Bolehkan Manusia Melihat Makhluk Halus

2,497

Soalan :

Kita memang percaya bahawa makhluk yang disebut dalam al-Quran seperti Jibrail, jin, syaitan dan sebagainya sememangnya wujud. Kemusykilan saya adalah tetang keupayaan makhluk halus ini boleh melihat manusia, tetapi manusia tidak boleh melihat mereka.

Adakah benar dakwaan sesetengah pihak bahawa manusia boleh melihat makhluk halus ini dengan mata kepala mereka sendiri dalam keadaan menyerupai mansia ataupun binatang yang menakutkan? (Abu Bakar Hashim, Dengkil, Selangor)

Jawapan :

Mengenai soalan saudara berkaitan perkara di atas, memang benar makhluk halus boleh melihat manusia. Ini dijelaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya dalam surah al-A’raf ayat 27 yang bermaksud:

“…Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dalam keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka…”

Kebiasaanya mereka (makhluk halus) dapat melihat manusia sedangkan manusia tidak boleh melihat mereka dalam rupa bentuk mereka yang asal. Namun manusia boleh melihat makhluk ini apabila mereka telah menyerupai rupa bentuk tertentu yang diizinkan oleh Allah SWT.

Sebagai dalil, al-Quran telah menceritakan bahawa mereka (makhluk halus) berupaya menyerupai manusia. Hal ini disebut dalam surah al-Anfal ayat 48 yang bermaksud:

“Dan ingatlah ketika syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu untuk dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata “Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia yang dapat mengalahkan kamu dan sesungguhnya aku adalah pelindung dan penolong kamu”, maka apabila kedua-dua puak (angkatan tentera Islam dan kafir musyrik) masing-masing kelihatan (berhadap-hadapan), syaitan itu berundur ke belakang sambil berkata “Aku berlepas diri daripada kamu kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya, sesungguhnya aku takut kepada Allah dan Allah sangat berat azab seksanya.”

Sebagai contoh, dalam Tafsir al-Qurtubi menceritakan bahawa tentera Musyrikin berasa gentar untuk memerangi tentera Islam ketika dalam peperangan Badar. Tiba-tiba, muncul satu pasukan perang yang diketuai oleh Suraqah bin Malik bin Ju’ashum dari suku Bani Bakr. Beliau dengan tenteranya amat ditakuti oleh Quraisy kerana latar belakang permusuhan mereka dengan Bani Bakr ini. Apabila Suraqah berjanji untuk membantu tentera Musyrikin mengalahkan tentera Islam, maka tentera Musyrukin berasa berani.

Akan tetapi, apabila peperangan bermula, Suraqah dan konco-konconya lari meninggalkan peperangan dan akhirnya tentera Musyrikin ditewaskan oleh tentera Islam.

Ayat ini ditafsirkan secara muktabar bahawa orang yang berkata-kata dengan tentera Musyrikin ini ialah syaitan yang menyerupai Suraqah bin Malik. Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 30 bermaksud:

“Dan ingatlah (wahai Muhammad, ketika orang kafir Musyrik (Makkah) menjalankan perancangan jahat terhadapmu untuk memenjarakanmu, atau membunuhmu atau mengusirmu. Mereka menjalankan perancangan jahat dan Allah menggagalkan perancangan jahat (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan perancangan jahat”.

Tafsir al-Nasafi mencatatkan tentang peristiwa orang kafir mengadakan satu pertemuan di Dar al-Nadwah untuk memutuskan perihal Muhammad SAW. Ketika para pembesar Quraisy hendak bermesyuarat, mereka didatangi oleh seorang pemimpin dari puak Najdi. Beliau yang dikenali sebagai Syeikh al-Najdi, datang secara khusus untuk menyertai pembesar Quraisy dalam memberikan pandangan. Pembesar Quraisy Makkah membenarkan Syeikh al-Najdi turut sama dalam mesyuarat tersebut yang berakhir dengan keputusan untuk membunuh Nabi Muhammad SAW.

Sebenarnya Syaikh al-Najdi ini ialah Iblis laknatullah yang telah menyamar dengan menyerupai manusia.

Dalam peristiwa lain, Rasulullah SAW sendiri pernah pergi berdakwah kepada golongan jin. Abu Hurairah RA pernah menangkap syaitan yang mengganggu dan mencuri barang makanan yang dijaga dalam simpanan baitulmal. ‘Ammar bin Yasir pula pernah  berhadapan dan bertarung dengan makhluk halus ini.

Semua ini membuktikan bahawa makhluk halus memang berupaya menyerupai pelbagai rupa. Namun begitu, mereka bukan sewenang-wenangnya boleh mengganggu manusia kerana Allah SWT mengawal manusia dengan rahmat-Nya.

Petikan daripada buku Menjawab Persoalan Makhluk Halus bersama Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Get real time updates directly on you device, subscribe now.