Benteng Ghaib (Bhgn 1: Ikhlas)

  1. Ikhlas

Sesungguhnya, merealisasikan  nilai keikhlasan dalam penghambaan kepada Allah SWT di dunia ini merupakan penyelesaian yang kukuh untuk membebaskan diri daripada syaitan. Hal ini sesuai dengan pengakuan syaitan itu sendiri. Allah SWT berfirman:

“Iblis berkata: “Ya Tuhanku! Oleh sebab Kamu telah memutuskan bahawa aku sesat, aku pasti akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya.” “Kecuali hamba-hamba Kamu yang mukhlis di kalangan mereka.”
(Surah Al-Hijr:39/40)

Syaitan sendiri mengakui ketidakmampuannya untuk menjerumuskan dan menggoda orang-orang ikhlas. Siapakah sebenarnya orang ikhlas itu? Dia merupakan orang yang beramal dan tidak suka dipuji orang lain.

Yaakub Al-Makfuf berkata, “Orang ikhlas ialah orang yang merahsiakan kebaikannya sebagaimana dia merahsiakan kejahatannya.”

Apa itu Ikhlas?

  • Sahal berkata, “Ikhlas ialah semua gerak-geri dan tindakan seseorang hanya untuk Allah SWT semata-mata.”
  • Ibrahim bin Adham berkata, “Ikhlas ialah kebenaran (ketulusan) niat bersama Allah semata-mata.”
  • Abu Usman berkata, “Ikhlas ialah tidak mempedulikan penglihatan makhluk dan hanya tertumpu dengan kepada Khaliq (pencipta).”
  • Ada pula yang berkata, “Ikhlas ialah sentiasa merasakan pengawasan Allah secara berkesinambungan  dan melupakan semua keuntungan.”

Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah tidak akan menerima amal perbuatan seseorang selain dia ikhlas dan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata.”

  • Al-Junaid berkata, ‘Sesungguhnya Allah SWT memiliki hamba-hamba yang berakal. Di saat mereka menggunakan akal, mereka akan beramal. Jika mereka beramal, mereka akan ikhlas. Sehingga keikhlasan membawa mereka menuju semua jenis amal kebajikan. Hal ini adalah kerana ikhlas merupakan benteng kukuh yang menjaga manusia daripada tipu daya syaitan, maka syaitan akan berusaha dengan sedaya upayanya dan dengan semua cara serta tipu dayanya untuk menjauhkan manusia daripada benteng keikhlasan.

Di bawah ini merupakan contoh-contoh yang dapat menggambarkan hakikat ikhlas:

Tahap pertama: Imam Ghazali berkata, “Jika seseorang hendak mendirikan solat dan berusaha melakukan dengan penuh keikhlasan, syaitan akan melancarkan perangkap dan memasukkan bencana kepadanya. Jika ada orang yang melihat atau masuk ke dalam ruangannya, syaitan akan membisikinya , ‘Perbaikilah solatmu, hingga orang yang hadir memandangmu dengan penuh hormat, memuji dan segan. Selain itu, mereka tidak mencela dan mengatamu hingga anggota badanmu akan khusyuk, perasaanmu tenang dan kamu melakukannya dengan baik serta sempurna.’ Ini ialah riak yang sesungguhnya.”

Tahap kedua: Seseorang yang telah mengetahui dan memahami bencana ini dan berwaspada serta memperingatkan dirinya dari hal ini. Dia tidak mematuhi dan tidak peduli dengan bisikan syaitan dalam solatnya. Dia meneruskan solatnya seperti tidak ada yang terjadi. Maka, syaitan akan menghampirinya dengan menunjukkan kebaikan dan berkata, “Kamu ialah orang yang diikuti dan diteladani, kamu sedang diperhatikan orang lain. Jika kamu melakukannya secara baik, orang lain akan mengikuti dan meneladanimu. Di samping itu, kamu akan meraih pahala seperti mereka. Sebaliknya bila kamu berkelakuan buruk, kamu akan mendapat dosa.

Perbaiki dan perindahlah perbuatanmu di hadapan mereka, agar mengikuti solat yang khusyuk dan ibadah serta kebaikan yang kamu lakukan.”

Sebenarnya, tahap ini lebih berbahaya daripada tahap pertama. Hal ini adalah kerana adakalanya orang yang berada pada tahap ini akan tertipu, meskipun pada tahap pertama dia tidak tertipu. Ini merupakan perbuatan riak dan pemusnah keikhlasan. Ini disebabkan ketika dia melihat kekhusyukan dalam ibadahnya dan memperbaiki ibadahnya sebagai suatu kebaikan. Oleh itu dia merasa senang jika melakukannya di hadapan orang lain. Tetapi, mengapa dia tidak melakukan hal ini ketika dia sendirian? Adakah orang lain lebih mulia dari dirinya? Sebenarnya, ini merupakan perangkap dan jerat syaitan.     

Tahap ketiga: Tahap ini lebih rumit dari sebelumnya bagi seseorang yang sedang mencuba untuk membiasakan dirinya dengan hal ini dan sentiasa berhati-hati terhadap tipu daya syaitan. Dia mengetahui bahawa perbezaan kekhusyukan ketika solat sendirian dan disaksikan orang lain ialah bersifat riak. Dia juga mengetahui bahawa, keikhlasan dalam solatnya yang sendirian harus sama ketika dia solat bersama orang lain. Dan dia malu pada Tuhan-nya kalau dia menambah kekhusyukannya dalam solat bersama orang lain melebihi kebiasaannya.

Maka, dia pun melaksanakan solat sendirian dengan kekhusyukan yang sama ketika mengerjakannya bersama orang lain. Dia juga mengerjakan solat di hadapan orang lain dengan kekhusyukan yang sama seperti ketika dia solat sendirian. Hal ini juga termasuk dalam riak yang tersembunyi. Disebabkan itu dia solat dengan baik ketika sendirian supaya boleh melaksanakannya dengan baik ketika bersama orang lain. Dia tidak membezakan antara kedua-duanya, tujuan solatnya yang sendirian ataupun ketika disaksikan orang lain.

Namun begitu hakikatnya  ikhlas ialah tidak memiliki perasaan yang berbeza ketika solatnya disaksikan binatang mahupun manusia. Seolah-olah dirinya tidak rela untuk mencemari solatnya bersama orang ramai, sehingga dia merasa malu pada Tuhan-nya kalau dirinya bersikap riak.

Dia menganggap bahawa persaan itu akan hilang jika dia solat bersendirian sama keadaannya dengan ketika disaksikan orang lain. Setelah hal itu hilangf, mustahil dia akan mencari pujian manusia, sebagaimana dia juga tidak mencari pujian daripada benda-benda mati ketika dia solat bersendirian ataupun disaksikan orang lain.

Orang seperti ini tergolong dalam golongan manusia yang disibukkan oleh keinginannya terhadap manusia, baik ketika bersendirian mahupun ketika bersama orang ramai. Perasaan seperti ini termasuk dalam kategori tipu daya syaitan yang terselindung.                                                           

Kehidupan Manusia