Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya orang-orang yang membaca Kitabullah.” (Fathir:29)
Maksudnya orang-orang yang sentiasa membaca Al-Quran secara terus-menerus, dan mengamalkan isinya. Ini kerana membaca sahaja tanpa mengamalkan itu tidak ada manfaatnya juga.
Tilawah adalah membaca dengan mengikut dan menelaah maknanya, seperti melakukan sesuatu kajian yang ditugaskan adapun qiraah (membaca) itu lebih umum daripada tilawah. Akan tetapi, mengajar Al-Quran kepada anak-anak kecil itu tidak dianggap sebagai membaca. Oleh kerana itu, mengeja atau mengajar Al-Quran untuk orang yang sedang junub, atau wanita haid, atau wanita yang sedang nifas itu tidak makruh hukumnya, kerana itu tidak disebut sebagai membaca. Yang harus dilakukan ialah mempelajari Al-Quran dan mengkajinya di seluruh waktu.
Ahmad, Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, At-Tirmizi, Ibnu Majah dan An-Nasa’i meriwayatkan dari Abu Musa Al-As’ari RA. Rasulullah SAW bersabda:
“Perumpamaan orang yang beriman yang membaca Al-Quran adalah seperti permisalan buah utrujjah, baunya enak dan rasanya pun enak. Perumpamaan orang beriman yang tidak membaca Al-Quran adalah seperti permisalan buah kurma, tidak ada baunya tetapi rasanya manis. Perumpamaan orang munafik yang membaca Al-Quran adalah seperti permisalan Raihanah, baunya wangi tetapi rasanya pahit. Perumpamaan orang munafik yang tidak membaca Al-Quran adalah seperti permisalan buah Hanzhalah, tiada baunya dan rasanya pahit.”