Menerima Ilmu Melalui Mimpi

Satu persoalan yang boleh dikatakan sebagai popular dalam masyarakat khusus di alam Melayu ialah mendakwa mendapat ilham atau ilmu yang diperoleh melalui mimpi. Terdapat maklumat oleh seseorang yang menceritakan bahawa ketika dalam tidur beliau bermimpi didatangi oleh seorang yang berjubah hijau atau putih, berperwatakan warak, memakai serban dan memegang tasbih. Keadaan ini sememangnya boleh jadi berlaku ketika seseorang itu mengalami sakit yang teruk atau dalam keadaan normal.

Lalu, melalui pertemuan dalam mimpi tersebut orang yang bermimpi itu diajarkan dengan sesuatu ayat atau menyuruh melakukan sesuatu bagi menyembuhkan penyakit yang dideritai. Dengan takdir Allah SWT, selepas beliau melakukan arahan yang diberitahu dalam mimpi atau membacakan ayat-ayat yang diajarkan dalam mimpi tersebut, penyakit yang di alami mendapat kesembuhan. Rentetan itu beliau mampu pula mengubati dan merawat orang lain. Bahkan dalam keadaan yang lain, beliau tersebut juga bermimpi melihat bola cahaya dan diikuti pula dengan pelbagai kejadian ganjil dan luar biasa.

Walaupun pada zahirnya mimpi tersebut menunjukkan perkara yang baik seperti diajar membaca ayat-ayat al-Quran tertentu, mengajarkan dan memberi nasihat sesuatu sehingga tidak disedari bahawa pada hakikatnya semua itu adalah tipu helah dan dakyah syaitan dan iblis untuk menipu dan menyesatkan manusia.

Hal ini kerana, Allah SWT telah memberi keistimewaan kepada mereka untuk menyerupai apa sahaja, sehingga menyerupai orang-orang alim yang mengajar seribu satu kebaikan. Bagi mereka yang tidak mempunyai asas agama, pasti akan merasa bahawa mereka adalah individu terpilih dan telah diberikan keistimewaan oleh Allah SWT. Sedangkan ketika itu, mereka sedang ditipu oleh syaitan dan iblis.

Namun demikian, jika beliau bermimpi bertemu dengan Rasulullah SAW, maka sudah pasti mimpi tersebut adalah benar. Ini kerana, syaitan dan iblis tidak dapat menyerupai Rasulullah SAW dalam apa jua keadaan.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

Terjemahannya: “Sesiapa yang melihat aku dalam tidurnya (mimpi), maka dia akan melihat daku sepertimana ketika jaga. Sedangkan syaitan tidak dapat menyerupai aku.”

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA:

Terjemahannya: “Sesiapa yang bermimpi bertemu daku dalam tidurnya, maka dia telah melihat daku (yang benar). Maka sesungguhnya syaitan tidak dapat membayangi dirinya sebagai aku.”

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah Al-Ansari RA:

Terjemahannya: “Mimpi yang baik adalah dari Allah SWT, sedangkan mimpi buruk adalah daripada syaitan. Jika seseorang daripada kamu mengalami mimpi yang buruk dan ia menakutkan kamu, maka ludahlah di sebelah kirimu dan mohon perlindungan dengan Allah daripada segala kejahatannya. Maka sesungguhnya ia tidak akan memberi mudarat (pada kamu) lagi.”

Ibnu Hajar dalam mensyarahkan hadith di atas telah membahagikan mimpi kepada tiga jenis iaitu:

Pertama: Mimpi yang dialami oleh golongan anbiya’ (para Nabi), iaitu semua mimpi tersebut adalah benar dan ia juga merupakan wahyu daripada Allah SWT seperti mimpi Nabi Ibrahim AS yang diperintahkan untuk menyembelih anaknya Ismail. Allah SWT telah memaparkan kisah ini di dalam al-Quran.

Firman Allah SWT dalam surah as-Saffat ayat 102:

Terjemahannya: “Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya-Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.”

Kedua: Mimpi yang dialami oleh golongan hamba-hamba Allah yang soleh. Mimpi ini juga adalah benar kerana mereka sentiasa memelihara hubungan dengan Allah SWT dan mimpi tersebut adalah sebagai satu kelebihan kepada mereka.

Ketiga: Mimpi orang awam atau daripada kalangan bukan Nabi dan orang-orang yang soleh. Nisbah antara kebenaran dan kebatilannya adalah sama.

Oleh itu, perlu ditegaskan bahawa kita selaku golongan awam tidak seharusnya untuk meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap perkara-perkara yang dialami dalam mimpi. Apatah lagi jika dalam mimpi itu didatangi seseorang yang mengajar ilmu pengetahuan tentang Islam atau perubatan menggunakan ayat-ayat al-Quran.

Perlu diketahui bahawa sepatutnya dalam mencari apa jua ilmu pengetahuan, seseorang itu perlu dibimbing oleh guru. Hal ini kerana, orang yang tidak berguru bermakna menjadikan syaitan atau iblis sebagai gurunya. Tambahan lagi, telah jelas diketahui bahawa iblis dan syaitan tidak akan berehat untuk menyesatkan manudia dengan apa jua cara sama ada menggalakkan kebaikan sebagai umpan tetapi dalam masa yang sama tanpa disedari memupuk kejahatan atau terus menerus mendorong kepada perbuatan jahat. Carilah para ulama sebagai guru kerana mereka adalah pewaris para nabi yang akan membimbing manudia ke jalan yang benar.

Sanda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Al-Darda’ RA:

Terjemahannya: “Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan tidak pula dirham, tetapi mereka mewarisi ilmu pengetahuan”.

Kehidupan Jin