ADAKAH MAKHLUK HALUS BENAR-BENAR WUJUD?

1,326

Soalan : Saya pernah mendengar pertengkaran yang hebat di antara seorang yang berpendidikan tinggi dari barat dengan seorang yang berpendidikan agama mengenai kepercayaan kewujudan makhluk halus seperti hantu, jembalang, toyol dan sebagainya. Adakah makhluk ini benar-benar wujud? Masing-masing menegakkan hujah namun tidak ada penyelesaiannya. Apakah pandangan dan komen Ustaz mengenai perkara ini?

Jawapan : Persoalan yang saudara kemukakan ini sememangnya berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini yang kebanyakkannya berpegang kepada ilmu pengetahuan sains moden yang berorientasikan logik akal bahawa sesuatu itu wujud jika ia dapat dilihat atau dirasai. Jika tidak, bagi mereka sesuatu itu tidak wujud.

Persoalan ini merujuk kepada penggunaan istilah sama ada hantu, jembalang, toyol atau sebagainya. Saya cuba melihat perkata ini dengan lebih halus. Dalam Kamus Dewan, makhluk halus diertikan sebagai hantu, bunian, jembalang, puntianak, langsuir, pelesit yang merupakan roh jahat yang merasuk dan melakukan pelbagai kemudaratan kepada manusia.

Semua istilah ini terkenal dalam budaya masyarakat Melayu. Bagi masyarakat lain seperti Arab, mereka menggunakan istilah seperti al-Jinn, jinni, jinnah, syaitan, Iblis, Ifrit dan sebagainya.

Dalam kamus Arab yang terkenal seperti al-Munjid, Lisan al-Arab, Mukhtar al-Sihah dan lain-lain menyatakan erti bagi istilah yang disebutkan di atas bermaksud, roh-roh kotor atau jahat yang melakukan kejahatan secara tersembunyi atau menakutkan anak-anak Adam dengan pelbagai-bagai cara.

Kedua-dua Kamus Dewan dan Arab ini merujuk kepada istilah yang sama. Nama-nama makhluk halus yang terkenal dalam masyarakat Melayu tersebut sama dengan nama-nama yang disebut oleh masyarakat Arab, iaitu suatu makhluk yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar, atau hanya boleh dilihat dalam keadaan tertentu sahaja.

Sekiranya kita merujuk kepada al-Quran dan hadith-hadith Nabi Muhammad SAW, kita akan menemui istilah yang sama. Al-Quran menyebut syaitan atau syayatiin, jin atau jinnah, qarin, Iblis, Ifrit dan sebagainya. Dalam hadith yang sahih kita akan berjumpa dengan istilah Ummu Sibyan, Khanzab, Aamir, ‘Ammar, Alwalahan, Mukhannas dan Mukhannathuun. Semua istilah ini sama ada dalam al-Quran dan hadith merujuk kepada wujudnya makhluk-makhluk halus ataupun roh-roh jahat yang mengganggu manusia dengan pelbagai cara.

Malahan dalam surah al-Ahqaf ayat 29, Allah SWT berfirman: Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin dating kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain), “Diamlah kamu dengan menumpukan sepenuh perhatian kepada bacaannya!” Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyebarkan ajaran al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran.

Disebutkan juga dalam hadith yang sahih bahawa Rasulullah SAW telah bertemu dengan masyarakat jin untuk menjelaskan ayat-ayat al-Quran. Hadith daripada Ibnu Abi Hatim yang diriwayatkan daripada Mujahid menceritakan Nabi SAW telah bertemu dengan masyarakat jin untuk berdakwah.

Kesimpulannya, makhluk halus itu memang wujud dan wajib dipercayai. Pada pandangan saya, yang membezakan hanyalah pada istilah atau terjemaannya sahaja sedangkan kesemuanya adalah makhluk yang sama.

Sama ada hantu, jembalang, jin tanah, pelesit, bunian, dan sebagainya ialah makhluk halus yang wajib dipercayai kewujudannya sebagaimana yang disebut dalam al-Quran. Tidak mempercayai ayat al-Quran boleh membawa kepada kerosakan aqidah.

Wallahu a’lam ( والله أعلمُ)

Petikan Daripada Buku ‘Menjawab Persoalan Makhluk Halus‘ oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Get real time updates directly on you device, subscribe now.