Soalan :
Seorang bomoh di tempat saya mengubati pesakit atau orang yang berhajat kepada sesuatu dengan menggunakan jampi mantera dalam bahasa Jawa. Sebagai seorang Jawa asli yang tinggal di Parit Jawa, saya sendiri tidak memahami apa yang dibaca bomoh tersebut. Adakah pengubatan seperti ini boleh diterima dan tidak berlawanan dengan syarak? (Muhammad Bin Jusoh, Parit Jawa, Johor)
Jawapan :
Mengubati penyakit, menolong seseorang yang memerlukan pertolongan sehingga tertunai hajatnya atau membantu mengikhtiarkan kesembuhan pesakit yang bermasalah merupakan pekerjaan mulia. Perbuatan ini menjadi lebih mulia sekiranya dilakukan kerana Allah SWT, mengharapkan pahala pada hari akhirat dan tidak membebankan pesakit.
Amalan perubatan dengan menggunakan doa ataupun bacaan ayat merupakan salah satu daripada cabang rawatan yang diakui syarak sebagai amalan mulia. Pergi ke hospital atau menemui perawat pakar juga digalakkan oleh Islam, kerana itu juga salah satu daripada cabang rawatan yang disebut oleh Rasulullah SAW.
Merujuk kepada persoalan saudara berkenaan jampi dan mantera, menjampi pesakit atau dalam bahasa Arab disebut sebagai ruqyah dibenarkan malah kadang-kadang amat digalakkan.
Pada suatu ketika Rasulullah SAW pernah ditimpa sakit, Jibrail telah datang untuk menjampi baginda. Jibrail telah datang untuk menjampi baginda. Jibrail menjampi Nabi SAW sehingga sembuh. Jampi yang dilakukan oleh Jibrail ini disebut sebagai “Ruqyah Jibrail”.
Menjampi dengan menggunakan bahasa khusus umpamanya bahasa Jawa, bahasa Mendiling, bahasa Inggeris dan bahasa Sepanyol diharuskan syarak dengan syarat bacaan tersebut diketahui maknanya dan tidak ada sebarang tafsiran yang boleh membawa kepada mensyirikkan Allah.
Sekiranya lirik, seni kata atau bacaan yang disebut oleh dukun itu tidak diketahui maknanya dan bomoh itu sendiri tidak faham dan tidak tahu apa yang diminta, jampi tersebut tidak boleh digunakan.
Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 82 yang bermaksud:
“Dan Kami turunkan dari al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang beriman. Dan al-Quran itu tidak menambahkan orang-orang zalim melainkan kerugian jua.”
Terdapat enam kali sebutan syifa’ atau kesembuhan dalam al-Quran. Begitu juga dengan hadith, banyak yang menyebutkan tentang kesembuhan penyakit melalui pembacaan ayat-ayat al-Quran dan doa. Ulama bersependapat (ijma’), bahawa mengikhtiarkan kesembuhan penyakit dengan menggunakan kaedah bacaan doa serta menggunakan air adalah diharuskan bahkan kadang-kadang digalakkan sekiranya memenuhi tiga syarat yang utama iaitu:
Pertama, menggunakan pembacaan ayat-ayat al-Quran dan al-Sunnah atau ruqyah dalam bahasa Arab yang diketahui maknany serta tidak bertentangan dengan syarak.
Kedua, boleh menggunakan bacaan selain daripada yang pertama dengan apa jua bahasa tetapi mestilah memahami maknanya dan tidak ada sebarang percanggahan dengan syarak.
Ketiga, orang yang merawat hendaklah beriktikad bahawa penyembuhan hanya milik Allah SWT sahaja dan perawat hanyalah berikhtiar.
Saya suka menjelaskan sekiranya al-Quran dan al-Sunnah sebagai bacaan atau penawar terbaik, mengapakah kita tidak menggunakan bacaan ini sebagai rawatan? Kita harus membebaskan diri daripada perkara yang kurang baik, lebih-lebih lagi jika perkara itu boleh membawa kepada mensyirikkan Allah SWT.
Petikan daripada buku “Menjawab Persoalan Makhluk Halus” bersama Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din