Jin Tidak Mengetahui Alam Ghaib

Di zaman moden ini masih ramai di kalangan umat Islam yang mempercayai tukang tilik. Mereka meyakini tukang tenung boleh menyelami rahsia alam ghaib sama ada mengetahui siapakah  pencuri yang melakukan pengkhianatan atau pun meramalkan perkara yang akan datang dan perkara-perkara yang ghaib.

Tukang tilik dan para bomoh yang suka meramal dan menceritakan sesuatu sama berkaitan hal jenayah dan sebagainya itu adalah sebenarnya menerima bisikan daripada syaitan atau jin yang suka melakukan pendustaan dan pembohongan sedangkan mereka memang tidak sedikit pun mengetahui alam ghaib.

Allah SWT mewakilkan kepada malaikat untuk memastikan supaya mengazab Jin apabila mereka mengingkari arahan dan perintah Nabi Sulaiman AS iaitu dengan membakar mereka.

Jin telah diperintahkan oleh Nabi Allah Sulaiman AS supaya membangunkan suatu bangunan, maka mereka melakukannya siang dan malam tanpa hentinya, kerana terlalu takut. Sehinggalah Nabi Sulaiman wafat di hadapan mereka sedangkan mereka tidak mengetahuinya sebagaimana firman Allah SWT.

Maksudnya:

“Maka tatkala Kami telah menetapkan kematian Sulaiman tidak ada yang menunjukkan kepada mereka kematiannya itu kecuali rayap yang memakan tongkatnya. Maka tatkala  ia telah tersungkur, tahulah jin itu bahawa kalau sekiranya mereka mengetahui yang ghaib tentulah mereka tidak akan tetap dalam siksa yang menghinakan.” (As Saba’ : 14)

Ini menunjukkan  mereka tidak mengetahui alam ghaib. Kalaulah mereka mengetahui tentang kewafatan Nabi Sulaiman tentulah mereka akan berhenti daripada meneruskan pembinaan bangunan itu.

Bangunan yang diarahkan itu memang terlalu sukar untuk dibangunkan sebagaimana firman Allah SWT.

Maksudnya:

“Para jin itu membina untuk Nabi Allah Sulaiman a.s. apa yang dikehandakinya dari bangunan-bangunan yang tinggi, patung-patung dan piring-piring yang besarnya seperti kolam dan periuk-periuk yang tetap berada di atas tungku.” (As Saba’ : 13)

Nabi Sulaiman AS wafat di hadapan mereka pun tidak dapat mereka kesan, bagaimana pula untuk membolosi rahsia alam ghaib dan perkara-perkara yang hanya Allah SWT sahaja mengetahui. Sebenarnya golongan jin ini sebelum turunnya Al-Quran boleh mencuri berita dari langit tetapi setelah Al-Quran turun mereka tidak lagi dapat menaiki langit sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya kami (Jin) telah cuba mendapatkan rahsia langit maka kami mendapatinya penuh dengan pennjagaan yang kuat dan panah-panah api. Dan sesungguhnya kami dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mendengarkan berita-beritanya tetapi sekarang barangsiapa yang mencuba mendengarkan seperti itu tentu akan bertemu panah api yang mengintai untuk membakarnya. Dan sesungguhnya kami tidak mengetahui (dengan adanya penjagaan itu) apakah keburukan yang dikehendaki bagi orang yang di bumi ataukah Tuhan mereka menghendaki kebaikan untuk mereka.” (Al-Jin ayat 8-10)

Ar-Razi di dalam kitab tafsirnya menghuraikan tentang kematian Nabi Sulaiman AS sedangkan jin bekerja di hadapan baginda tidak mereka sedari dengan katanya Jin memang mengetahui apa-apa yang tidak diketahui oleh manusia maka takdir kematian Nabi Sulaiman AS adalah ilmu ghaib, manusia tidak diberi ilmu melainkan amat sedikit, banyak perkara yang nyata tidak mereka ketahui, dan jin pula tidak mengetahui yang zahir walaupun dinisbahkan oleh manusia perkara itu adalah tersembunyi. Maka ternyatalah memang mereka tidak mengetahui alam ghaib. Sekiranya mereka mengetahui alam ghaib. Sekiranya mereka mengetahui alam ghaib itu tentulah mereka tidak akan meneruskan kerja yang amat berat, kerana menganggap Nabi Allah Sulaiman masih hidup.  

