpah tidak akan memberikan nafkah kepada keluarganya yang masih kafir. Tetapi, kemudian mendapat teguran. Abu Bakar, adalah seorang kaya raya yang sangat dermawan.

Dalam ayat lain diterangkan pula tentang keistimewaan Abu Bakar, ketika berdua-duaan bersama Rasulullah SAW di dalam gua Tsur. Dalam perkara ini Allah SWT telah menegaskan:

“Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad), maka sesungguhnya Allah telah menolongnya. Iaitu ketika orang-orang kafir Makkah mengeluarkannya dari Makkah, sedangkan dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya: “Janganlah kamu berduka citam sesungguhnya Allah berserta kita.” Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada Muhammad dan pembantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya.” (At-Taubah: 40)

Dalam ayat lain diterangkan pula tentang keistimewaan Abu Bakar RA, sebagai seorang yang pertama kali beriman kepada Rasulullah SAW. Dalam perkara ini Allah SWT telah menegaskan:

“Dan orang yang membawa kebenaran (Muhammad) dan membenarkannya, mereka itulah orang-orang yang bertakwa.” (Az-Zamar: 33)

Orang yang membenarkan risalah Muhammad SAW pertama kali, adalah Abu Bakar RA, hingga dia disebut sebagai As-Sabiqunal-Awwalun.

Perihal keistimewaan Abu Bakar RA, dalam sebuah riwayat diterangkan: “Suatu ketika Anas bin Malik RA duduk bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba datang salah seorang lelaki dari kalangan sahabat yang kakinya berlumuran darah. Rasulullah SAW kemudian memanggilnya, seraya bertanya: “Kena apa kakimu itu.” Jawab lelaki: “Ya Rasulullah, tadi aku sedang berjalan-jalan, tiba-tiba bertemu dengan anjing milik seorang munafik, lalu anjing itu menggigit kakiku hingga berdarah.”

Rasulullah SAW kemudian bersabda: “Silakan duduk dulu.” Lelaki itu kemudian duduk. Tidak lama kemudian, datang seorang lelaki menghadap Rasulullah SAW, yang kakinya juga berlumuran darah. Lelaki itu berkata: “Ya Rasulullah, sungguh tadi aku sedang berjalan-jalan, tiba-tiba bertemu dengan anjing milik seorang munafik, lalu anjing itu menggigit kakiku hingga berdarah.”

Berdasar laporan dua orang sahabat, dan menyaksikan sendiri bekas luka gigitan anjing di kakinya, Rasulullah SAW segera memerintahkan kepada para sahabat agar membunuh anjing milik orang munafik itu. Para sahabat kemudian pergi bersama Rasulullah mencari anjing yang dimaksudkan. Ketika bertemu, anjing itu terys duduk bersimpuh di hadapan Rasulullah SAWM seraya dengan suara yang fasih berkata: “Ya Rasulullah, janganlah engkau membunuh aku. Sebab aku adalah bahagian dari makhluk yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.”

Kemudian Rasulullah SAW bertanya: “Tetapi, mengapa engkau menggigit dua orang sahabatku?” Jawab anjing: “Sungguh aku adalah seekor anjing yang diberi tugas oleh Allah SWT untuk menggigit setiap orang yang menghina sahabat Abu Bakar Shidiq.” Mendengar jawapan si anjing, lalu Rasulullah SAW bersabda: “Hai dua orang sahabatku, adakah engkau telah mendengar jawapan dari anjing tadi?” Jawab kedua-dua orang sahabat: “Ya, kami telah mendengarnya. Mulai waktu ini aku bertaubat, dan berjanji tidak akan berprasangka buruk lagi terhadap sahabat Abu Bakar Shidiq.”

Dari keterangan ayat Al-Quran dan hadis Rasul di atas, dapat diambil pengertian bahawa mencaci maki sahabat Rasul hanya akan mendatangkan kemudaratan, baik di dunia mahupun di akhirat. Sebab para sahabat mempunyai jasa besar dalam menegakkan agama Allah SWT di alam raya ini, hingga mereka mendapat darjat, kedudukan dan martabat yang tinggi di sisi Allah SWT. Kerana itu, syaitan memasang ranjau untuk menyesatkan manusia dengan mencaci dan mencela para sahabat. Untuk itu, setiap muslim hendaklah waspada dan berhati-hati.

Kehidupan Jin