Makanan Jin

Ulama mempunyai berbagai-bagai pandangan dalam hal ini, ada yang mengatakan :-

  1. Kesemua jin tidak makan dan tidak minum;
  2. Setengah jin makan dan ada setengah di kalangan mereka yang tidak mahu kepada makan;
  3. Kesemua jin makan dan minum.

Cara mereka makan pula berbeza:-

  1. Mereka hanya mencium sahaja.
  2. Mereka makan seperti biasa iaitu mengunyah dan menelan.

Walau bagaimanapun pendapat yang lebih kuat mengatakan bahawa golongan jin makan dan minum. Sebagaimana Firman Allah SWT :

Maksudnya:

“Dan bagi orang yang takut akan saat menghadap Tuhannya ada dua syurga. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? Kedua-dua syurga itu mempunyai pohon-pohonan dan buah-buahan. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? Di dalam syurga itu mendapat segala macam buah-buahan yang berpasangan.”

Dalam ayat ini menunjukkan sesungguhnya Allah menyediakan kepada hamba-hambanya yang taat samada jin ataupun manusia dua syurga. Jin dan manusia kedua-duanya masuk syurga dan berseronok padanya menunjukkan yang jin itu makan dan juga minum, kerana di dalam syurga itu ada makan dan minum sebagai balasan Allah kepada mereka selain daripada balasan yang lain.

Sabda Rasulullah SAW :

Daripada Abi Hurairah RA Sesungguhnya ia membawa bijana untuk keperluan wudhu’ dan untuk hal yang lain. Manakala ia menemui baginda, baginda bertanya siapa ini, aku menjawab saya Abu Hurairah. Sabda baginda ikut akan daku, carikan batu untuk aku beristinjak, tetapi jangan bawa tulang dan tahi, maka aku bawakan batu di hujung bajuku dan aku letakkan di samping baginda. Kemudian aku beredar, apabila baginda telah selesai menunaikan hajatnya aku pun bertanya, mengapa tulang dan tahi tidak boleh digunakan? Jawab baginda, keduanya adalah makanan jin. (Riwayat Bukhari)

Daripada Umaiyyah bin Mahsya berkata; Adalah Rasulullah SAW duduk bersama seorang lelaki sedang makan dengan tidak menyebut nama Allah dan kemudian menyebutnya di akhir pemakanannya. Maka berkata Rasulullah; Syaitan masih makan bersamanya. (Riwayat Abu Daud)

Sesungguhnya golongan Jin pernah memohon kepada Rasulullah SAW mengenai makanan. Sabda Baginda :

Bagi kamu setiap tulang yang disebut nama Allah keatasnya yang berada di tangan Kamu dilengkapkan sekali dengan dagingnya dan setiap najis binatang ternakan manusia menjadi makanan kepada binatang ternakan Kamu. (Muslim, Tirmizi)

Ibnu Salam di dalam tafsirnya mengatakan bahawa najis binatang ternakan manusia akan kembali hijau sebagai makanan binatang ternakan jin.

Sabdanya lagi:

Jangan Kamu beristinja dengan keduanya (tulang dan najis binatang) kerana keduanya adalah makanan saudaramu (jin) (Muslim, Tirmizi, Ahmad)

Baginda Rasulullah SAW menjelaskan kepada kita yang syaitan makan dan minum dengan tangan kiri dan memerintahkan kita supaya jangan menurut  tabiat mereka, sebagaimana Sabda Rasulullah SAW :

Apabila salah seorang kamu makan hendaklah menggunakan ia minum dengan tangan kanan kerana sesungguhnya syaitan makan dan minum dengan tangan kirinya.

Ibnu Umar mengatakan bahawa hadis ini menjadi dalil yang golongan jin itu makan dan minum tetapi bukan untuk menguatkan pendapat yang mengatakan bahawa syaitan makan dengan tangan kiri.

Al-Imam An-Nawawi RA menegaskan: Yang sebenarnya jumhur Al-Ulama (sebahagian besar Ulama) baik Salaf mahupun Khalaf dari golongan ahli-ahli Hadis Feqah dan mutakallimin mengatakan bahawa hadis itu tadi dan hadis yang sama dengannya mengenai makannya syaitan adalah menunjukkan yang sahirnya iaitu syaitan memang makan, yang tidak dapat dibuat sebarang helah lagi, bahkan syarak mengakuinya maka wajiblah kita menerima dan meyakininya.

Sebenarnya banyak lagi hadis-hadis yang menerangkan mengenai jin ini yang mana mereka makan dan minum tetapi memadailah dibawa dua tiga hadis untuk menjelaskan tentang tabiat mereka itu.

Kehidupan Jin