Merasuknya jin ke dalam tubuh manusia kadang-kadang didorong oleh syahwat, hawa nafsu, dan rasa cinta yang meluap antara manusia dengan jin. Kadang-kadang sampai terjadi pernikahan antara manusia dengan jin, lalu dilahirkan anak dari pernikahan tersebut. Peristiwa ini banyak terjadi dan dikenali luas. Para ulama telah menyebutkan hal ini dan mereka banyak membahasnya.
Akan tetapi sebahagian besar kerasukan disebabkan oleh kebencian dan tindakan melampaui batas, misalnya seorang manusia mengganggu jin, atau para jin itu menyangka bahawa seseorang sengaja menyakiti mereka dengan cara mengencing mereka, atau menuangkan air panas kepada mereka, atau mungkin juga dengan terbunuhnya sebahagian dari mereka, walaupun manusia tidak mengetahui dan tidak menyedarinya.
Di kalangan jin juga ada golongan yang biasa berlaku zalim dan bertindak bodoh, lantas mereka membalas manusia (yang dipercayainya telah menyakiti mereka) dengan balasan yang melebihi dari yang semestinya.
Mungkin juga kerasukan terjadi kerana tindakan gelabah di antara mereka ataupun kejahatan, sebagaumana orang-orang bodoh dari kalangan manusia yang mengganggu orang lain tanpa sebab dan bukan untuk membalas perbuatan orang yang mereka rasuk.
Jika merasuknya jin itu kerana motivasi jenis pertama, yakni dorongan syahwat, cinta yang melampaui batas dan hawa nafsu, semuanya itu merupakan perbuatan mesum lagi keji yang diharamkan oleh Allah SWT. Perbuatan seperti itu yang diharamkan ke atas manusia, walau itu dilakukan berdasarkan kerelaan dari salah satu pihak. Lantas bagaimana halnya bila itu dilakukan dengan paksaan terhadap pihak lain?
Oleh kerananya, jin hendaklah diberi nasihat (diberitahu) bahawa perbuatan itu adalah keji dan zalim, sehingga mereka faham kekejian dan keharamannya. Dengan demikian dapat ditegakkan hujah ke atas mereka dan mereka pun mengetahui bahawa hukum yang diberlakukan di tengah mereka adalah hukum Allah dan Rasul-Nya yang diutus oleh Allah SWT kepada semua dari dua jenis makhluk, yakni manusia dan jin.
Adapun jika motivasinya termasuk jenis kedua, yakni kerana adanya manusia yang menyakiti mereka tanpa sengaja. Jika manusia yang menyakiti itu tidak tahu, maka para jin itu diberitahu, bahawa orang ini tidak tahu dan tidak sengaja mengganggunya. Apalagi jika jin-jin tersebut tinggal di rumah manusia, tempat itu adalah milik orang yang dirasuk sehingga yang punya berhak berbuat sesuai peraturan yang dibolehkan untuknya. Jin-jin tidak berhak untuk tinggal di rumah yang dimiliki manusia tanpa izin mereka, akan tetapi mereka boleh tinggal di tempat-tempat yang bukan tempat hunian manusia, seperti rumah yang runtuh dan padang sahara.
Huraian di atas adalah perkataan dan penjelasan Ibnu Taimiyah. Ibnu Taimiyah berkata: “Maksudnya, jika jin itu bertindak melampaui batas terhadap manusia, maka mereka diberitahu hukum Allah dan Rasul-Nya, serta ditegakkan hujah ke atas mereka. Lalu mereka diperintahkan untuk berbuat baik dan dilarang dari perbuatan mungkar, seperti yang dilakukan oleh manusia.
Kerana Allah SWT berfirman dalam Kitabullah al-Karim yang bermaksud:
“Dan tidaklah Kami menyeksa sampai Kami mengutus seorang Rasul.” (Al-Isra’: 15)
Petikan daripada buku “Ensiklopedia Rawatan Islam”
Ibnu Qayyim Al-Jauziyah, Prof. Sya’ban Ahmad Solih