Apa Itu Qarin?

Tidak ramai orang yang mengetahui tentang ‘Qarin’ ini. Sebenarnya begitulah kehendak Allah SWT bahawa Allah SWT bahawa setiap manusia yang dilahirkan sehinggalah ia meninggal dunia mempunyai satu jin kafir yang menjadi teman ke mana sahaja ia pergi baik malam mahupun siang, mengajaknya mengerjakan kejahatan dan menahannya daripada melakukan ketaatan. Oleh kerana terlalu rapat dengan manusia ia digelar ‘Qarin’.

Untuk mengimbangkan kekuasaannya maka Allah mengutuskan pula malaikat yang mengajak manusia berbuat kebajikan dan mencegah daripada melakukan kejahatan. Maka manusialah yang harus membuat pilihan sama ada mentaati arahan malaikat atau syaitan. Sabda Rasulullah SAW daripada Abdullah Ma’sud RA yang bermaksud:

Setiap kamu ada Qarin daripada bangsa Jin, dan juga Qarin daripada bangsa malaikat. Mereka berkata,  “Engkau juga ya Rasulullah” sabdanya, “Ya aku juga ada, tetapi Allah telah membantu aku sehingga Qarin itu dapat kuislamkan dan hanya menyuruh aku dalam hal kebajikan sahaja.”
(Riwayat Ahmad dan Muslim)

Aisyah RA menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah SAW  keluar daripada rumahnya (Aisyah), Aisyah berkata aku merasa cemburu, tiba-tiba baginda berpatah balik dan, dia bertanya wahai Aisyah apa sudah jadi, apakah engkau cemburu, aku berkata “Bagaimana aku tidak cemburu orang yang seumpama engkau Ya Rasulullah. Sabda baginda apakah engkau telah dikuasai oleh syaitan? Aku bertanya apakah aku ada syaitan, sabda baginda setiap insan ada syaitan itu (qarin) aku bertanya lagi, engkau pun ada syaitan Ya Rasulullah? jawab baginda ‘Ya’ tetapi Allah membantu aku sehingga qarinku telah masuk Islam. (Riwayat Muslim)

 Di dalam hadis yang lain daripada Ibnu Umar RA Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya:

Aku dilebihkan daripada Nabi Adama.s. dengan dua perkara iaitu pertama, syaitanku kafir, Allah menolong aku sehingga dia Islam, para isteriku membantu akan daku tetapi syaitan Nabi Adam tetap kafir dan isterinya membantu ia membuat kesalahan. (Riwayat Al-Baihaqi)

Kesimpulannya, Qarin ini ada pada setiap orang baik dan seorang manusia biasa mahupun para Nabi atau Rasul. Kesemua Qarin beragama kafir kecuali Qarin Rasul yang telah Islam. Walaubagaimanapun, malaikat turut diutuskan untuk mengimbangkan peranan di antara dua makhluk bagi kita memilih mana yang baik dan mana yang buruk.

Al-Imam Nawawi RA menghuraikannya dalam dua pengertian:

  1. Baginda Rasul terselamat daripada kejahatan dan fitnahnya.
  2. Qarin itu menjadi Islam dan beriman justeru mengajak kepada kebaikan semata-mata.

Dalam hal ini, bagaimana pula kaum muslimin harus menghadapi golongan Qarin ini? Adakah ia terpaksa tunduk dan patuh atas arahan mereka atau sebaliknya? Sebenarnya kaum muslimin berkuasa ke atas mereka dan mampu menjadikan mereka lemah dan tidak berdaya. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang diwirayatkan oleh Ibnu Abid-Dunya daripada Abi Hurairah RA:

Maksudnya:

Sesungguhnya orang mukminin boleh melemahkan syaitannya sebagaimana salah seorang di antara kamu melemahkan kudanya di dalam perjalanan. (Hadis Dhaif)

Orang yang beriman boleh mengalahkan syaitannya , menyebabkan mereka kurus dan penat melalui ketaatannya kepada Allah seperti membaca Al-Quran, membaca Bismillah ketika makan, berpakaian dan sebagainya. Ibnu Muflih Al-Muqaddasi menceritakan: Suatu ketika syaitan yang mendampingi orang beriman, bertemankan syaitan yang mendampingi orang beriman, bertemankan syaitan yang mendampingi orang kafir. Syaitan yang mengikuti orang beriman itu kurus sedangkan yang mengikuti orang kafir itu gemuk. Maka ditanya mengapa engkau kurus, bagaimana aku tidak kurus, apabila tuanku masuk ke rumah, dia berzikir, makan dia ingatkan Allah, apabila minum pun begitu. Sebaliknya syaitan yang mengikut orang kafir itu pula berkata aku sentiasa makan bersama dengannya dan begitu juga minum. Alamul-Jin Wal-Malaikat, Hamdi Damardash m/s 82

Kehidupan Jin