Penglibatan Jin-Jin Dalam Kehidupan Manusia

Golongan jin diciptakan oleh Allah SWT dengan keadaan manusia tidak dapat melihat rupa bentuk asli pada ciptaan mereka sepertimana yang telah diperjelaskan dalam al-Quran.

Firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 27:

Terjemahannya: “Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.”

Ibnu Hajar mengatakan bahawa kadangkala syaitan atau jin itu membentuk diri dalam pelbagai rupa dan bentuk. Dari itu, kadangkala manusia dapat melihatnya tetapi bukan dalam bentuk asal kejadiannya kerana ayat ini menyatakan bahawa manusia tidak dapat melihat mereka dalam bentuk asal kejadian mereka. Dalam pendapat yang lain, mengatakan bahawa hanya para nabi sahaja dapat melihat golongan ini dalam rupa bentuk yang asal. Manakala dalam hadith berikut pula disebutkan bahawa golongan jin terdiri daripada tiga jenis golongan yang merujuk kepada bentuk kejadian dan penyerupaan mereka.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Tha’labah RA:

Terjemahannya: “Jin itu terdiri dari tiga jenis golongan. Satu golongan yang mempunyai kepak yang boleh terbang ke sana ke mari (di udara), satu golongan berbentuk ular dan anjing, dan satu golongan lagi tinggal setempat dan yang berpindah-pindah.

Dari itu, sudah pasti jika golongan ini dalam rupa bentuk binatang seperti ular dan anjing akan mudah untuk dilihat oleh manusia. Namun, hanya dalam rupa bentuk ular dan anjing sahaja bukan pada hakikat kejadiannya yang sebenar. Golongan jin juga menerima taklifan sepertimana manusia iaitu diutuskan ke atas dunia untuk taat dan beribadat kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah az-Zariyat ayat 56:

Terjemahannya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”

Ibnu Taimiyyah mengatakan bahawa para jin diperintahkan untuk melaksanakan “usul” (aqidah) dan “furu” (syariat) mengikut keadaan kejadian mereka kerana mereka tidak menyerupai manusia dari segi batasan dan hakikatnya. Akan tetapi jenis “taklif” yang dibebani ke atas diri mereka adalah menyamai manusia. Oleh yang demikian, jin yang mengerjakan amal soleh adalah di kalangan jin yang beriman dan jin yang tidak mematuhi syariat dan mengingkarinya adalah di kalangan jin kafir serta jin yang melakukan dosa dianggap sebagai jin yang fasik.

Firman Allah SWT dalam surah al-Jinn ayat 11:

Terjemahannya: “Dan bahawa sesungguhnya (memang maklum) ada antara kita golongan yang baik keadaanya, dan ada antara kita yang lain dari itu; kita masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan.”

Firman Allah SWT dalam surah al-Jinn ayat 14-15:

Terjemahannya: “Dan bahawa sesungguhnya (dengan datangnya al-Quran, nyatalah) ada antara kita golongan yang beragama Islam, dan ada pula golongan yang (kufur derhaka dengan) menyeleweng dari jalan yang benar; maka sesiapa yang menurut Islam (dengan beriman dan taat), maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan yang benar. Adapun orang-orang yang menyeleweng dari jalan yang benar, maka mereka menjadi bahan bakaran bagi neraka jahannam.”

Penglibatan jin dalam kehidupan manusia yang paling ketara adalah melalui penggunaan khidmat mereka oleh tukang-tukang sihir, dukun, bomoh dan pawang dalam menjayakan kerja-kerja sihir dan kerja-kerja perbomohan. Hal ini kerana kerja-kerja tersebut memerlukan khidmat dan bantuan jin tertentu bagi memastikan bahawa kerja-kerja tersebut mencapai matlamat yang ditetapkan dan mengenai mangsa yang dituju. Keadaan ini memperlihatkan bahawa manusia telah menjadikan golongan jin dan keturunannya sebagai sahabat karib atau orang suruhan sedangkan kebanyakkan mereka adalah musuh kepada manusia itu sendiri.

Firman Allah SWT dalam surah al-Kahf ayat 50:

Terjemahannya: “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan Iblis; ia adalah berasal daripada golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaKu? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim, pengganti yang mereka pilih itu.”

