Dengki dan ‘Ain Menurut Al-Quran dan Al-Hadis

52

Sebahagian kalangan yang kurang berpengetahuan tidak mempercayai ‘ain (pengaruh buruk pandangan mata) seraya memberi komen: “Itu hanyalah angan-angan dan bukan hakiki.”

Mereka yang memberi komen seperti itu termasuk orang yang bodoh dalam menggunakan pendengaran dan akalnya, tebal tirai penutup ilmunya, kasar perangainya, serta tidak memiliki pengetahuan tentang roh atau jiwa: sifatnya, perbuatannya dan pengaruhnya. Padahal ‘ain itu disebutkan dalam Al-Quran Al-Karim dan Al-Hadis As-Syarif.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sungguh hampir-hampir orang-orang kafir itu menggelincirkan kamu dengan pandangan mata mereka tatkala mereka mendengar Adz-Dzikr (Al-Quran).” (Al-Qalam: 51)

Dari Ibnu Abbas, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Ain (penyakit yang timbul akibat pengaruh jahat pandangan mata) itu benar-benar ada. Andaikata ada sesuatu yang akan mendahului takdir, nescaya ‘ain itulah yang akan mendahuluinya. Dan apabila kamu disuruh mandi, maka kamu hendaklah mandi.” (HR. Muslim)

Dari Aisyah RA, dia berkata: “Pelaku ‘ain itu disuruh berwuduk, kemudian orang yang terkena ‘ain disuruh mandi dengan air bekas wuduk orang tersebut.” (HR. Abu Daud)

Dari Ummu Salamah RA: “Bahawasanya Nabi Muhammad SAW melihat seorang hamba perempuan yang di wajahnya ada warna muka kehitam-hitaman, baginda bersabda, ‘Ruqyahlah dia, kerana padanya terdapat nazhrah (sisa sakit kerana terkena ‘ain).'” (HR. Al-Bukhari)

Dari Abu Sa’id RA: “Rasulullah SAW biasa memohon perlindungan (kepada Allah) dari kejahatan jin dan ‘ain manusia.” (HR. At-Tirmizi)

Dari Anas bin Malik RA, dia berkata: “Rasulullah SAW memberi keringanan (rukhsah) untuk ruqyah kerana ‘ain, sengatan binatang berbisa dan cacar.” (HR. Muslim)

Dari Asma’ binti Umais RA, dia berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya anak Ja’far terkena ‘ain, apakah aku boleh meruqyah mereka? Rasulullah SAW menjawab, ‘Ya, kerana andaikata ada sesuatu yang mendahului takdir nescaya ‘ain akan mendahuluinya.'” (HR. At-Tirmizi)

‘Ain (mata) adalah alat indera untuk penglihatan dan pandangan. Adapun dalam kaitannya dengan dengki yang sedang kita bicarakan, berikut ini penjelasan mengenainya:

Menurut Al-Hafiz Ibnu Hajar: “Ain ialah memandang sesuatu yang dianggap mengagumkan dan mempesona di mata yang memandang disertai dengan kedengkian yang muncul dari perangai yang buruk, sehingga mengakibatkan mudarat bagi orang yang dipandang.”

Adapun menurut Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah: “‘Ain itu ada dua, iaitu ‘ain yang berasal dari manusia dan ‘ain dari jin:

  1. ‘Ain yang berasal dari manusia, contohnya adalah pengaruh buruk ‘ain dari Amir bin Rabi’ah RA kepada Sahl bin Hunaif RA.

    Dari Abu Umamah bin Sahl bin Hunaif RA, bapanya menceritakan kepadanya: “Bahawasanya Rasulullah SAW dan Sahl keluar untuk menempuh perjalanan ke arah Makkah, ketika mereka sampai di lembah Al-Kharrar berdekatan Juhfah, Sahl bin Hunaif pun mandi. Dia adalah seorang lelaki yang putih bersih tubuh dan kulitnya. Amir bin Rabi’ah, salah seorang dari Bani Adi bin Ka’ab secara kebetulan melihatnya.”

    Amir berkata: “Aku tidak pernah melihat (kulit) seperti hari ini tidak pula kulit wanita yang disembunyikan.”

    Setika itu Sahl pengsan. Dia dibawa menghadap kepada Rasulullah SAW lalu dikatakan kepada baginda: “Wahai Rasulullah, apakah kamu boleh mengubati Sahl. Demi Allah, dia tidak mampu mengangkat kepalanya dan tidak dapat sedar dari pengsannya.”

    Rasulullah SAW bersabda: “Apakah kamu menuduh seseorang telah melakukan sesuatu terhadap dia?”

    Mereka menjawab: “Amir bin Rabi’ah telah memandangnya.”

    Rasulullah SAW memanggil Amir dan marah terhadap seraya bersabda: “Atas dasar apa salah seorang di antara kamu membunuh saudaranya. Mengapakah kamu tidak mendoakan agar mendapat keberkatan apabila kamu memandang sesuatu yang membuatmu terpesona?”

    Kemudian Rasulullah SAW bersabda kepada Amir: “Mandilah kamu untuk dia!”

    “Kemudian Amir membasuh wajah, kedua belah tangan, kedua belah siku, kedua belah lutut, hujung-hujung kedua belah kakinya, dan bahagian dalam sarungnya di dalam bekas berisi air, kemudian air itu dituangkan oleh seseorang di kepala dang belakang Sahl dari arah belakangnya. Air di dalam bekas itu cukup untuk membasuh bahagian belakangnya. Setelah itu dikerjakan, maka Sahl boleh bangun untuk bergabung dengan orang ramai, tidak tertinggal lagi sakitnya.” (HR. Ahmad)
  2. ‘Ain yang berasal dari jin, yakni apabila jin memandang seorang manusia lalu timbul kedengkian darinya.

    Dalil yang menunjukkan ini adalah hadis Ummu Salamah RA: “Bahawasanya Nabi Muhammad SAW ‘saf’ah’ maknanya pandangan dari jin. Hamba perempuan itu sedang ditimpa ‘ain yang berasal dari pandangan jin yang lebih kuat daya tembusnya daripada mata tembok.”

    Dari Abu Sa’id Al-Khudri RA, dia berkata: “Rasulullah SAW memohon perlindungan dari kejahatan jin dan ‘ain manusia, sampai turunnya surah Al-Mu’awwidzatain. Ketika kedua-dua surah itu turun, baginda membacanya dan meninggalkan doa selain kedua-duanya.” (HR. At-Tirmizi)

    Oleh kerana itu jugam terdapat hadis Anas bin Malik RA, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Penutup antara mata jin dan aurat anak keturunan Adam ketika mereka menanggalkan baju mereka hendaklah berdoa, ‘Bismillah.'” (HR. Ath-Thabrani)

Petikan daripada buku “Ensiklopedia Rawatan Islam”
Ibnu Qayyim Al-Jauziyah, Prof. Sya’ban Ahmad Solih

Get real time updates directly on you device, subscribe now.