Hukum Belajar dan Mengajar Sihir

Sihir merupakan ilmu yang tersembunyi dan suatu seni yang memerlukan kemahiran khususnya menerusi suatu tumpuan amalan kebatinan secara berasosiasi dengan makhluk halus. Memperoleh ilmu sihir dengan tujuan untuk mendapat kekuatan kebatinan yang membolehkan pengamalnya menghasilkan perkara-perkara luar biasa, mencarik adat, memukau dan mematuhi apa sahaja kemahuan dengan terpaksa. Perkara luar biasa yang diinginkan adalah sepertimana ilmu silap mata yang menghasilkan rasa pelik dan takjub.

Apabila ditakrifkan sebagai ilmu, adakah ia boleh atau harus untuk dipelajari. Ilmu yangdisuruh oleh agama Islam supaya mempelajarinya ialah ilmu yang berguna dan berfaedah. Adapun sihir, al-Quran menyebutnya dengan jelas dan secara khusus tentang kemudaratannya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 102:

Terjemahannya: “…Dan mereka mempelajari (ilmu sihir itu) barang yang mendatangkan kemudaratan dan tidak memberi guna (manfaat) kepada mereka…”

Dalam kitab Mukhtasar Tafsir Ibnu Kathir ketika membuat tafsiran ayat di atas menyebut:

Terjemahannya: “Ia memberi kemudaratan dalam agama mereka (Islam) dan tiada padanya sebarang manfaat yang mengimbangi mudaratnya.”

Lantaran itu jelaslah bahawa sihir itu adalah perbuatan yang dilarang. Malah disebutkan dalam sebuah hadith sahih yang ianya berada pada kedudukan kedua selepas syirik. Hadith tersebut juga menyatakan perbuatan sihir lebih dahulu daripada membunuh. Hal ini menggambarkan seolah-olah membunuh manusia tidaklah seteruk perbuatan sihir. Oleh itu, hukum sihir adalah haram berdasarkan kepada keterangan-keterangan yang tersebut tadi dan dalil-dalil lain yang terdapat dalam al-Quran.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 102:

Terjemahannya: “Dan (Nabi) Sulaiman tidaklah kufur akan tetapi syaitan (yang mengamalkan sihir) lah yang kufur kerana merekalah yang mengajar kepada manusia ilmu sihir…”

Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fathul Bari mengambil ayat ini sebagai dalil pengharaman sihir kerana Allah SWT mengkufurkan syaitan kerana ajaran sihirnya itu. Oleh itu, mempelajarinya adalah merosakkan aqidah.

Menurut beberapa kajian yang dilakukan sama ada di dalam atau di luar negara, keseluruhannya menemui wujudnya kaedah pembelajaran sihir dengan terlebih dahulu dikenakan syarat yang amat ketara merosakkan aqidah islamiah, antaranya ialah:

  1. Menggunakan al-Quran kecil yang sengaja diletakkan di tumit kasut untuk dipakai selama tujuh hari.
  2. Menulis ayat-ayat tertentu daripada al-Quran dengan darah haid untuk dijadikan tangkal azimat.
  3. Membawa al-Quran ke dalam tandas dan membacanya ketika membuang air besar atau kecil.
  4. Memijak al-Quran dengan menjunjung azimat yang diperbuat daripada rajah-rajah dan angka-angka tertentu.
  5. Berzikir dengan perkataan-perkatan yang tidak diketahui bahasanya dan tidak diketahui maknanya (berkemungkinan memuja nama-nama syaitan).
  6. Menyembelih kambing atau ayam atau merpati hitam dengan menyebut perkataan-perkataan tertentu dan dilarang menyebut nama Allah SWT.
  7. Membunuh orang Islam untuk diambil darahnya dan dipuja bagi tujuan menjamu makhluk halus.

Setelah dipenuhi beberapa syarat seperti yang telah disebutkan di atas, maka barulah diajarkan jampi mantera yang tidak diketahui maksudnya.

Al-Imam An-Nawawi menyebut pekerjaan sihir ialah pekerjaan merosakkan aqidah secara menyeluruh (secara ijmak). Ibnu Qudhamah di dalam Al-Mughni mengatakan dengan mempelajari, mengajar dan mengamalkan sihir adalah haram dan tidak mengetahui ada khilaf ulama-ulama muktabar dalam hal kerosakan aqidah.

Menurut Syeikh Atiyyah Saqar, sihir banyak dipelajari oleh orang awam dengan tujuan menyakiti dan memudaratkan orang lain, bukan bertujuan untuk kebaikan dan mengambil manfaat. Nas-nas di dalam al-Quran dan al-Hadith menjelaskan mengamalkan sihir adalah dosa besar, bahkan satu kekufuran yang jelas apabila seseorang menyakini ianya dapat memberi kesan dengan sendirinya, bukan dengan kuasa Allah SWT.

Menurut kaedah ilmu fiqah menyatakan barang yang telah dihukumkan haram padanya maka diharamkan mengambil faedah daripadanya. Maka, jelaslah di sini ilmu sihir itu diharamkan, maka mengambil faedah daripada ilmu sihir itu dengan mempelajarinya adalah diharamkan juga.

Dari semua kenyataan yang telah diterangkan di atas, jelaslah bahawa mempelajari, mengajar dan mengamalkan sihir itu haram dan kufur. Jika pengamal itu Muslim, rosaklah aqidahnya. Apabila rosak aqidah, lebih-lebih lagi yang disengajakan, maka samalah ia dengan murtad. Oleh itu, ilmu sihir ialah ilmu yang paling hampir menjerumuskan manusia kepada syirik.

Kehidupan Jin