Pujukan dan bisikan syaitan yang tersembunyi itu disebutkan dalam surah An-Nas.
Allah SWT berfirman: “Katakanlah, ‘Aku berlindung kepada Rabb manusia. Raja manusia. Tuhan manusia. Dari kejahatan syaitan pembisik yang bersembunyi. Yang membisikkan ke dalam dada manusia. Dari kalangan jin dan manusia.'” (An-Nas: 1-6)
Abu Ya’la memberi cadangan dalam masalah itu: “Bisikan itu boleh berbentuk perkataan tersembunyi yang difahami oleh hati, atau boleh juga masuk ke dalam fikiran, lantas terjadilah kerasukan atau jin masuk ke dalam anggota tubuh manusia. Ini bertentangan dengan sikap ahli ilmu kalam yang mengingkari syaitan masuk ke dalam tubuh manusia. Para ahli ilmu kalam meyakini bahawa tidak mungkin ada dua roh dalam satu tubuh. Dalil yang menunjukkan hal itu adalah firman Allah SWT: “Yang membisikkan ke dalam dada manusia.” (An-Nas: 5) Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya syaitan itu berjalan pada tubuh anak keturunan Adam melalui jalan darahnya, dan sesungguhnya aku khuatir kalau syaitan membisikkan sesuatu ke dalam hati kamu. Baginda SAW mengatakan hal ini kepada dua orang sahabat ketika kedua-duanya melihat baginda berjalan bersama isteri baginda, Safiyyah Ibnu Abi Daud meriwayatkan dari Ibnu Abbas RA, tentang firman Allah, al-waswas al-khannas (pembisik yang bersembunyi), dia berkata, ‘Perumpamaan syaitan itu seperti perumpamaan anak singa yang meletakkan mulutnya pada mulut hati manusia lantas dia membisiknya. Apabila manusia itu ingat kepada Allah SWT, maka dia bersembunyi, sedangkan ketika manusia itu diam (tidak mengingati Allah), maka syaitan kembali lagi. Itulah maksud al-waswas alkhannas.”
Ibnu Abid Dunya mengeluarkan hadis dalam kitab Maka’id As-Syaithan, serta Abu Ya’la dan Al-Baihaqi dalam Syu’ab Al-Iman, dari Anas bin Malik RA, dari Nabi Muhammad SAW, baginda bersabda: “Sesungguhnya syaitan itu meletakkan muncungnya pada hati anak Adam, apabila anak Adam itu berzikir, maka syaitan bersembunyi, sedang apabila anak Adam itu lupa, maka syaitan membisik hatinya.” (HR. Al-Baihaqi)
As-Suhaili berkata: “Stempel Nabi Muhammad SAW terletak berdekatan dengan bahu baginda, kerana itulah baginda terjaga dari bisikan syaitan, dan itulah lokasi yang dilalui oleh syaitan untuk membisik kepada anak keturunan Adam.”
Al-Bazzar meriwayatkan dari Abdullah bin Zaid bin Ashim bahawa orang ramai bertanya kepada Rasulullah SAW tentang bisikan syaitan yang dirasakan oleh salah seorang di antara mereka, bahawa dia jatuh dari bintang Tsurayya itu lebih dia sukai daripada dia membicarakannya? Rasulullah SAW bersabda: “Itulah kejelasan iman. Sesungguhnya syaitan itu datang kepada seorang hamba Allah SWT pada apa yang selain itu, apabila dia terlindung darinya, maka syaitan jatuh padanya di tempat tersebut.” (HR. Al-Bazzar)
Muslim meriwayatkan, bahawasanya Utsman bin Abil Ash datang menemui Nabi Muhammad SAW lalu dia berkata: “Ya Rasulullah, syaitan menggangguku dalam solatku sehingga dia mengganggu bacaanku.” Rasulullah SAW bersabda: “Itulah syaitan yang dinamakan Khanzab. Apabila kamu merasai gangguannya, maka mohonlah perlindungan kepada Allah SWT darinya dan meludahlah kamu ke atas kirimu tiga kali.” Utsman bin Affan RA, berkata: “Aku pun mengerjakan yang diperintahkannya, maka Allah SWT menghilangkan gangguan itu dari diriku.” (Hadis ini diriwayatkan oleh Muslim dan Ahmad)
Begitulah, kita melihat bahawa qarin atau syaitan ini menyusup ke dalam anak Adam untuk membisiknya dan memujuk untuk melakukan keburukan, maka kerjakanlah kewajipan-kewajipan agamamu sebaik-baiknya, dan jadikanlah hatimu serta lisanmu sentiasa basah dengan zikir mengingati Allah, nescaya syaitan akan lari dari dirimu.
Allah SWT berfirman: “Ketahuilah, dengan zikir kepada Allah itu hati akan menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)
Petikan daripada buku “Ensiklopedia Rawatan Islam”
Ibnu Qayyim Al-Jauziyah, Prof. Sya’ban Ahmad Solih