Soalan :
“Saya pernah bermimpi bertemu dengan seorang alim, berjubah, berserban, bertasbih, mukanya bersih bercahaya serta berbau wangi bila mendampinginya. Orang alim tersebut mengajar saya ilmu hikmah, termasuk cara mengubati orang yangt sakit dengan syarat-syarat berikut:
(i) Berpuasa sunat selamat 14 hari berturut-turut.
(ii) Bersolat tahajut pada malam-malam hari yang saya berpuasa itu tanpa boleh berhenti atau berselang selama 14 hari berturut-turut.
(iii) Menjamu 40 orang anak yatim.
(iv) Menyembelih seekor kambing untuk dijamu kepada jiran tertangga.
(v) Berzikir selama seminggu tanpa henti siang dan malam. Selepas itu saya boleh mengubati orang.
Apakah pandangan Ustaz tentang perkara ini? Bolehkah saya menerima dan megubati orang sakit dengan amalan-amalan ini?” (Muhammad Nasrun Abdul Rahim, Serendah, Selangor)
Jawapan :
Mimpi adalah permainan tidur. Kebanyakkan mimpi berlaku hasil daripada khayalan, imaginasi manusia tentang sesuatu hal dan gambaran yang amat diingini atau ditakutinya. Mimpi juga biasanya mainan syaitan yang ingin menyesatkan manusia melalui mimpi. Sesuatu yang berlaku dalam mimpi itu jarang sekali menggambarkan yang sah ataupun yang sebenar.
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Tidak tinggal daripada nubuwwah (kenabian) melainkan mimpi-mimpi yang benar (al-Ru’ya al-Sadiqah).”
Mimpi-mimpi yang benar ini amat jarang berlaku. Kadangkala dilihat sebagai benar, namun apabila diteliti ia tidak benar sama sekali.
Mimpi manusia biasa tidak serupa dengan mimpi para Anbia dan al-Mursalin. Mimpi para Anbia dan al-Mursalin adalah benar sedangkan mimpi manusia biada lebih banyak terdedah kepada pelbagai penipuan Iblis.
Merujuk kepada mimpi yang saudara sebutkan, pada zahirnya ia suatu yang wajar diikuti kerana mimpi itu merujuk kepada meminta agar saudara melakukan semua perkara yang disyariatkan.
Tetapi persoalannya adakah saudara tidak pernah mendengar tentang perkara yang dianjurkan dan digalakkan oleh syarak itu?
Jika pernah, mengapa apabila disuruh oleh orang alim dalam mimpi itu baru sauda ingin melakukannya? Siapakah yang saudara temui dalam mimpi itu, adakah dia insan sebenar atau syaitan yang menyerupai orang yang anda kagumi itu?
Oleh yang demikian, ada dua kemungkinan sama ada arahan dalam mimpi itu benar daripada orang yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT atau berkemungkinan hanya lakonan Iblis. Saya menasihati saudara jangan mengambil risiko kerana mentaati mimpi amat terdedah kepada risiko yang begitu besar, iaitu melakukan ibadah bukan kerana Allah SWT tetapi kerana syaitan.
Sekiranya ditakdirkan orang yang ada mimpi itu suatu penjelmaan makhluk halus atau qarin atau apa sahaja namanya yang sengaja hendak mempengaruhi saudara melakukan ibadah bukan kerana Allah SWT, tetapi kerana mimpi dan melakukan hanya kerana hendak menjadi seorang perawat yang hebat, untuk tujuan keduniaan semata-mata, saudara telah melakukan syirik kepada Allah.
Seandainya saudara mempunyai minat begitu mendalam untuk melakukan kerja-kerja kebaikan, lakukanlah kerana Allah SWT, sebagaimana yang termaktub dalam al-Quran, al-Sunnah, al-Ijma’ dan pelbagai sumber hukum lain yang menyeru kita melakukan ibadah yang disebutkan tadi dan bukannya kerana mimpi.
Berkenaan ilmu pengetahuan, secara umumnya Islam meletakkan saluran yang tertentu untuk menyebarkan ilmu. Firman Allah SWT dalam suran an-Nahl ayat 43 yang bermaksud:
“Kami tidak mengutus Rasul sebelum mu wahai Muhammad, melainkan daripada kalangan orang lelaki yang kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”
Istilah yang digunakan dalam ayat ini adalah ahl al-Dhikr, iaitu orang yang dapat mengingatkan kamu kepada Allah SWT. Siapa lagi kalau bukan ulama yang muktabar. Salah satu daripada tuntutan syarak ialah kita mengambil ilmu daripada ulama yang muktabar.
Dalam konteks ini, sudah ramai ulama dalam masyarakat yang boleh membantu saudara melakukan ibadah. Jika saudara memerlukan kepada orang yang boleh mendampingi dan menunjuk ajar ilmu perubatan sama ada perubatan alopati atau berasaskan doa dan ayat-ayat al-Quran, saudara boleh mendapatkannya dengan mudah. Jangan mengambil ilmu daripada mimpi yang saudara sendiri tidak pasti siapakah yang saudara temui dalam mimpi itu.
Petikan daripada buku “Menjawab Persoalan Mahkluk Halus” bersama Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din