Begitu juga apabila mereka ditegah mengintai untuk mencuri berita dari langit mereka tidak tahu mengapa mereka ditegah berbuat demikian sehingga mereka bertanya sesama sendiri dan sekiranya mereka tahu alam ghaib tentulah mereka mengetahui mengenai kebangkitan Nabi s.a.w. terlebih awal. (At-Tafsir Al-Kabir 25/250) 

Jin memang boleh terbang ke sana ke mari dengan cepat dan segera, oleh itu mereka mampu mengetahui peristiwa yang telah berlaku  di benua yang jauh atau peristiwa yang berlaku pada masa yang lalu. Walau bagaimanapun pun apa yang mereka sampaikan tidak semestinya betul kerana berita itu dibawa oleh satu jin yang boleh jadi lurus dan betul atau mungkin berdusta, kerana di kalangan mereka ada yang maksiat, kafir dan sebagainya. (Op.Cit 30/250)

Asy Syeikh Mohammad Al-Ghazali mengatakan Jin itu mempunyai kuasa melebihi kuasa atau kudrat manusia, mereka boleh menyeberangi udara dengan tenaga biasa sejak zaman dahulu kala lagi tetapi mereka tidak mengetahui alam ghaib. Ada kalanya berita itu ghaib nisbah kepada kita tetapi ternyata zahir nisbah kepada mereka.

Contohnya sekarang kita dapat mengetahui apa yang berlaku ni negara lain sama ada melalui satelit televisyen sedangkan jarak kita dengan mereka amat jauh. Ini bukanlah bererti kita mengetahui alam ghaib, sekadar peristiwa yang jauh di alam yang nyata.

Untuk mengetahui perkara-perkara ghaib di masa akan datang adalah sesuatu yang mustahil melainkan melalui wahyu. Dengan hal yang demikian kalau seseorang itu bertanya kepada tukang tilik atau tukang tenung dan ia menjelaskan perkara-perkara yang akan datang maka itu adalah suatu perkhabaran yang jelas membawa kepada kebinasaan.

Syaikhhul Islam Ibnu Taimiyah menjelaskan mengenai hukum bertanya kepada jin dan kuncu-kuncunya termasuk tukang tilik dan sebagainya.

Kalaulah ditanya kerana hendak membenarkan apa yang mereka katakan maka hukumnya haram sebagaimana telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. apabila ditanya oleh Muawiyah bin Al-Hakam As-Sullami:

Maksudnya:

“Ya Rasulullah, perkara-perkara yang kami lakukan di zaman Jahilliah ialah mendatangi tukang nujum. Sabda baginda, Kamu jangan mendatangi tukang nujum.”

Begitu juga dalam hadis lain yang bermaksud:

“Barangsiapa yang mendatangi tukang tilik dan ditanya mengenai sesuatu maka tidak diterima solatnya selama 40 hari.” (Riwayat Muslim)

Kalau disoal semata-mata untuk mengetahui hal dan segala tindak-tanduknya dan untuk mengetahui pembohongannya maka adalah harus. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW. (Bukhari/Muslim)

Maksudnya:

“Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w. telah bertanya Ibnass Sayyad. Sabdanya “Apakah yang datang kepadamu, katanya datang kepada saya yang benar dan yang berdusta. Sabdanya apa pandanganmu, jawabnya aku lihat istana di atas air, sesungguhnya aku sembunyikan daripada segala keburukan. Sabdanya diingatkan- Jangan kamu ulangi , dan seperti engkau ada kuasa, dan ini adalah sebahagian saudaraku tukang tenung.” (Bukhari/Muslim)

Kalau ia mendengar sesuatu yang diceritakan atau dikhabarkan oleh Jin melalui tukang nujum atau tukang tilik maka dalam perkara ini perlu kepada bukti yang amenyokong perkhabarannya itu sebagaimana firman Allah SWT

Maksudnya:

“Jika datang kepadamu orang fasiq membawa berita maka periksalah dengan teliti.” (Al-Hujurat : 6)

Walau bagaimanapun dapatlah dibuat kesimpulan bahawa bertanya kepada tukang nujum mempunyai tiga peringkat:

Kerana untuk mengetahui sesuatu yang akan datang dengan penuh keyakinan, bertanya sahaja adalah berdosa dan menyebabkan sembahyang ditolak selama 40 hari dan kalau mempercayainya adalah kafir kerana yang mengetahui alam ghaib hanya Allah SWT semata-mata.

