Di Mana Jin Tinggal?

Ramai beranggapan bahawa jin tinggal di hutan-hutan belantara sehingga disebut orang kalau tempat itu agak terpencil maka dikatakan tempat jin bertendang.

Sememangnya, jin suka tinggal di tempat-tempat yangn kotor dan bernajis, seperti bilik air, tandas dan tempat pembuangan sampah tempat-tempat runtuhan dan tinggalan orang, padang-padang pasir, dan tanah perkuburan.

Banyak hadis Nabi SAW yang melarang mendirikan sembahyang di bilik air kerana di sana mengandungi najis yang menjadi tempat syaitan, begitu juga larangan bersembahyang di tanah perkuburan bagi menutup pintu-pintu syirik dan juga disebabkan kubur adalah tempat tinggal syaitan.

Lebih-lebih lagi tempat yang banyak berlakunya perkara syubhat dan kemaksiatan seperti di pasar-pasar, Nabi SAW pernah berpesan kepada seorang sahabat baginda dengan sabdanya:

Maksudnya:

“Kalau boleh janganlah kamu termasuk daripada orang yang awal masuk ke pasar dan jangan jadi orang yang terakhir keluar daripadanya kerana pasar tempat perjuangan syaitan dan di situlah ditegakkan benderanya.”

Kebanyakan yang tinggal di bilik air ialah jin kafir yang merasa seronok dengan bau yang busuk kerana memang jasad mereka itu busuk.

Zaid bin Adham menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

Maksudnya:

“Sesungguhnya bilik air ini ada mengandungi jin, apabila salah seorang kamu masuk tandas hendaklah ia berkata “Ya Allah aku berlindung kepadamu daripada syaitan jantan dan syaitan betina.”  (Riwayat Tirmizi Dan Nasai’)

Selain itu, jin juga tinggal di kampung-kampung, di gunung-ganang, dan lembah-lembah sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang disebut oleh Abusy-Syeikh di dalam kitabnya:

Maksudnya:

“Telah berlaku pertengkaran di antara jin Islam dan jin musyrikin, maka mereka memohon kepadaku untuk menempatkan mereka, secara berasingan. Maka aku letakkan jin Islam di kampung-kampung dan gunung-ganang dan aku tempatkan jin kafir di antara gunung dan laut.”

Jin juga tinggal di rumah orang Islam sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Yazid bin Jabir, katanya:

Maksudnya:

“Tidak adalah suatu rumah daripada kaum muslimin melainkan di atap rumah mereka ada golongan jin Islam. Apabila mereka meletakkan makanan di waktu siang, golongan jin turun dan makan tengah hari bersama mereka dan apabila manusia meletakkan makan malam mereka pun turun dan makan malam bersama mereka itu.” (Riwayat Ibn Abid-Dunya di dalam bab : Makaidusy-Syaitan)

Tetapi golongan jin tidak dapat masuk ke dalam rumah orang-orang Islam apabila mereka membaca ayat-ayat Al-Quran di dalamnya sebagaimana Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya:

“Apabila seorang lelaki masuk ke rumahnya terus menyebut nama Allah dan begitu juga ketika makan, maka syaitan berkata, maka tidak ada tempat tinggal dan tidak ada makan, dan apabila disebut nama Allah ketika masuk tetapi tidak ketika makan maka syaitan berkata kamu dapat makan tetapi tidak dapat tempat tinggal dan apabila tidak menyebut nama Allah ketika masuk dan ketika makan maka syaitan mengatakan kamu dapat tempat tinggal dan dapat makan.” (Muslim)

Setiap rumah yang dibacakan surah Al-Baqarah maka syaitan tidak akan masuk ke rumah itu selama tiga hari dari tarikh membacanya itu sebagai mana sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya:

“Janganlah engkau jadikan rumahmu sebagai kubur sesungguhnya rumah yang dibacakan padanya surah Al-Baqarah tidak akan dimasuki oleh syaitan.” (Riwayat Muslim, Tirmizi Hadis Hassan Sahih)

Sabdanya lagi yang diriwayatkan oleh Sahl bin Saad.

Maksudnya:

“Sesungguhnya bagi tiap sesuatu itu ada kemuncaknya, sesungguhnya kemuncak Al-Quran itu ialah Surah Al-Baqarah, sesungguhnya sesiapa yang membacanya di rumahnya pada waktu malam, syaitan tidak akan masuk selama tiga malam, dan sekiranya dibaca di waktu siang mereka tidak akan masuk selama tiga hari.” (Riwayat Tabarani dan Ibn Hibban)

Maka untuk menghalang mereka masuk ke rumah kita selama-lamanya, hendaklah dibaca surah ini setiap pagi dan malam.

Begitu juga apabila kita hendak memasuki rumah baru hendaklah dimulai dengan surah Al-Baqarah bukan seperti sesetengah orang yang menggunakan amalan-amalan syirik dengan bertepung tawar, dan menabur beras kunyit yang tidak kena mengena dengan cara menghalau syaitan itu. Sewajarnyalah kita kembali kepada ajaran Islam berdasarkan nas-nas Al-Quran dan hadis Nabi kita Muhammad SAW.

Untuk mengelakkan jin melihat aurat kita di dalam bilik air ialah dengan membaca bismillah sewaktu kita hendak memasukinya sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Saidina Ali b.Abi Talib KWJ:

Maksudnya:

“Tirai di antara mata jin dan aurat umatku iaitu apabila salah seorang di antara kamu memasuki bilik air dia membaca Bismillah.” (Riwayat Tirmizi)

Imam Malik RA pernah meriwayatkan di dalam kitabnya Al-Muwatta’ “Pernah diceritakan bahawa Saidina Umar b.Al-Khattab RA ingin pergi ke Iraq, maka Ka’bul Ahbar menasihatkannya, jangan engkau pergi wahai Amirul Mu’minin kerana di sana ada sembilan per sepuluh sihir dan kejahatan dan di sana banyak golongan jin yang fasiq dan padanya ada penyakit-penyakit yang susah sembuh.”

Termasuk juga tempat-tempat yang disukai oleh syaitan ialah tempat di antara cahaya matahari dan tempat teduh. Maksudnya di antara dua kawasan itu, dan dalam hal ini baginda Rasulullah SAW melarang kita duduk di tengah-tengah kawasan itu.

Kehidupan Jin