Soalan:
Bolehkah Ustaz terangkan mengenai kayu koka? Betulkah kayu ini digunakan oleh Nabi Nuh AS untuk membuat kapal dan Nabi Musa AS menggunakan tongkat yang diperbuat daripada kayu koka? Ramai yang sanggup membeli kayu koka yang berbentuk tongkat, tasbih dan batu cincin dengan harga yang tinggi. Kayu ini dikatakan menjadi pengadang daripada jin dan syaitan, menyembuhkan penyakit serta memurahkan rezeki. Adakah terdapat dalil al-Quran atau al-Sunnah mengenai hal ini? (Abu Bakar Zakaria, Damansara, Selangor)
Jawapan:
Saya pernah melihat kayu koka dalam pelbagai bentuk. Saya pernah dihadiahkan kayu tersebut. Saya juga pernah membaca sebuah buku terbitan Malaysia yang menyebut tentang penggunaan dan kebaikan kayu koka seperti yang saudara sebutkan.
Saya tidak pernah mendengar tentang kayu ini melainkan sejak dua tiga tahun kebelakangan ini. Seorang pelajar yang pulang dari Jordan bertemu saya dan memperkenalkan kayu koka. Beliau berhasrat menjualnya kepada saya kerana dia mengatakan sayalah orang yang paling layak memakai atau menggunakannya. Saya berbincang panjang dengan beliau, malah saya menasihatkan beliau mencari profesion lain selain daripada menjual kayu koka.
Persoalan ini lama kelamaan semakin menjadi-jadi. Saya melihat ramai orang memakai batu cincin yang diperbuat daripada kayu ini.
Pada pandangan saya, semua benda yang dikaitkan dengan kuasa makhluk madi seperti kayu, batu dan sebagainya yang dipercayai boleh memberi kecelakaan ataupun manfaat, dilarang oleh Islam.
Ini termasuk dalam larangan Rasulullah SAW dalam hadith sahih yang bermaksud: “Sesungguhnya jampi mantera (yang tidak Islamik) dan tangkal-tangkal serta ilmu pengasih adalah syirik.”
Sekiranya hanya dipakai untuk perhiasan seperti membuat batu cincin atau gelang, tidak dikaitkan dengan sebarang kemudaratan atau kebaikan, maka diharuskan.
Oleh kerana penggunaan kayu koka ini boleh menjadikan pembeli atau penggunanya terpukau dengan penjelasan yang menarik, ramai yang tertipu dengan penerangan tersebut lantas membelinya tanpa berfikir secara rasional.
Sekiranya berlaku kebetulan, seorang yang sempit rezekinya lalu memakai kayu ini dan rezekinya menjadi murah lantas dia mengaitkan rezeki yang murah itu kerana memakai kayu tersebut, jelaslah dia telah syirik kepada Allah SWT. Tidak ada kuasa lain yang memberi rezeki kepada makhluk melainkan Allah SWT sahaja.
Kayu koka mungkin mempunyai khasiat khusus dalam perubatan yang termasuk dalam jenis herba. Jika ia merupakan herba, dilarutkan atau dimasukkan dalam apa-apa adunan, sesuai mengubati penyakit tertentu, ia termasuk dalam salah satu bentuk rawatan penyakit. Perubatan begini diharuskan kerana terdapat hadith-hadith Nabi SAW yang merujuk kepada rawatan penyakit dengan memakan ubat.
Nabi SAW pernah menyebut tentang madu lebah, bijiran hitam (habbat al-Sawda’), jintan hitam, jenis tanaman seperti assina dan assinut. Dalam al-Quran juga ada menyebut buah-buahan seperti al-Tin, al-Zaitun, al-Rumman, al-Nakhil. Ini termasuk dalam kajian-kajian untuk dijadikan ubat bagi menyembuhkan penyakit tertentu.
Persoalan saya terhadap pengguna kayu koka atau apa sahaja kayu, mengapakah pengguna yang memiliki kayu itu tidak menggunakannya untuk dirinya sahaja? Mengapakah dia menjualkannya kepada orang lain?
Barangkali pengguna tersebut tidak begitu yakin dengan khasiatnya, lalu menjualnya dengan harga yang tinggi untuk mendapatkan wang ringgit.
Saya amat meragui khasiat kayu ini yang dikatakan boleh menjadi pengadang kepada jin, syaitan dan sebagainya. Apa yang saya tahu, jin dan syaitan akan takut dan lari sekiranya dibacakan ayat-ayat al-Quran ataupun zikir kepada Allah SWT.
Dalam suatu hadith, Rasulullah SAW pernah melintasi rumah-rumah sahabat di wakti dinihari. Baginda mendapati ‘Umar al-Khattab RA membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah SWT dengan suara yang amat lantang.
Keesokan harinya Nabi SAW bertemu ‘Umar dan berkata kepadanya. “Aku melintasi rumahmu dan aku mendengar kamu membaca al-Quran dan berzikir dengan suara yang amat nyaring, mengapa kamu berbuat demikian.”
‘Umar menjawab, “Saya berbuat demikian untuk menghalau segala syaitan yang mengganggu saya.” Lalu Nabi SAW berkata kepada ‘Umar, “Perlahankan sedikit.”
Kesimpulannya, hanya dengan bergantung sepenuhnya kepada Allah sahajalah dapat menjauhkan diri kita daripada syaitan dan hanya Dia sahaja yang memberi rezeki kepada hamba-Nya.
Petikan Daripada Buku ‘Menjawab Persoalan Makhluk Halus‘ oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din