Sering kali kita mendengar bahawa rumah si Fulan atau tempat si Fulan didiami oleh jin. Adakah ini benar?
Sebenarnya, permasalahan ini ada kebenaran dan ada juga salahnya. Kebenaran permasalahan ini dapat disaksikan. Syariat Islam turut mengakui kebenaran perihal tersebut. Pada pembahasan lalu, telah kita sebutkan kisah seorang pemuda dari kalangan Ansar yang mendapati jin dalam bentuk ular di dalam rumahnya. Kisah lengkapnya dapat ditemukan di dalam kitab Sahih Muslim.
Abdullah bin Muhammad bin Al-Qursyi berkata, “Hasan bin Juhur bercerita kepada kami, daripada Ibnu Abi Ilyas dari Abu Ibad bin Ishak, daripada Ibrahim bin Muhammad bin Talhah, daripada Sa’ad bin Abu Waqqash RA, dia berkata, ‘Ketika aku berada di luar rumah, tiba-tiba utusan isteriku datang dan berkata, “Isteri anda memanggil!” akan tetapi aku tidak mempercayainya, namun aku tetap masuk ke dalam rumah, lalu bertanya, “Ada apa?” Isteriku berkata, “Ular ini (sambil menunjuk ke arah ular itu) pernah saya lihat di kampung pendalaman, ketika saya pergi ke sana. Ketika saya lama tidak melihatnya lagi, tiba-tiba saya melihatnya sekarang. Ular itu memang pernah saya lihat, saya mengenalinya dari matanya.’ Maka aku (Sa’ad) berkata kepada ular ini, setelah melakukan puja dan puji kepada Allah, ‘Sesungguhnya kamu telah menyakiti saya, dan saya bersumpah kepada Allah, jika saya melihatmu sekali lagi, saya akan membunuhmu.’ Maka ular itu pun keluar, ia meluncur keluar dari pintu rumah.’
Di dalam kitab “Al-Funun”, Ibnu Aqil menceritakan, “Kami mempunyai sebuah rumah di Zhafar – salah satu kota di kawasan Baghdad. Setiap kali ada orang yang mendiaminya, mereka akan mati. Suatu ketika terdapat seorang lelaki yang hafal al-Quran datang dan tinggal di dalam rumah itu dan kami melihatnya keluar dengan selamat. Disebabkan itu jiran di sekitarnya berasa hairan dan bertanya-tanya. Maka orang ini berkata, ‘Ketika saya menginap di rumah ini, saya melakukan solat Isyak, lalu saya membacakan beberapa ayat daripada al-Quran. Tiba-tiba ada seorang pemuda yang muncul dan perigi. Dia mengucapkan salam kepada saya, maka saya pun merasa takut. Lelaki dari dalam perigi tadi berkata, “Tidak apa-apa, tenanglah, ajarkanlah sesuatu daripada al-Quran kepada saya.”
Mendengarkan itu perasaan takut saya hilang dengan serta-merta. Kemudian saya bertanya kepadanya, “Bagaimana cerita tentang rumah ini?” Dia menjawap, ‘Kami merupakan sekumpulan jin muslim, kami membaca al-Quran dan melakukan solat. Sementara yang menempati rumah ini ialah orang-orang fasik. Mereka gemar melakukan pesta dan meminum khamar. Disebabkan itu kami mencekik mereka.’ Saya berkata, ‘Jika kamu muncul pada malam hari seperti ini saya akan takut kepadamu dan lebih baik kamu muncul pada siang hari’. Dia berkata, ‘Ya.’ Maka jin tadi muncul pada siang hari. Seterusnya menjadikan saya terbiasa dan akrab dengannya’.”
Banyak sekali cerita dan kisah nyata mengenai hal ini dan sebahagiannya sudah kita sebutkan. Adakalanya terdapat segelintir masyarakat yang menokok tambah dan menipu dalam menyebarkan kisah atau peristiwa seperti ini demi kepentingan duniawi dan tujuan peribadi. Dan saya akan menyebutkan kisah nyata dalam hal ini.
Syeikh Yasin Ahmad Id berkata, “Beberapa tahun yang lepas, seorang lelaki telah wafat di sebuah perkampungan. Dia meninggalkan rumah yang sangat indah, megah dan terasing dari rumah-rumah yang lain. Bangunan rumah itu sangat luas, biliknya banyak dan dihiasi dengan berbagai-bagai jenis lukisan dan perhiasan yang sangat menarik dan indah bila dipandang. Di halaman rumahnya ada air terjun yang dibina dengan menggunakan marmar lembut. Di sekitarnya juga terdapat beberapa jenis patung degan pelbagai corak dan warna, sementara air tersebut keluar dari mulut-mulutnya.
