Bolehkah Roh Meniduri Pasangan Yang Masih Hidup?

Soalan:

Ini merupakan kisah benar yang menimpa diri saya dan kejadian ini amat merunsingkan saya. Kami baru berkahwin, namun takdir telah menentukan suami saya telah meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya dan saya redha menerimanya. Saya bermimpi, arwah suami datang kepada saya seperti sebelum pemergiannya. Kami berasa gembira dan tidur bersama. Selang beberapa malam, antara terlena dengan tidak, saya berasa suami berada di samping saya, bermadu kasih dan berasa yakin arwah suami meniduri saya. Adakah roh suami saya boleh balik dan melayan saya? Apakah yang harus saya lakukan? (Zaharah, Labis, Johor)

Jawapan:

Firman Allah SWT dalam surah al-Mu’minun ayat 100 yang bermaksud:

“Supaya mereka mengerjakan amal-amal yang soleh yang telah akau tinggalkan”. Sekali-kali tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataan itu hanyalah ungkapan yang sengaja dia lafazkan, sedangkan di hadapan mereka ada dinding (penghalang mereka ke dunia) sehingga hari mereka dibangkitkan semula.”

Ayat ini menjelaskan bahawa selepas berlaku kematian, mereka akan berada di alam barzakh (yang mereka akan tinggal tetap di dalamnya) sehingga pada hari mereka dibangkitkan semula.

Dalam tafsir al-Qurtubi mengatakan bahawa selepas berlaku kematian, roh manusia akan masuk ke alam barzakh, mereka berada di dalamnya. Alam itu tertutup dan tersekat daripada alam dunia.

Ini bererti, roh orang yang telah mati tidak boleh kembali ke alam dunia. Secara logiknya, sekiranya orang yang sudah mati kembali seperti dalam bentuk yang saudari nyatakan, mengapakah orang yang dibunuh dengan zalim, diseksa musuh yang tidak berperikemanusiaan, dirogol dan sebagainya, tidak balik semula untuk mencari orang yang menganiayanya mereka dan membalas dendam ke atas mereka?

Ini tidak pernah berlaku kerana orang yang telah mati sudah berada di alam yang “terdinding” dan tidak boleh kembali?

Oleh itu, ia bukan roh, bukan suami. Besar kemungkinan adalah makhluk halus yang disebut sebagai qarin. Qarin memang wujud. Pada asalnya ia merupakan bayang atau duplikasi daripada suami saudari. Apabila suami telah kembali ke alam “baqa”, maka makhluk tadi dengan izin Allah SWT boleh menyerupai suami saudari untuk melakukan apa yang saudari sebutkan tadi.

Oleh kerana ia bukan suami saudari, jangan sesekali melayaninya. Jangan memberi ruang kepadanya untuk melakukan sesuatu yang tidak baik kepada saudari. Lindungilah diri saudari dengan ayat-ayat al-Quran antaranya membaca dua surah terakhir daripada al-Quran, Ayat Kursi sebanyak mungkin. Membaca surah al-Baqarah hingga akhir, atau membaca Khawatim (ayat-ayat terakhir) al-Baqarah iaitu ayat 284 hingga 286.

Sebaik-baiknya sebelum tidur, saudari membaca 11 ayat daripada surah al-Baqarah iaitu ayat 1 hingga 5, ayat 255 hingga 257 dan 284 hingga 286. Saudari boleh juga membaca surah Yasin atau surah lain dengan memohon pertolongan Allah SWT agar perkara sebegini tidak berlaku lagi.

Wallahu A’lam.

Petikan Daripada Buku ‘Menjawab Persoalan Makhluk Halus‘ oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Tanya Ustaz