Allah SWT ada menyatakan dalam Al-Quran surah As Syams ayat 8-10 yang bermaksud:
“Maka Allah mengilhamkan pada jiwa (jalan) kefasikan dan ketaqwaanya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu. Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorkannya.”
Melalui ayat ini, Allah SWT menyatakan betapa sangat beruntung orang yang menyuci atau membangunkan jiwanya.
Kaedah menyuci, membersih dan membangunkan jiwa terdapat di dalam ilmu tasawuf seperti di dalam kitab Imam Al Ghazali, Ihya’ Ulumuddin adalah di antara yang terbaik untuk dijadikan rujukan.
Namun begitu di sini gariskan secara ringkas, kaedah membersih dan membangunkan jiwa:
Untuk mendapatkan jiwa yang bersih, Allah memerintahkan kita supaya menundukkan nafsu. Kerana dalam proses pembentukkan kekuatan jiwa yang bersih, nafsu adalah musuh dan penghalang pertama dan utama yang perlu ditumpaskan.
Nafsu itu bersarang di hati dan ianya sentiasa mengajak anda berlaku sombong, dengki pada orang lain, tamak harta, jadi pemalas, tidak jujur dan seribu satu macam kelakuan yang negatif. Pendek kata ajakan menderhakai Allah SWT.
Dalam usaha menundukkan dan menumpaskan nafsu ini anda dikehendaki menempuh tiga peringkat:
- Peringkat Penyucian atau Pengosongan (Takhalli)
- Peringkat Pengisian (Tahalli)
- Peringkat Penguasaan Rasa (Tajalli)
Peringkat Pengosongan
Di peringkat ini, ada mesti melawan, mengikis dan menumpaskan semua kehendak-kehendak negatif nafsu. Dalam peringkat ini anda mesti menganggapkan bahawa nafsu anda adalah musuh yang paling utama yang mesti ditentang. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sejahat-jahat musuh engkau ialah nafsu engkau yang terletak di antara dua lambung engkau.” (Riwayat Al Baihaqi)
Jahatnya nafsu ini hingga ramai manusia yang ditipu dan diperdayakan supaya mematuhinya sebagai tuhan. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Apakah tidak engkau perhatikan orang-orang yang mengambil hawa nafsu menjadi tuhan, lalu dia disesatkan Allah. (Al Jaathiyah : 23)
Bila nafsu menguasai jiwa, iman akan terhalau keluar. Bila iman tidak ada dalam jiwa, manusia bukan lagi menyembah Allah tetapi menyembah hawa nafsu. Oleh itu usaha melawan nafsu jangan dianggap ringan.
Melawan dan berperang dengan hawa nafsu lebih hebat daripada peperangan yang menggunakan bom atom, scud, nuklar, mesin gun dan kereta kebal. Peperangan senjata moden mungkin mengambil masa paling lama hanya berbulan-bulan macam peperangan Teluk.
Tetapi peperangan hawa nafsu mengambil masa berpuluh-puluh tahun, maknanya mengambil masa hampir seumur hidup manusia. Ingatlah ketika Rasulullah SAW dan para sahabat berangkat pulang dari satu medan peperangan, Rasulullah bersabda yang bermaksud:
Kita baru balik dari satu peperangan kecil untuk peperangan yang lebih besar. Bila sahabat-sahabat bertanya, “Peperangan apakah itu?” Baginda berkata, “Peperangan melawan hawa nafsu.” (Riwayat Al Baihaqi)
Melawan hawa nafsu sangatlah sukar. Kalaulah nafsu berada di luar jasad anda dan boleh disentuh, senanglah anda picit-picit atau menumbuknya dengan ilmu silat hingga tumpas atau mati. Tetapi nafsu yang ada dalam diri anda mengalir bersama aliran darah dan menguasai seluruh tubuh badan. Kerana itu tanpa kesedaran dan kemahuan yang bersungguh-sungguh, anda pasti dikalahkan dan diperalatkan semahu-mahunya.
‘Baiknya amal perbuatan itu, sebagai hasil dari baiknya budi dan hati dan baiknya hati itu hasil dari kesungguhan istiqamah.’ (Hikam)