Mana Lebih Dahulu, Jin atau Manusia?

Banyak ayat al-Quran dan hadis yang menjelaskan bahawa jin dicipta terlebih dahulu berbanding manusia.

Ini jelas melalui firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam (penghormatan), maka sujudlah mereka kecuali Iblis. Dia enggan dan takbur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir.” (Surah al-Baqarah: 34)

Iblis termasuk di dalam kelompok jin, ini adalah berdasarkan peristiwa kenabian Nabi Adam AS yang menunjukkan jin dicipta terlebih dahulu.

Di dalam al-Quran Allah SWT menjelaskan lagi:

Maksudnya: Allah berfirman: “Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) pada waktu Aku menyuruhmu?” Jawab Iblis: “Saya lebih baik daripadanya: Engkau ciptakan saya daripada api sedang dia Engkau ciptakan daripada tanah.” (Surah al-A’raf: 12)

Iblis enggan sujud ketika ia diperintahkan berbuat demikian disebabkan katanya api lebih mulia daripada tanah. Kononnya ia mengetahui tentang kelebihan api daripada tanah. Hal ini menunjukkan bahawa ia dicipta terlebih dahulu.

Di dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) daripada tanah liat kering (yang berasal) daripada lumpur hitam yang diberi bentuk. Dan Kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) daripada api yang sangat panas.” (Surah al-Hijr: 26-27)

Ini menunjukkan dengan nyata bahawa jin dicipta sebelum kejadian Adam AS.

Kenyataan ini dikuatkan lagi dengan firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.” (Surah al-Dhariyat: 56)

Dalam ayat ini disebut perkataan JIN terlebih dahulu menunjukkan bahawa jinlah yang diciptakan terlebih dahulu.

Yang menjadi perbincangan ialah berapa lamakah jarak diantara dua makhluk itu. Ibn Kathir di dalam kitabnya al-Bidayah Wan Nihayah juz 1 menyatakan jaraknya ialah selama dua ribu tahun. Begitu juga al-Syibli di dalam kitabnya Akamul Marjan menyatakan jaraknya ialah dua ribu tahun manakala setengahnya menyatakan bahawa jaraknya selama 40 tahun.

Walau bagaimanapun, tempoh yang sebenar tidaklah diketahui kerana jarak yang disebutkan itu menurut ijtihad belaka yang tidak terdapat dalam al-Quran dan al-Sunnah maka kita serahkan sahaja kepada Allah SWT yang Maka Mengetahui segala-galanya.

Petikan daripada buku Mengenali Makhluk Allah Bergelar Jin (Hakikat & Pengubatan) oleh Dato’ Hj. Ismail Kamus

Kehidupan Jin