Nasihat Abu Hamid Al-Ghazali Tentang Terapi Hasad

Adapun amalan yang bermanfaat adalah amalan yang akan menghilangkan dengki. Oleh kerana itu, semua yang diakibatkan oleh dengki baik berupa perkataan mahupun perbuatan, sebaiknya dia memaksa dirinya melakukan perbuatan yang bertentangan dengannya.

Bila dengki membawa pelakunya untuk mencela orang yang didengki, maka dia harus memaksa lisannya untuk memuji dan menyanjungnya. Jika dengki menghantarkannya kepada bersikap sombong terhadap orang yang didengki, maka dia harus memaksa dirinya untuk bersikap tawaduk, merendah diri, dan meminta maaf kepadanya. Jika kedengkian itu mendorongnya untuk menahan tersampainya nikmat kepada orang yang didengki, maka dia harus memaksa dirinya untuk memberikan nikmat tambahan kepadanya.

Meskipun dia mengerjakan semua itu secara paksa, lalu orang yang didengki mengetahui perbuatannya tersebut, tetapi hatinya akan menjadi lapang dan akan mencintai orang yang didengki. Bilamana orang yang didengki menampakkan cintanya, maka pendengki itu juga akan mencintainya.

Dengan demikian muncullah kesesuaian yang memutus materi kedengkian, kerana sikap merendah diri (tawaduk), sanjungan, pujian, menampakkan kegembiraan dengan nikmat itu akan melingkupi hati orang yang diberi nikmat, merebut hatinya, menjadikan hatinya bertaut lembut dan mendorongnya untuk menerima itu dengan kebaikan. Selanjutnya kebaikan itu kembali kepada si pendengki, lantas menjadi longgarlah hatinya dan sesuatu yang awalnya dia kerjakan secara terpaksa, akhirnya berubah menjadi karakter.

Jangan sampai bisikan syaitan menghalangnya melakukan perbuatan itu. Misalnya syaitan membisikkan: “Seandainya kamu bersikap merendahkan diri (tawaduk) dan menyanjungnya, maka musuhmu itu akan membawamu kepada ketidak berdayaan, kemunafikan, atau ketakutan dan perbuatanmu itu merupakan bentuk kerendahan dan kehinaan.”

Itu adalah tipuan syaitan dan tipu dayanya!

Akan tetapi yang sesungguhnya adalah tindakan bermanis muka itu baik dilakukan secara terpaksa mahupun secara alamiah akan dapat mematahkan kerasnya permusuhan dari dua arah, meminimumkan kehendak untuk tetap memusuhi, dan mengembalikan kelembutan dan kecintaan ke dalam hatinya. Dengan itu, hati akan menjadi longgar dan terbebas dari dengki yang menyakitkan dan perasaan saling benci yang menyedihkan.

Inilah ubat dengki yang sangat bermanfaat, akan tetapi itu akan dirasakan sebagai sesuatu yang sangat pahit bagi hati. Namun, ingatlah bahawa ubat yang bermanfaat itu memang pahit rasanya. Sesiapa sahaja yang tidak bersabar menjalani kepahitan secara terus-menerus nescaya dia tidak akan meraih lazatnya kesembuhan. Dia harus menganggap ringan pahitnya ubat ini.

Yang saya maksudkan ialah dia harus bersikap merendah diri kepada musuhnya dan mendekati mereka, dengan memuji dan menyanjungnya dengan kekuatan ilmu, dengan nasihat yang saya paparkan tadi, serta dengan motivasi untuk mendapat pahala reda terhadap ketetapan Allah SWT dan mencintai apa yang Dia cintai.

Petikan daripada buku “Ensiklopedia Rawatan Islam” Ibnu Qayyim Al-Jauziyah, Prof. Sya’ban Ahmad Solih

Motivasi