Bolehkah Manusia berkahwin Dengan Bunian?

Soalan (a): Adakah perkahwinan antara manusia dengan bunian (jin) boleh berlaku?

Soalan (b): Apakah hukum perkahwinan tersebut, sah atau tidak sah di sisi Islam?

Jawapan (a)

Perkahwinan dalam erti kata yang kita fahami hari ini bermaksud tidur bersama selepas berlaku ikatan yang sah, dan berlaku antara manusia dengan manusia sahaja seperti yang disebut oleh Allah SWT dalam surah al-Rum ayat 21 yang bermaksud:

“Dan diantara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat Allah, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bahagia dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”.

Ayat ini menjelaskan bahawa pasangan hidup manusia dalam rumah tangga yang dirahmati Allah, adalah manusia juga.

Ada pendapat yang mengatakan salah seorang daripada ibu bapa Puteri Balqis, Raja Perempuan di negeri Saba’ (Yaman) adalah dari golongan jin.

Hal ini tercatat dalam Tafsir al-Qurtubi ketika membuat tafsiran kepada surah al-Isra’ ayat 64 yang menyebut firman Allah SWT:

maksudnya: “Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan seni suaramu (nyanyian); dan kerahlah penyokong-penyokong mu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka; dan turut – campurlah (berkongsilah) dengan mereka dalam menguruskan harta benda dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan janji-janji mu). Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata.”

Sebenarnya jin akan berusaha keras memperdayakan manusia untuk menderhaka kepada Allah SWT dengan pelbagai cara. Mereka menggunakan seni suara (nyanyian), tentera-tentera mereka, sehingga boleh bermusyarakah bersama untuk mendapatkan harta benda dan anak-anak hasil perkongsian hidup manusia dengan makhluk-makhluk halus ini. Antaranya disebutkan tentang perkahwinan ibu bapa Puteri Balqis.

Dalam suatu hadith yang diriwayatkan oleh ‘A’isyah RA, Nabi SAW pernah bersabda, maksudnya:

“Adakah sesiapa di antara kamu menjadi al-Mugharribun? Maka aku (‘A’isyah) bertanya Nabi SAW siapakah al-Mugharribun itu? Maka Nabi SAW bersabda (maksudnya): Al-Mugharribun ialah mereka yang telah bermusyarakah dalam kehidupan rumahtangga dengan jin.”

Hadith ini menunjukkan bahawasanya ada kemungkinan manusia itu berkahwin dengan jin seperti yang didakwa kerana makhluk ini seperti yang disebut dalam beberapa hadith, boleh menyerupai dengan pelbagai rupa yang diizinkan Allah SWT tetapi dalam keadaan atau peluang yang amat terhad demi menjaga kemaslahatan anak Adam agar tidak terlalu terdedah dengan ancaman makhluk halus.

Penjelmaan mereka menyerupai manusia sabit dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, iaitu berlaku kecurian harta zakat yang dikawal selia oleh Abu Hurairah RA sehingga Abu Hurairah dapat menangkap pencuri itu. Abu Hurairah hendak membawa pencuri itu kepada Rasulullah SAW. Makhluk itu merayu agar ia dilepaskan yang akhirnya Abu Hurairah RA melepaskannya. Abu Hurairah RA menceritakan peristiwa itu sebenarnya ialah syaitan.

Sabit juga bahawa penjelmaan jin boleh berlaku dengan bentuk yang jelas menyerupai manusia seperti yang berlaku dalam peristiwa Perang Badar. Hal ini disebut dalam surah al-Anfal ayat 48 yang bermaksud:

“Dan ingatlah ketika syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu untuk dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata “Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia yang dapat mengalahkan kamu dan sesungguhnya aku adalah perlindung dan penolong kamu”, maka apabila kedua-dua puak (angkatan tentera Islam dan kafir musyrik) masing-masing kelihatan (berhadap-hadapan), syaitan itu berundur ke belakang sambil berkata “Aku berlepas diri daripada kamu kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya, sesungguhnya aku takut kepada Allah dan Allah sangat berat azab seksanya”

Ayat ini menjadi bukti wujudnya satu makhluk yang menjelma sebagai manusia kononnya untuk membantu askar-askar musuh (kuffar) menentang tentera Islam dan jelaslah bahawa makhluk itu bukan manusia, tetapi syaitan yang menyerupai manusia.

Dengan demikian, jelaskan syaitan ini boleh menyerupai manusia dan dengan sendirinya boleh menyerupai suami atau isteri kepada manusia.

Jawapan (b)

Mengenai soalan ke-2 pula, hukumnya adalah jelas. Jumhur ulama bersepakat hukum berkahwin dengan jin tidak sah sama sekali. Perkahwinan antara manusia dengan jin tidak boleh dilakukan.

Walaupun ada seorang ulama yang bernama Qamuli menyatakan perkahwinan antara manusia dan jin boleh dilakukan, namun saya berpegang dengan pandangan jumhur ulama yang mengatakan hukum perkahwinan tersebut adalah tidak sah kerana menyalahi ayat surah al-Rum yang disebut diatas.

Perkahwinan antara manusia dengan jin tidak akan melahirkan ketenangan, kebahagiaan ataupun mendapat rahmat Allah SWT.

Perkahwinan yang tidak sah pada hukum syarak tidak mungkin dirahmati Allah SWT dan tidak mendapat restu Allah SWT. Tidak mungkin kebahagiaan dan ketenangan dapat dicapai. Kita dapat merasakan jika berlaku krisis rumahtangga dengan mereka (golongan jin), bagaimana rumahtangga boleh aman daripada gangguan mereka?

Malahan anak-anak yang mungkin lahir daripada hubungan itu akan bermasalah. Mereka tidak boleh bergaul dengan sanak saudara dalam alam manusia. Jika berlaku masalah dengan anak-anak jiran, pasti akan mengundang pelbagai kecelakaan.

Wallahu A’lam

Petikan Daripada Buku ‘Menjawab Persoalan Makhluk Halus‘ oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Tanya Ustaz