Syaitan yang merupakan daripada kalangan jin sentiasa hadir dalam kehidupan manusia untuk mengganggu dan mencari peluang daripada kelalaian manusia bagi memasukkan jarum-jarum kejahatannya. Oleh sebab itu, Rasulullah SAW sentiasa menggalakkan umat baginda agar sentiasa memohon perlindungan daripada Allah SWT daripada gangguan tersebut sama ada ketika makan, minum, memakai pakaian, bekerja, menunaikan hajat, hendak tidur, mahu mengerjakan solat dan lain-lain. Contohnya, seseorang yang makan tanpa menyebutkan nama Allah SWT, pasti syaitan akan menyertainya. Akan tetapi jika individu itu menyebut nama Allah SWT ketika hendak dan sedang makan, maka ia akan memuntahkannya kembali. Perkara ini jelas disebutkan dalam hadith Nabi Muhammad SAW.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Umayyah bin Makhsyi:

Terjemahannya: “Salah seorang daripada sahabat Rasulullah SAW telah berkata bahawa Rasulullah SAW sedang duduk dan ketika itu seorang lelaki sedang makan tetapi tidak membaca Bismilla sehingga tidak berbaki makanan itu melainkan secebis sahaja. Lalu, Nabi Muhammad SAW ketawa (melihat perlakuan sahabat itu). Baginda bersabda: “Syaitan telah makan bersamanya sebelum itu, ketika mana dia menyebutkan nama Allah, maka syaitan memuntahkan kembali semua makanan dari perutnya.”

Demikian juga, Rasulullah SAW memerintahkan agar meminta perlindungan daripada Allah SWT ketika mahu memasuki tandas. Ini kerana tandas ialah tempat kebiasaan di mana syaitan-syaitan berkumpul.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA:

Terjemahannya: “Adalah Nabi Muhammad SAW apabila baginda memasuki tandas (jamban), baginda berdoa: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau daripada syaitan jantan dan syaitan betina.””

Selain dari itu, Nabi Muhammad SAW juga menjelaskan bagaimana cara hidup syaitan yang akan berusaha untuk mengganggu kehidupan manusia seharian. Golongan ini akan berkeliaran pada waktu senja atau hampir menjelang malam. Oleh sebab itu, Nabi Muhammad SAW menyarankan agar umat baginda berhati-hati daripada gangguan mereka dengan segera menutup pintu dan tingkap rumah dengan disertakan menyebutkan nama Allah SWT. Semua ini sebagai satu perlindungan daripada mereka.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah RA:

Terjemahannya: “Apabila menjelan malam atau hampir tiba waktu senja, tahanlah anak-anak kamu (jangan izinkan mereka keluar atau berkeliaran) kerana sesungguhnya pada waktu itu syaitan bertebaran (berkeliaran). Apabila berlalu satu jam dari waktu malam, lepaskan mereka dan tutuplah semua pintu (dan tingkap) serta sebutlah nama Allah SWT (dalam semua keadaan) kerana sesungguhnya syaitan tidak akan memasuki rumah yang telah dikunci pintunya.”

Syaitan juga sentiasa mendorong naluri dan perasaan kepada perasaan waswas terhadap sesuatu perkara. Selalunya syaitan akan mendatangkan perasaan waswas tersebut ketika seseorang itu sedang beribadat seperti mengerjakan solat, berwuduk dan lain-lain keadaan.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nas ayat 5:

Terjemahannya: “Yang melemparkan bisikan dan hasutannya (perasaan waswas) ke dalam hati manusia.”

Dalam pada itu, diriwayatkan dalam sahih Muslim tentang syaitan suka berkeliaran dan berkumpul di pasar-pasar seperti disebutkan oleh Abu Uthman bin Salman katanya:

Terjemahannya: “Janganlah kamu termasuk orang terawal yang masuk ke dalam pasar dan janganlah pula kamu menjadi orang yang terakhir meninggalkannya (pasar), Kerana sesungguhnya pasar itu ialah tempat perjuangan (pertempuran) para syaitan dan di situlah mereka menegakkan benderanya.”

Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa jin dan syaitan terlibat secara langsung dalam kehidupan manusia seharian. Golongan ini sentiasa mencari peluang dan ruang yang ada untuk mengambil kesempatan di atas kelalaian manusia. Khususnya di kalangan umat Islam. Kelalaian manusia mengingati Allah SWT dalam semua pekerjaan yang dilakukannya sama ada berupa ibadat khusus atau pekerjaan seharian akan mencerahkan lagi peluang mereka mendampingi manusia dan seterusnya mengambil manfaat untuk kepentingan hidup mereka.

Kehidupan Jin