Maksudnya:

(Dia adalah Tuhan) yang mengetahui yang ghaib, maka tidak memperlihatkan kepada seorang pun tentang yang ghaib itu.
(Al Jin ayat 26)

Asy-Syeikh Mohd Mutawalli As-Sya’rawi menjelaskan pengetahuan jin tentang yang ghaib tetapi bukan perkara yang akan datang kerana mereka boleh bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain dengan cepat dan laju. Secara mutlak mereka memang tidak mengetahuinya, secara umumnya apa yang mereka katakan adalah pembohongan semata-mata. Ini semata-mata mainan tukang nujum/tukang tilik yang mencari peluang untuk mengaut keuntungan daripada mereka yang mempunyai berbagai-bagai masalah. Sehingga golongan orang beriman sanggup mengeluarkan beratus, malah beribu-ribu ringgit semata-mata untuk mendengar tipu helah golongan yang tidak bertanggungjawab itu. Tetapi bagaimana kalau betul pula berita yang mereka bawa.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Tukang nujum atau tukang tilik tetap berdusta walau pun apa yang mereka bawa itu benar.”

Al-Quran menyebut bahawa jin dan syaitan sebelum kebangkitan Nabi kita Muhammad SAW masih boleh mencuri berita dari langit. Tetapi setelah kebangkitan baginda, mereka tidak lagi da[pat mencuri melainkan mereka akan dihujani dengan api untuk membakar mereka FirmanNya:

Maksudnya:

“Dan kami menjaganya dari tiap-tiap syaitan yang terkutuk. Kecuali syaitan yang mencuri-curi berita yang dapat didengar (dari malaikat) lalu dia dikejar oleh semburan api yang terang.” (Al Hijr : 18)

Di dalam Surah Al-Jinn, Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya kami dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mendengar-dengarkan berita-beritanya tetapi sekarang barang siapa yang mencuba mendengarkan (seperti itu) tentu akan menjumpai panah api yang mengintai untuk membakarnya. (Maksud sekarang ialah waktu sesudah Nabi Muhammad diutus menjadi Rasul).”(Al Jin : 8-9)

Abdullah b. Umar RA mengatakan bahawa hari di mana Nabi diutus maka mulalah syaitan dilarang naik ke langit dan akan dilontar dengan semburan api.

Abdullah b.Sabur pula mengatakan, langit tidak dijaga di antara zaman selepas kewafatan Nabi Isa dan sebelum lahirnya Nabi Muhammad SAW Setelah Nabi SAW diutus maka langit diawasi dengan rapi. Syaitan akan dilontar dengan api dan dilarang masuk untuk mendekati langit.

Nafi’ bin Jubair pula mengatakan bahawa zaman sebelum kebangkitan Nabi Isa dan Muhammad SAW mereka boleh mencuri berita dari langit dan tidak dilontar dengan api. Ada juga pendapat yang mengatakan mereka tidak dibenarkan semenjak dahulu lagi tetapi setelah kebangkitan Nabi Muhammad SAW, maka mereka ditambah lagi larangannya.

Di zaman sebelum terutusnya Nabi Muhammad SAW mereka dapat mencuri  berita dari langit yang kemudian disampaikan kepada tukang nujum dan tukang tilik sehinggalah mereka percaya sepenuhnya apa yang disampaikan kepada mereka kemudian dipercayai pula oleh orang awam. Mulalah syaitan dan jin memutarbelitkan berita dan menambah banyak lagi berita palsu sehingga mereka terlalu mempercayainya dan terjerumus kepada perkara yang sangat merbahaya yang boleh merosakkan aqidah mereka.

Kehidupan Jin