Beriman kepada yang Ghaib

Salah satu pokok akidah Islam ialah beriman (meyakini) adanya hal-hal ghaib. Bahkan, keyakinan ini merupakan sifat pertama yang disematkan Allah s.w.t. kepada orang-orang yang bertakwa, sebagaimana firman-Nya:

“Alif, Laam, Miim. Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertakwa. (Iaitu). Mereka yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, mendirikan solat, dan membelanjakan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka.” (Surah al-Baqarah: 1-3)

Oleh itu, seorang muslim wajib beriman kepada hal yang ghaib dengan keimanan yang mantap, tanpa dicampuri keraguan dan kebimbangan sedikitpun.

Menurut Abdullah bin Mas’ud RA, pengertian ghaib ialah sesuatu yang tidak boleh kita lihat. Berkenaan hal (ghaib) ini Allah SWT serta rasul-Nya telah memberitahu kepada kita.

Jin merupakan salah satu makhluk ghaib yang harus kita yakini kewujudannya. Hal ini adalah kerana terdapat kerana terdapat banyak dalil yang berkaitan, baik daripada al-Quran mahupun al-hadis.

Dalil dan al-Quran:

“Dan (ingatlah) ketika Kami hadapkan kepada mu (wahai Muhammad) serombongan jin yang mendengarkan (bacaan) al-Quran, maka ketika mereka menghadiri (pembacaan) nya mereka berkata: “Diamlah kamu! (untuk mendengarkannya)” Maka ketika telah selesai, mereka kembali kepada kaumnya (untuk) memberi peringatan.” (Surah Al-Ahqaf: 29)

“Wahai sekalian jin dan manusia! Adakah belum datang kepada kamu para rasul daripada golongan kamu sendiri yang menyampaikan kepada kamu ayat-ayatKu dan memberi peringatan kepada kamu terhadap pertemuan kamu pada hari ini? Mereka berkata: “Kami menjadi saksi atas diri kami sendiri”. Dan kehidupan dunia telah menipu mereka dan mereka menjadi saksi atas diri mereka sendiri, bahawa mereka adalah orang yang kafir.”(Surah Al-An’am:130)

“Wahai golongan jin dan manusia! Jika kamu sanggup menembusi (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka tembuslah. Kamu tidak akan mampu menembusinya kecuali dengan kekuatan  (daripada Allah)”. (Surah Al-Rahman: 33)

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Telah diwahyukan kepadaku bahawa sekumpulan jin telah mendengar (al-Quran yang aku bacakan),” lalu mereka berkata: “Kami telah mendengarkan bacaan yang menakjubkan (al-Quran)”. (Surah Al-jin:1)

“Dan sesungguhnya ada beberapa orang lelaki daripada kalangan manusia yang meminta perlindungan kepada beberapa lelaki daripada kalangan jin, tetapi mereka (jin) menjadikan mereka (manusia) bertambah sesat.( Al-jin:6)

Dalil daripada hadis:

1. Imam Muslim meriwayatkan dalam sahihnya: Abdullah bin Masud RA bercerita, “Kami pernah bersama Rasulullah SAW di suatu malam, tiba-tiba kami kehilangan baginda. Maka, kami pun bergegas mencari baginda di bukit, lembah dan pergunungan. Kami berkata, ‘Adakah baginda diculik atau dibunuh?’. Malam itu menjadi malam terburuk yang pernah kami lalui dalam kehidupan kami. Pada pagi harinya, tiba-tiba baginda SAW datang dari arah gua Hira’. Maka kami berkata,’Wahai Rasulullah, kami kehilangan engkau lalu kami bergegas mencari-cari baginda, tetapi kami tidak menemukan engkau, malam tadi merupakan malam terburuk yang pernah kami lalui.’ Baginda bersabda, ‘Aku didatangi oleh pendakwah daripada bangsa jin, lalu aku pun berangkat bersamanya untuk membacakan al-Quran kepada teman-temannya. Ibnu Mas’ud melanjutkan ceritanya, ‘Lalu Nabi Muhammad SAW mengajak kami untuk melihat kesan-kesan yang ditinggalkan mereka dan bekas cahaya mereka. Jin-jin tersebut juga menanyakan kepada Rasulullah SAW makanan apa yang harus mereka makan. Maka baginda bersabda,’ Makanan kalian ialah tulang binatang yang kalian temukan dan ketika menyembelihnya  disebutkan nama Allah, dan itu merupakan makanan yang paling banyak dagingnya, serta kotoran binatang.’ Kemudian Rasulullah SAW bersabda: ‘Janganlah kamu beristinjak (cebok) dengan kedua-dua benda ini  kerana kedua-duanya ialah makanan utama bagi saudara-saudaramu (bangsa jin).”

