Dari Mana Datangnya Syaitan? (Marah) – Bhgn 2

Memadamkan Api Kemarahan

Jika sedang marah, seharusnya anda padamkan dan berusaha menenangkan gejolak emosi dengan beberapa perkara berikut ini:

Pertama : Meminta perlindungan kepada Allah SWT dari godaan syaitan yang terkutuk.

Sulaiman bin Shard RA berkata, “Ada dua orang yang saling mencela dan mengejek di hadapan Rasulullah SAW sehingga salah seorang dari mereka marah dan raut wajahnya memerah, urat lehernya juga menegang. Rasulullah SAW melihatnya dan bersabda:

“Sesungguhnya aku benar-benar mengetahui suatu kalimat, seandainya orang itu mahu mengucapkannya, nescaya amarahnya akan padam. Seandainya dia mahu mengucapkan: (Aku berlindung kepada Allah dari godaan syaitan yang terkutuk, pasti amarahnya akan hilang.”

Setelah itu, sahabat yang mendengarkan hai ini daripada Rasulullah SAW terus berdiri dan menghampiri orang yang marah tadi, dia berkata, ‘Adakah kamu mengetahui apa yang baru dikatakan Rasulullah SAW?’ Orang itu berkata, ‘Tidak’. Sahabat ini berkata, ‘Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Aku akan mengajarkan sebuah kalimat kalau orang ini mengucapkannya, nescaya amarahnya akan padam, iaitu:

“Aku berlindung kepada Allah dari godaan syaitan yang terkutuk.”

Akan tetapi orang itu justeru berkata, ‘Kamu fikir saya orang gila?’

Kedua : Sentiasa ingat bahawa ganjaran dan pahala menahan amarah begitu besar sehingga mendorong seseorang untuk menahan amarahnya,  dalam perancangan mencari redha dan pahala dari Allah SWT.

Abdullah bin UmarRA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Tiada letupan amarah yang pahalanya lebih besar di sisi Allah SWT yang ditahan seseorang kerana mengharapkan keredhaan Allah semata-mata.”

Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah meriwayatkan daripada Abdurrahim bin Maimun daripada Sahal bin Muadz daripada Muadz bin Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa yang menahan amarah, padahal dia mampu melepaskannya, maka Allah akan menyerunya di hadapan seluruh makhluk, hingga Allah memilihkan untuknya bidadari yang  cantik jelita dan matanya bercahaya sesukanya.”

Ketiga : Diam. Sebabnya dalam keadaan marah seseorang mudah sekali melakukan kesalahan. Oleh itu diam lebih baik dan lebih selamat.. Sebagaimana yang disebutkan di dalam lantunan bait-bait syair berikut ini:

Jika orang bodoh bercakap, jangan engkau melayaninya

Kerana sebaik-baik jawapan untuknya ialah diam.

Ketika aku tidak menjawab perkataan orang bodoh. Dia mengira aku tidak mengetahui jawapannya, padahal bukan demikian

Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa siapa yang beriman kepada Allah dah hari kiamat, hendaknya dia mengatakan yang baik atau diam.”

Ahmad, Ibnu Abid Dunya, Tabrani dan Bauhaqi meriwayatkan daripada hadis Abdullah bin Abbas RA (marfu’), “Apabila engkau marah, maka diamlah.”

Keempat : Duduk atau berbaring. Sebabnya Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Hibban meriwayatkan daripada Abu Zar Al-Ghifari RA (marfu’), “Apabila salah seorang di antara kamu marah dikala dia sedang berdiri, hendaknya dia duduk nescaya amarahnya akan padam. Dan jika tidak padam, hendaknya dia berbaring.”

Dari catatan kaki tentang hadis ini, jelaslah bagi kita sebab terputusnya hadis hanya sampai pada dia (Abu Zar) saja Walllahu a’lam. Tetapi saya menemukan periwayatan yang lain daripada Abu Zar menurut versi Abu Daud (4/249). Dengan begitu, darjat hadis ini menjadi hasan. At-Tirmizi meriwayatkan daripada Abu Said Al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya manusia diciptakan dalam beberapa tahap (mempunyai banyak sikap). Di antara mereka ada yang susah marah dan bijak. Ada juga  cepat marah dan bijak. Yang satu berbanding dengan yang lain. Dan di antara mereka ada juga yang cepat marah dan bodoh. Sesungguhnya golongan yang terbaik ialah mereka yang susah marah dan bijak. Dan golongan yang paling buruk ialah mereka yang cepat marah dan bodoh. Sesungguhnya marah merupakan bara api di dalam hati manusia. Tidaklah kalian melihat kedua-dua mata orang yang sedang marah merah dan urat lehernya menegang ? Barang siapa yang merasakan hal ini pada dirinya, hendaknya dia melekat pada tanah.”

Kembali ke bahagian pertama.

Kehidupan Jin