Ibnu Abbas RA berkata kepada Ata’ bin Abi Rabah, “Mahukah engkau aku tunjukkan seorang wanita bakal ahli syurga.” Aku berkata, “Ya!” Katanya. Ada seorang wanita berkulit hitam datang menemui Rasulullah SAW dan berkata, “Sesungguhnya aku rajin pengsan tidak sedarkan diri dan selalu terbuka aurat. Doakanlah untukku.” Sabda Baginda, “Kalau engkau sabar dan mati akan masuk syurga. Kalau engkau mahu, aku doakan supaya Allah sihatkan engkau.”Perempuan itu berkata, “Kalau begitu aku bersabar dan doakanlah supaya auratku tidak terbuka.” Maka baginda doakan.
Hadis ini menunjukkan adanya penyakit tidak sedar diri di zaman baginda Rasulullah SAW sehingga aurat selalu terbuka.
Ibnul-Qayyim Rahimahullahu Taala berkata, “Tidak sedar diri itu terbahagi kepada dua:
1. Kerana dirasuk oleh Roh yang jahat daripada bumi seperti gangguan, rasukan daripada golongan jin.
2. Kerana bercampur aduk dengan sesuatu yang kotor. Dan ini adalah peranan doktor biasa.
Penyakit pertama ini iaitu rasukan jin atau syaitan menjadi suatu masalah kerana tidak kesemua orang faham mengenainya bahkan ramai di kalangan orang Islam sendiri yang tidak mempercayainya walaupun berlaku di hadapan mata mereka. Mereka sesetengahnya mengingkari berlakunya kemasukan jin ke dalam badan seseorang dan mengingkari ia memberi kesan ke dalam badan mereka.