Buah Delima

“Sesungguhnya telah sampai kepadaku bahawa  tiada sebiji delima yang dipetik di dunia ini melainkan terdapat satu biji benih daripada benih-benih di syurga. Mudah-mudahan benih tersebut ialah biji ini.”

Buah delima sememangnya terkenal dengan khasiat yang sangat baik untuk tubuh badan. Malahan bukan itu sahaja, buah ini juga mempunyai zat yang sangat baik untuk ibu mengandung dan mencantikkan kulit. Maka, tidak hairanlah buah delima mendapat permintaan yang tinggi di pasaran.

Firman Allah SWT:

Ertinya: “Dialah yang menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan segala jenis tumbuhan melalui air hujan itu. Kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau. Kami keluarkan pula daripadanya (tanaman itu) bijian (buah) yang bergugus; tandan-tandan yang mudah dicapai daripada mayangnya pada pohon tamar; dan (Kami jadikan) kebun-kebun daripada anggur, zaitun serta buah delima yang sama (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak sama. Perhatikanlah kepada buahnya ketika berbuah dan masak. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman.”(Surah al-An’am 6: 99)

Firman Allah SWT:

Ertinya: “Dialah (Allah) yang  menjadikan kebun-kebun yang menjalar (seperti tembikai) dan yang tidak menjalar (tumbuh dengan batang); pohon tamar (kurma), tanaman yang berlainan rasanya (serta bentuk); buah zaitun dan delima yang sama ( warnanya atau daunnya) namun sebenarnya tidak sama (rasanya). Makanlah buahnya ketika ia berbuah, keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari menuainya dan janganlah kamu melampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampau.”(Surah al-An’am 6: 141)

Ertinya: “Pada kedua-duanya terdapat buah-buahan, pohon kurma dan delima. Maka mana satu antara nikmat Tuhan kamu yang kamu dustakan?”(Surah al-Rahman 55: 68-69)

Buah delima atau rumman disebut sebanyak tiga kali dalam al-Quran iaitu pada ayat 99 dan 141 surah al-An’am dan ayat 68 surah al-Rahman.

Kedua-dua ayat dalam surah al-An’am memerihal tentang buah delima di dunia iaitu pohon yang ada kemiripan daunnya dengan daun zaitun. Manakala ayat dalam surah al-Rahman pula menggambarkan tentang buah delima yang menjadi buah di dalam syurga. Kaitan delima dengan syurga adalah sangat rapat sehinggakan diriwayatkan daripada seorang lelaki Bani Hashim yang berkata,

Ertinya: “Apabila Ali memakan makanan, beliau suka agar orang lain makan bersamanya, kecuali buah delima. Sesungguhnya beliau memakannya seorang diri dan memakannya berserta pembahaginya ( di antara biji-bijinya) serta berkata, ‘Sesungguhnya dalam setiap buah delima itu ada satu biji (benih) dari syurga.”

Al-Ashma’i berkata,

Ertinya: “Aku pernah melihat seorang perempuan Arab Badwi memakan kulit delima. Lalu aku bertanya kepadanya. ‘Apa yang engkau lakukan dengan memakan kulit ini?’ Dia menjawab, ‘Aku menghilangkan kelaparan pada diriku melaluinya kerana sesungguhnya apabila aku menghalang kelaparan itu dengan sesuatu, maka ia akan terhalang.”

Khasiat delima sangat banyak sehinggakan Sayidina Ali bin Abi Thalib pernah berkata,

Ertinya: “Makanlah buah delima bersama pembahaginya kerana sesungguhnya ia adalah pencuci perut.”

Diriwayatkan daripada Ibnu Sirin, beliau berkata,

Ertinya: “Perbandingan buah delima antara buah-buahan lain adalah seperti Jibrail dalam kalangan para malaikat.”

Diriwayatkan bahawa Ibnu ‘Abbas telah mengambil sebiji buah delima lalu memakannya. Orang bertanya kepadanya, “Wahai Ibnu ‘Abbas, kenapa engkau melakukan  sedemikian?” Dia menjawab,

Ertinya: “Sesungguhnya telah sampai kepadaku bahawa tiada sebiji delima yang dipetik di dunia ini melainkan terdapat satu biji benih daripada benih-benih di syurga. Mudah-mudahan benih tersebut ialah biji ini.”

Makanan Kesihatan