Syeikh Abu Bakar Al-Jaza’iri berkata, “Sesungguhnya fakta yang menyatakan bahawa bangsa jin menyakiti manusia tidak boleh dinafikan berdasarkan tetapnya dalil daripada al-Quran mahupun al-Sunnah dan realiti-realiti yang pernah terjadi. Kalaulah bukan kerana tirai-tirai penghalang daripada para malaikat AS yang diperintahkan Allah SWT untuk menjaga manusia, nescaya tidak ada seorang pun yang selamat daripada gangguan jin dan syaitan. Hal ini adalah kerana manusia tidak dapat melihat mereka dan adanya kemampuan mereka untuk berubah bentuk dalam waktu yang cepat, dan juga kerana tubuh mereka halus dan lembut sehingga kita tidak dapat merasa dan menyentuhnya.”
Berdasarkan perkara tersebut dapat diyakini bahawa sebahagian jin menyakiti (menzalimi) manusia. Adakah kerana manusia itu sendiri yang terlebih dahulu mengganggu atau menyakiti mereka dengan menyiramkan air panas kepada mereka atau mengencing mereka, atau menempati tempat tinggal mereka tanpa sedar sehingga mereka membalas dan menyakit manusia.
Mungkin juga terdapat sebahagian daripada jin tersebut memang ingin menyakiti manusia sehingga mereka menyakiti manusia tanpa sebab yang munasabah. Sebagaimana hal tersebut terjadi di kalangan manusia yang saling menyakiti tanpa ada sebab musabab yang kukuh. Hal ini dapat dilihat melalui kehidupan fitrah manusia yang telah rosak iman dan akal serta keinginan mereka yang lemah.
Syeikh Al-Jaza’iri melanjutkan, “Pada hadis sahih yang lalu telah dijelaskan bahawa ketika seorang pemuda dari kalangan Ansar menusuk jin yang menjelma sebagai seekor ular. Ular ini tidak akan mati sehingga jin membalas dendam dengan membunuh pemuda tersebut. Abu Said Al-Khudri RA berkata, ‘Tidak diketahui mana yang lebih dahulu menemui ajal. Pemuda ataukah ular itu?” Oleh kerana kenyataan ini sudah terkenal dan telah diketahui oleh ramai orang jadi kami tidak lagi perlu bersusah payah untuk mencari dalil dan bukti lain untuk menjelaskan perkara tersebut. Cukup dengan peristiwa yang dialami oleh pemuda Ansar yang terdapat di dalam sahih Muslim.”
Selanjutnya Abu Bakar Al-Jazairi berkata, “Kami akan menyebutkan peristiwa lain yang terjadi di dalam rumah kami sendiri, sehinggakan kami berasa sedih dan berduka. Saya mempunyai seorang kakak perempuan yang bernama Sa’diyah. Ketika masih kanak-kanak, kami mengikatkan tali pada sebuah dahan pohon kurma yang kuat dan ditarik ke loteng rumah dengan keadaan kami yang berada di atas loteng. Pada suatu ketika, tatkala kakak saya menarik tali tersebut dan dia tidak mampu menariknya, maka dia pun tertarik tali itu dan terpelanting ke tanah sehingga menimpa salah satu jin perempuan. Jin itu merasa disakiti kerana tertimpa kakak saya. Maka jin perempuan ini membalas dendam kepadanya. Dalam mimpinya, jin ini selalu menghampirinya dua atau tiga kali atau bahkan lebih setiap minggu. Lalu dia mencekiknya, sehingga kakak saya ini menendang-nendang, dia juga meronta-ronta dan bergerak ke sana ke mari seperti seekor kambing yang disembelih. Dan dia tidak berhenti kecuali setelah dia seperti orang yang sudah tidak bernyawa.
Pada suatu ketika, jin ini berterus terang bahawa dia melakukan hal ini adalah kerana kakak saya pernah menyakitinya. Jin perempuan ini sentiasa mengganggu dan menyakiti kakak saya. Jin ini menganggu kakak saya pada waktu tidur sahaja selama sepuluh tahun. Selepas itu dia membunuh kakak saya dengan seksaan yang tidak mampu ditanggung. Pada suatu malam seperti kebiasaannya jin tersebut datang mengganggu, kakak meronta, menendang dan mengamuk sehingga dia menghembuskan nafasnya yang terakhir- semoga Allah mengampuni dan merahmatinya. Amin…