Adakah Melilit Benang Hitam Pada Kanak-Kanak Amalan Syirik?

Soalan:

Telah menjadi kebiasaan di kampung saya, kanak-kanak menghadapi masalah kesihatan khususnya yang kerap menangis akan dibawa kepada dukun. Dukun tersebut akan mengikat benang hitam atau benang berwarna lain sebagai ikhtiar untuk perlindungan daripada pelbagai gangguan. Adakah rawatan dan amalan seperti ini diharuskan oleh syarak? (Shamsiah Abu Bakar, Jerantut, Pahang)

Jawapan:

Saya sendiri pernah melihat perbuatan seperti itu dan sudah banyak kali kanak-kanak yang dipakaikan benang pada tangannya dibawa kepada saya untuk dirawat. Saya secara berdiplomasi meminta agar benang hitam atau tangkal hendaklah dibuang terlebih dahulu sebelum melakukan rawatan ke atas pesakit.

Amalan dan kebiasaan yang disebut dalam soalan tadi sebenarnya bertentangan dengan ajaran Islam. Banyak hadith yang memberi penjelasan tentang perkara tersebut, antaranya hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada ‘Uqbah ibn ‘Amir al-Juhani:

Maksudnya: “Barang siapa yang menggantung tangkal (tamimah) maka Allah SWT tidak akan menyempurnakan hajatnya dan barang siapa yang menggantung objek seperti kulit siput (wad’ah), maka Allah SWT tidak akan menenteramkannya.”

Jelas dalam hadith ini Nabi SAW melarang penggunaan tangkal. Tangkal dirujuk kepada benang, tali atau apa sahaja yang dipakai pada badan dengan tujuan mendapat sesuatu faedah bagi orang yang memakainya.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Majah daripada ‘Imran ibn Hussain:

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melihat satu lilitan seperti gelang (halaqah) yang dipakai pada tangan seorang lelaki, lalu Baginda SAW bertanya lelaki itu, “Apakah yang kamu pakai ini?” Lelaki itu menjawab, “Aku menjadikannya sebagai pendinding atau pengadang diriku daripada sebarang kelemahan.” Lalu Baginda bersabda kepadanya, “Buanglah ia kerana sesungguhnya, benda-benda seperti ini, tidak akan menambahkan kepadamu melainkan kelemahan jua, sekiranya kamu mati dalam keadaan memakai benda seperti ini, kamu tidak memperolehi kejayaan selamanya.”

Dalam sebuah hadith daripada Abu Bashir al-Ansari RA yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:

Maksudnya: “Daripada ‘Abbad ibn Tamim bahawa sesungguhnya Abu Bashir al-Ansari RA memberitahunya bahawa sesungguhnya pada suatu ketika beliau (Abu Bashir) sedang bersama-sama dengan Rasulullah SAW dalam satu perjalanan (dengan menunggang unta), berkata Abdullah: Aku menyangka baginda bersabda “sedangkan manusia sedang tidur maka baginda menghantar utusan untuk tidak membiarkan mana-mana unta yang ada tangkal di lehernya, agar semua tangkal-tangkal itu diputuskan dan dibuang.”

Nabi SAW melarang perbuatan tersebut kerana seperti yang disebut oleh Imam Ibn al-Jawzi “Orang-orang Arab mempercayai dengan memakai tangkal pada unta, akan selamat daripada gangguan. Kepercayaan sedemikian boleh membawa kepada syirik kepada Allah SWT.”

Perbuatan mengikat benang hitam pada lengan kanak-kanak, atau membuat tangkal dengan simpulan benang pelbagai warna dan digantung di leher atau diikat pada pinggang kanak-kanak atau orang-orang tua dengan kepercayaan boleh memberi manfaat kepada manusia adalah dilarang oleh syarak.

Terdapat hadith lain yang diriwayatkan oleh al-Nasa’i daripada Abi Hurairah RA:

Maksudnya: “Sesiapa yang menyimpulkan ikatan (benang) dan meniupnya (menjampi manterakan untuk sesuatu tujuan jahat), maka sesungguhnya dia telah melakukan sihir. Sesiapa yang melakukan sihir, makan dia telah mensyirikkan Allah SWT.”

Nasihat saya, eloklah dihentikan amalan-amalan seperti yang dinyatakan di atas.

Petikan Daripada Buku ‘Menjawab Persoalan Makhluk Halus‘ oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Tanya Ustaz