Di antara tipu daya syaitan ialah memperlihatkan mimpi-mimpi menyeramkan kepada seseorang ketika tidur supaya dapat membuatnya sedih dan gelisah. Imam Muslim meriwayatkan dalam sahihnya, ‘Dari pada Jabir bin Abdullah RA dia berkata, “Seorang Arab Badwi datang kepada Rasulullah SAW dia berkata, ‘Wahai Rasulullah, di dalam mimpi saya melihat seakan-akan kepala saya dipukul hingga jatuh berguling, maka saya mengikutinya.’ Rasulullah SAW bersabda kepadanya, ‘Jangan kamu ceritakan permainan syaitan kepadamu di dalam mimpi ini kepada orang lain.’
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadis marfu’ dari Abu Hurairah RA, “Mimpi ada tiga jenis; Mimpi yang baik merupakan khabar gembira daripada Allah SWT. Mimpi yang sedih berasal daripada syaitan, dan mimpi daripada apa yang sedang dia fikirkan. Apabila salah seorang dari kamu bermimpi melihat sesuatu yang tidak dia sukai seharusnya dia berdiri dan melakukan solat dan jangan dia menceritakan hal tersebut kepada orang lain.”
Imam Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan di dalam As-Sahihain, “Daripada Qatadah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Mimpi baik berasal daripada Allah dan mimpi (buruk) berasal daripada syaitan. Barang siapa yang bermimpi melihat sesuatu yang tidak dia sukai, hendaknya dia meludah ke sebelah kirinya tiga kali, lalu dia meminta perlindungan kepada Allah daripada syaitan yang terkutuk. Sebab mimpi yang baik tidak akan membahayakannya.”
Setelah menggabungkan jalan periwayatan hadis ini, dapat disimpulkan bahawa ada beberapa etika ketika bermimpi dan dianjurkan kepada setiap umat Islam untuk mengikutinya:
1.Apabila mimpinya baik, hendaknya dia memuji Allah. Dia bergembira dan menceritakannya kepada orang-orang yang dia cintai dan tidak menceritakannya kepada orang yang tidak dia sukai.
2.Apabila mimpinya tidak menyenangkan, hendaknya dia meminta perlindungan kepada Allah dari kejahatan mimpinya dan kejahatan syaitan. Hendaknya pula dia meludah ke sebelah kirinya tiga kali dan tidak menceritakannya kepada orang lain, lalu mengubah kedudukan rusuknya, berdiri dan melaksanakan solat.
Al-Hafiz Ibnu Hajar, “Para ulama telah menyebutkan hikmah dari semua ini. Meminta perlindungan Allah SWT dari kajahatan mimpi, merupakan perkara yang telah disyariatkan secara jelas ketika mendapatkan perkara yang tidak disukai. Adapun meminta perlindungan Allah SWT dari godaan syaitan, sebagaimana yang dijelaskan di dalam beberapa hadis, disebabkan mimpi itu berasal daripada syaitan dengan tujuan membuat manusia bersedih dan gelisah memikirkan mimpi yang dialaminya.”
Berkaitan dengan perbuatan meludah, Iyadh berkata, “Hal ini diperintahkan dengan maksud mengusir syaitan yang hadir di dalam mimpi buruk. Disarankan kita meludah di sebelah kiri adalah kerana tindakan penghinaan serta mempermain-mainkannya. Hal ini adalah kerana sebelah kiri selalunya dikaitkan dengan tempat yang kotor dan yang sejenis dengannya. Adapun mengenai mengubah laluan, sebagai optimisme jika keadaannya berubah menjadi lebih baik. Berkenaan dengan perlaksanaan solat adalah kerana di dalamnya terdapat nilai penghambaan kepada Allah dan kembali kepada-Nya.”
Mengenai bacaan Ta’awwuz, Ibrahim An-Nakha’i mengemukakan, “Apabila salah seorang di antara kamu bermimpi melihat sesuatu yang buruk, ketika dia bangun hendaknya mengatakan:
Maksudnya: “Aku berlindung kepada Allah dari segala sesuatu yang mana para malaikat Allah dan rasul-Nya berlindung dari kejahatan mimpiku ini. Jangan sampai aku ditimpa musibah buruk, baik di dalam agama mahupun duniaku.”
Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata, hadis ini diriwayatkan Said bin Mansur, Ibnu Abi Syaibah dan Abdul Razaq dengan sanad yang sahih.
Imam Nawawi berkata, “Adapun mengenai sabda Rasulullah SAW ‘Sesungguhnya yang demikian itu (mimpi baik) tidak akan membahayakannya,’ beerti, Allah SWT menjadikannya sebagai penyebab bagi keselamatannya dari suatu musibah yang akan menimpa. Sebagaimana Allah SWT menjadikan sedekah sebagai penjaga bagi harta dan penyebab jauhnya mara bahaya.”