2. Abu Saidal al-Khudri RA berkata, “Rasulullah SAW pernah bersabda kepadaku:” Aku perhatikan kamu sangat menyukai kambing dan menggembalakannya ke lembah. Jika kamu berada di suatu lembah bersama kambingmu, lalu kamu ingin mengumandangkan suara azan untuk solat, keraskanlah suaramu. Hal ini adalah kerana setiap jin, manusia dan apa saja yang mendengar suara muadzin yang mengumandangkan azan, kelak akan menjadi saksi baginya pada hari kaimat’.”

3. Imam Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan dalam kedua-dua kitab sahihnya: Abdullah bin Abbas RA berkata, “Pada suatu hari Rasulullah SAW bersama serombongan sahabat pergi menuju pasar Ukazh. Ketika itu, syaitan-syaitan merasa terhalang (tidak boleh) untuk mendengar berita dari langit (yang menjadi kebiasaannya), dan mereka juga dilempari bintang-bintang. Akhirnya para syaitan itu kembali kepada kaum mereka. Maka kaum mereka bertanya, “Kenapa dengan kalian?”

Mereka menjawab, “Sesungguhnya kita terhalang untuk mendapatkan berita langit dan bintang-bintang juga dilemparkan ke arah kita. ” Mereka berkata” Berita langit tidak mungkin terhalang dari kalian, kecuali ada sesuatu yang terjadi. Oleh kerana itu, berpecahlah kalian menuju ke penjuru Timur dan Barat, lalu cari apa apa sebenarnya yang membuat berita langit tidak boleh kalian dengar!” Maka, sekelompok syaitan yang pergi ke arah Tihamah mendapati Rasulullah SAW yang hendak berangkat menuju pasar Ukadz sedang beristirehat di Nakhlah (nama sebuah tempat). Ketika itu baginda bersama para sahabatnya sedang melaksanakan solat Subuh. Ketika mereka mendengar bacaan al-Quran Rasulullah, mereka pun menyemaknya dengan teliti. Lalu di antara mereka berkata kepada yang lain.”Demi Allah, inilah yang menghalangi kalian untuk mendengarkan berita langit.” Maka ketika kembali lagi kepada kaum mereka, mereka berkata, “Wahai kaum kami, sesungguhnya kami telah mendengarkan bacaan al-Quran yang sangat menakjubkan. Ia menunjukkan kepada jalan kebenaran, maka kami pun beriman kepadanya. Dan kami tidak akan menyekutukan Tuhan kami dengan sesuatu apapun.Kemudian Allah SWT menurunkan firman-Nya:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Telah diwahyukan kepadaku bahawa sekumpulan jin telah mendengar (al-Quran yang aku bacakan),” lalu mereka berkata: “Kami telah mendengarkan bacaan yang menakjubkan (al-Quran).” (Surah al-jin:1)

Yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW ini ialah perkataan jin. Sedangkan dalil-dalil yang menunjukkan keberadaan mereka masih banyak. Insya Allah, akan anda temukan di ruang pembahasan ini.

Kehidupan Jin