Lelaki itu tidak mempunyai anak untuk mewarisi segala harta peninggalannya. Setelah pemiliknya wafat, rumah itu tidak pernah dihuni manusia dan ditinggalkan kosong begitu saja. Oleh yang demikian kaum kerabatnya bersepakat untuk menjual rumah tersebut. Mereka beranggapan bahawa harga rumah tersebut sudah pasti mahal dan mereka akan mendapat keuntungan dan wang yang melimpah hasil daripada penjualan rumah tersebut. Ketika mereka mengumumkan bahawa rumah tersebut akan dijual, tiba-tiba tersebar berita bahawa rumah ini dihuni oleh jin. Jin yang menghuni rumah tersebut ialah jin Ifrit. Berita ini tersebar secara meluas sehinggakan menjadi buah mulut orang ketika bekerja dan di tempat-tempat perkumpulan mereka. Jika ada orang yang tidak mempercayai berita ini, dia akan pergi melihat rumah itu pada malam harinya. Sekembalinya di sana dia akan meyakini bahawa rumah ini benar-benar dihuni syaitan.
Disebabkan itu tidak ada walau seorang pun yang berminat untuk membeli rumah tersebut. Ahli warisnya juga merasa takut akan risiko yang terpaksa mereka tanggung di kemudian hari, apalagi sudah ada orang yang telah membayar seperempat daripada harga rumah yang telah ditetapkan. Sebelum ahli warisnya menerima sejumlah wang tersebut, datang seorang pemuda berani yang telah mendengar perihal rumah ini dan tanggapan orang ramai terhadapnya. Pemuda ini merupakan orang yang tidak takut kepada jin dan tidak ambil peduli dengan perkara jin Ifrit. Oleh itu ahli waris tersebut kerkeinginan untuk meminta tolong kepadanya. Pemuda ini meminta sejumlah upah yang cukup banyak kepada mereka dengan memberi jaminan bahawa dia akan mengusir jin tersebut. Maka mereka pun setuju dan mereka memberikan setengah daripada upahnya terlebih dahulu.
Pada sebelah petangnya, pemuda itu pergi menuju ke rumah itu dengan membawa senapang sebagai bahan penolong baginya ketika diperlukan. Ketika dia sampai di rumah tersebut, dia beristirahat sebentar. Setelah memadamkan lilin, dia pun tidur. Tidak berapa lama, dia merasakan ada orang yang menarik selimutnya, maka dia pun memegangnya dengan sekuat tenaga. Dia bertanya, ‘Siapakah yang menarik selimut ini?!’ orang itu berkata, ‘Saya ialah (jin Ifrit) dan saya mesti mengambil selimutmu, kerana kalau tidak, aku akan memakai tubuhmu.’ Tiba-tiba pemuda itu melepaskan selimut yang dipegangnya, sehingga menyebabkan jin Ifrit itu jatuh telentang, lalu pemuda itu memijak dadanya dan mengarahkan senapang ke kepalanya. Pemuda itu berkata, ‘Beritahu kepada saya siapa anda?’ Maka diapun (Ifrit) merasa sangat takut kepadanya, lalu berkata, ‘Lepaskanlah saya, saya akan memberitahu hakikat sebenar diri saya kepada anda.
Pemuda itu berkata, ‘Cakaplah wahai Ifirt!’ Orang itu berkata, ‘Saya bukan Ifrit, dan saya juga bukan jin, tetapi saya ialah manusia seperti anda. Barangkali yang membezakan kita hanyalah warna kulit saya yang hitam dan rupa saya yang buruk.’ Oleh itu pemuda itu melepaskannya, lalu dia menyalakan lilin untuk melihat siapa gerangan orang ini. Dia melihat seorang budak yang sangat hitam dan bertelanjang bulat. Pemuda itu berkata, ‘Beritahu kepada saya, mengapa kamu berada di dalam rumah ini?’ Orang itu berkata, ‘Sesungguhnya, keterpaksaan yang membuatkan saya berada di sini. Hal ini disebabkan saya merupakan seorang hamba Allah yang sangat miskin, tidak mempunyai pekerjaan dan mempunyai keluarga besar dan hanya saya yang menanggung hidup mereka. Kemudian saya berjumpa dengan seseorang untuk meminta pekerjaan yang dapat menghidupkan saya dan keluarga. Dia telah menyuruh saya untuk pergi ke rumah ini pada setiap malam dan menginap di sini. Dia berpesan kepada saya, jika saya merasa ada orang yang mendekati rumah ini, saya bertepuk dengan kedua-dua tangan dan saya memukul besi yang telah saya sediakan untuk tujuan ini. Jika saya melihatnya melalui jambatan, saya memukulkan air hingga dia terpancut dari mulut-mulut patung ini, lalu saya naik ke atas air terjun dan saya berteriak dengan suara yang sangat kuat dan beragam yang membuatnya takut. Kemudian dia berpesan kepada saya untuk merahsiakan perkara ini.
Ketika pemuda itu mendengarkan penuturan dari orang ini, dia pun membawa orang ini dan menyerahkannya kepada ahli waris pemilik rumah itu, lalu dia menceritakan kisah yang sebenarnya. Akhirnya, diketahuilah bahawa lelaki yang menyuruh orang itu ialah orang yang berminat untuk membeli rumah ini dengan harga yang sangat murah.