Dari Mana Datangnya Syaitan? (Kebodohan)

Terdapat sekian banyak pintu-pintu masuk syaitan yang harus kita berwaspada. Dengan keahliannya memanfaatkan kelalaian kita, syaitan mampu merasuk ke dalam diri manusia melalui pintu-pintu tersebut. Berikut merupakan huraian mengenai pintu-pintu itu:

i) Kebodohan

Kebodohan merupakan pintu utama tempat masuknya syaitan untuk menggoda manusia. Tidak keterlaluan jika kita mengatakan bahawa, semua pintu masuk syaitan bermula dari sini. Di atasnyalah pintu-pintu yang lain bersandar dan menjadikannya sebagai penahan.

Orang yang bodoh tidak mengetahui pintu-pintu masuk syaitan sehingga dia tidak tahu bagaimana cara menutupinya. Dia juga tidak tahu segala tipu dayanya sehingga tidak tahu cara menepisnya. Selain itu dia juga tidak tahu semua perangkap dan jeratnya sehingga tidak tahu cara menghindarinya. Oleh itu, syaitan begitu mudah mempengaruhi dan menjerumuskannya hanya dengan tipu daya yang mudah.

Orang yang bodoh tidak dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk. Dia juga tidak dapat membezakan antara sunah dan bidaah. Kadangkala, syaitan menjerumuskannya kepada kejahatan kerana mengganggapnya sebagai sunah. Maka orang seperti ini termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi. Allah SWT berfirman:

“Katakanlah (Muhammad): “Apakah akan Kami beritahukan kepadamu tentang orang yang paling rugi perbuatannya?” Iaitu orang yang mensia-siakan perbuatan dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka sangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya.” (Surah Al-Kahfi: 103-104)

Kebodohan akan mencemarkan hati dan membutakan sanubari. Oleh itu, orang bodoh merupakan tumpuan utama syaitan. Syaitan akan mengarahkan panah-panah syubhah dan racun-racun syahwat kepadanya sehingga menjadi korban keganasan hawa nafsu, dan tawanan syahwat. Jika telah sampai pada taraf seperti ini, syaitan akan mengangkat si bodoh ini menjadi perajuritnya yang menyebarkan kerosakan di muka bumi dan menghalang manusia dari kebenaran sehingga, dia akan termasuk dalam barisan golongan syaitan. Allah SWT berfirman

“Syaitan telah menguasai mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati Allah; mereka itulah golongan syaitan. Ketahuilah, bahawa golongan syaitan itulah golongan yang rugi.” (Surah Al-Mujadilah: 19)

Oleh itu, Abdullah Ibnul Mubarak menuturkan:
Kebodohan ialah kematian sebelum kematian sebenarnya
Sebelum kesuburan, jasad mereka telah menjadi kuburan

Orang tanpa ilmu laksana mayat
Sebelum dibangkit, dia tidak akan dibangkitkan

Di antara pintu masuk syaitan untuk merasuki orang bodoh ialah sentiasa menghalanginya untuk menuntut ilmu. Dia membisikkan, “ Adakah wajar kalau kamu duduk-duduk bersama seorang alim di dalam majlis-majlis ilmu, padahal kamu sudah tua?” Akhirnya, orang ini pun memenuhi seruan syaitan untuk tidak menghadiri majlis-majlis ilmu.

Abul Hasan Al-Mawardi berkata, “Barangkali, ada orang yang enggan menuntut ilmu kerana usianya sudah  lanjut . Atau merasa malu untuk menuntutnya ketika sudah tua kerana pada waktu mudanya dia telah mensia-siakannya .” Akhirnya, dia rela menerima kebodohan sebagai ciri-ciri khasnya dan lebih memilihnya daripada belajar dan mengaji. Hal ini merupakan tipu daya kebodohan dan kemalasan. Sebabnya ialah jika ilmu menjadi sebuah  keutamaan orang-orang lanjut usianya seharusnya tetap mencintainya kerana memulakan sebuah kebaikan merupakan suatu perkara yang baik. Menjadi orang tua yang mahu belajar jauh lebih baik daripada orang tua yang bodoh.”

Ada pepatah mengatakan, “Kamu mati dalam keadaan menuntut ilmu lebih baik daripada hidup dengan dikuasai kebodohan.”

Ali bin Abu Talib RA berkata:

“Jadilah kamu seorang yang alim, atau penuntut (ilmu) , atau pendengarnya,  atau pecintanya, dan jangan menjadi orang yang kelima. Sebab kamu akan binasa.”

Apabila mendapati orang bodoh mempunyai semangat dan keinginan belajar, syaitan akan membisikannya, “Kalau kamu menuntut ilmu kemudian tidak mengamalkannya, kelak ilmu itu akan menuntutmu! Lebih baik kamu tidak mempelajarinya supaya tanggunganmu lebih ringan dan alasanmu boleh diterima.”

Sementara orang bodoh itu akan mengetahui ilmu akan menyingkap kezaliman syaitan, dan menghilangkan cubaan serta fitnah yang menguasai dirinya. Ilmu pada hakikatnya ialah pembimbing dan penolong sejati.

Sebagaimana percakapan seorang ulama, “Ketika kami menuntut ilmu bukan kerana Allah, maka ilmu pun merasa enggan untuk diperoleh kecuali jika kerana Allah.”

Seorang berkata kepada Abu Hurairah RA “Saya hendak menuntut ilmu dan saya takut jika saya akan mensia-siakannya. “Abu Hurairah RA berkata, “ Dengan tidak menuntut ilmu sudah dianggap sia-sia.”

Hal yang sangat menakjubkan, syaitan menggambarkan kepada orang yang bodoh bahawa dia sebenarnya merupakan orang yang pintar. Perkara ini merupakan jeratan terbesar dan penipuan tertinggi syaitan.

Khalil bin Ahmad menggolongkan manusia kepada empat golongan berdasarkan pengetahuan mereka. Dia mengatakan , “Manusia ada empat jenis:

Pertama: Orang yang pintar dan dia menyedari kalau dirinya pintar. Orang seperti ini disebut sebagai ulama, maka bertanyalah kepadanya.

Kedua: Orang yang pintar, tetapi dia tidak menyedari jika dirinya pintar. Orang seperti ini ialah orang yang lupa, jadi ingatkanlah dia.

Ketiga: Orang yang bodoh dan menyedari jika dirinya bodoh. Orang seperti ini perlu dibimbing, maka ajarilah dia.

Keempat: Orang yang bodoh, tetapi dia tidak menyedari jika dirinya bodoh. Orang seperti ini ialah orang jahil, maka jauhilah dia.”

Abul Qasim Al-Amidi menuturkan:

Jika engkau seorang yang bodoh dan tidak mahu bertanya

Kepada orang yang pintar maka bagaimana engkau akan pintar?

Dan engkau bodoh, tetapi engkau tidak sedar kalau dirimu bodoh

Bagaimana aku memahamikanmu kalau dirimu bodoh?

Jika engkau dalam keadaan tidak mengetahui banyak perkara (bodoh)

Mmaka terimalah, jika engkau laksana tanah yang dipijak orang pintar

Yang paling aneh, kalau engkau bodoh

Tetapi engkau tiada menyedari kalau dirimu bodoh

Pintu masuk syaitan kepada orang yang bodoh sangat banyak dan tidak dapat dihitung. Cukup bagi anda fahami bahawa, semua pintu masuk syaitan bersumberkan dari pintu kebodohan.

Kehidupan Jin