Bidara

Buah bidara merupakan buah tempatan yang mempunyai rasa yang enak dan adakala dibuat jus atau dimakan begitu sahaja. Kadangkala buah bidara juga diperam dan dijadikan sebagai jeruk dan dijual secara komersial di pasaran.

Selain itu,kebiasaan dalam masyarakat kita, daun buah ini akan digunakan ketika memandikan jenazah bagi orang Islam.

Firman Allah SWT :

Ertinya: “Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan dan Kami gantikan dua kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kebun yang lain berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, pohon-pohon yang jarang berbuah dan sedikit pohon-pohon bidara.”(Surah Saba’34: 16)

Firman Allah SWT :

Ertinya: :“Puak kanan, alangkah bahagianya keadaan puak kanan itu. (Mereka bersenang-lenang) di bawah pohon bidara yang tidak berduri, pokok pisang yang tersusun rapi buahnya, naungan yang tetap terbentang dan air yang sentiasa mengalir.” (Surah al-Waqi’ah 56 : 27-31)

Firman Allah SWT :

Ertinya: “Sesungguhnya Baginda (Nabi Muhammad) telah melihatnya (malaikat Jibrail dalam bentuk asalnya) sekali lagi, iaitu di Sidratul Muntaha (pohon bidara yang menandai kawasan terakhir di antara langit dengan syurga ketujuh, juga sebagai batasan yang tidak dapat dilewati oleh makhluk).”(Surah al-Najm 53: 13-14 )

Firman Allah SWT :

Ertinya: “Ketika sesuatu yang meliputi itu menyeliputi Sidratul-Muntaha.”(Surah al-Najm 53:16)

Sesungguhnya, pokok bidara disebut sebanyak empat kali dalam al-Quran, iaitu dalam ayat 16 surah Saba’, ayat 28 surah al-Waqi’ah, ayat 14 dan 16 surah al-Najm: Kesemua ayat ini menggambarkan tentang buah bidara dalam situasi berbeza.

Ayat 16 surah Saba’ menceritakan keadaan bidara di dunia manakala ayat 28 surah al-Waqi’ah menceritakan tentangnya akhirat. Bidara dalam surah Saba’ ialah pohon yang tumbuh di kawasan  Empangan Ma’rib di Saba’, Yaman selepas peristiwa sail al-arim iaitu banjir besar yang telah menghancurkan empangan tersebut.

Bidara dalam surah al-Waqi’ah pula menggambarkan tentang salah satu daripada anugerah Allah kepada hamba-hamba-Nya di dalam syurga iaitu buah bidara yang tidak berduri. Dalam sebuah hadis sahih.

Ertinya: Diriwayatkan daripada Abu Umamah beliau berkata, “Para sahabat Rasulullah berkata, ‘Sesungguhnya Allah telah memberi manfaat kepada kita melalui orang Arab Badwi dan persoalan-persoalan mereka. Suatu hari, seorang Arab Badwi datang dan berkata, ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah telah menyebut dalam al-Quran tentang satu pokok di dalam syurga yang menyakitkan, namun aku berpendapat bahawa tiada satu pokok pun yang boleh menyakiti penghuninya. ‘Rasulullah SAW, ‘Apakah pokok itu?’ Dia berkata, ‘Bidara kerana sesungguhnya ia mempunyai duri.’ Lalu Rasulullah SAW bersabda, ‘( Mereka bersenag-lenang) di bawah pokok bidara yang tidak berduri (Surah al-Waqi’ah 56: 28). Allah telah membuang durinya dan menjadikan buah di setiap tempat duri tersebut. Sesungguhnya pokok bidara ini akan berbuah. Satu buahnya yang dibelah terbahagi kepada 72 warna, tiada warna yang menyerupai warna lain.”

Bidara sangat penting dalam masyarakat Islam kerana bidara biasanya digunakan sebagai sabun khususnya untuk memandikan jenazah.

Daun pokok bidara selalu digunakan ketika memandikan jenazah bagi orang Islam. Selepas menghilangkan najis dari tubuh mayat, jenazah akan dimandikan tiga kali. Mandian pertama adalah dengan air yang dicampur daun bidara. Penggunaan daun bidara bukan merupakan kepercayaan tradisi sebaliknya sunah Nabi SAW sendiri. Qais ibn ‘Ashim meriwayatkan dengan berkata,

Ertinya: “Saya telah datang kepada Nabi SAW kerana hendak masuk Islam, lalu Baginda memerintahkan saya mandi dengan air yang bercampur dengan bidara (setelah masuk Islam).”

Baginda SAW juga suka mengubah warna janggutnya dengan air daun bidara berdasarkan riwayat hadis daripada Adurrahman bin ‘A’idz ats-Tsumali yang berkata,

Ertinya: “Nabi SAW mengubah warna janggutnya dengan air bidara dan memerintahkan supaya mengubah warna bulu (di badan) dengan tujuan tidak meniru perbuatan orang ‘ajam.”

Bahkan, Rasulullah SAW menganjurkan agar pakaian yang terkena darah haid dibersihkan dengan air yang dicampur daun bidara. Diriwayatkan daripada Ummu Qais bin Mihshan, beliau berkata, Ertinya: “Saya telah bertanya Nabi SAW tentang darah haid yang berada pada pakaian. Baginda bersabda, ‘Gosoklah ia dengan sebatang kayu serta basuhlah ia dengan air dan bidara.”