Masyarakat Melayu memiliki pelbagai kepercayaan tahayul. Berbagai dakwaan dikeluarkan dan kebanyakan dakwaan tersebut ada yang menyalahi hukum syarak.
Istilah yang disebutkan dalam al-Quran seperti syaitan, jin, Iblis, Ifrit dan beberapa istilah lain dalam hadith kesemuanya merujuk kepada makhluk halus.
Pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW ketika baginda mengimamkan solat di Masjid al-Haram, tiba-tiba para sahabat melihat Rasulullah SAW sedang mengelak daripada sesuatu dan seperti memegang atau menangkap sesuatu yang mereka tidak nampak.
Selesai solat, para sahabat bertanya Rasulullah SAW tentang perlakuan baginda ketika dalam solat. Rasulullah SAW menjelaskan kepada para sahabat, Ifrit telah datang kepada baginda dengan obor api untuk mengganggu solat baginda, lalu baginda mengelak daripada nyalaan obor api itu dari terkena muka dan telah menangkapnya dengan tangan. Pada ketika itu baginda berazam mengikat Ifrit ini pada salah satu tiang di Masjid al-Haram supaya Iblis itu dilihat dan dimain-mainkan oleh anak-anak.
Tiba-tiba baginda teringat doa Nabi Sulaiman AS yang memohon kepada Allah SWT agar kekuatan yang ada padanya, boleh menawan, menangkap dan mengurung makhluk halus ini tidak diberikan kepada orang lain. Oleh kerana itu baginda melepaskan Ifrit itu setelah terasa lidahnya mula mengena pada lengan baginda.
Hadith berikut menerangkan perkara di atas:
“Syaitan telah datang mengganggu solatku, lalu aku pegang lehernya dan mencekeknya hingga dapat aku rasakan lidahnya yang sejuk pada tanganku. Jika tidak kerana doa Nabi Sulaiman AS, nescaya akan aku ikat syaitan itu untuk tontonan kamu.”
Kejadian yang berlaku membolehkan kita mengambil kesimpulan bahawa Nabi Muhammad SAW tidak pernah menangkap atau menambat Iblis, bahkan jauh sekali untuk memasukkannya ke dalam botol, dibuang ke mana-mana tempat.
Baginda cuma mengelak apabila diganggu. Baginda menangkap Ifrit disebabkan mengganggu baginda ketika solat. Walaupun Nabi Muhammad SAW teringin untuk menambat Ifrit, namun apabila baginda teringat doa Nabi Sulaiman AS, baginda tidak melakukannya.
Petikan Daripada Buku ‘Menjawab Persoalan Makhluk Halus‘ oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din