Keutamaan Mendengar Bacaan Al-Quran dan Penjelasan Kewajipannya

36

Pada hadis-hadis berikut ini dijelaskan tentang keutamaan mendengar bacaan Al-Quran:

Al-Bukhari meriwayatkan dari Anas bin Malik RA, bahawasanya Nabi SAW bersabda kepada Ubay bin Ka’ab RA: “Sesungguhnya Allah SWT menyuruhku untuk membacakan Al-Quran kepadamu.”

Ubay RA berkata: “Apakah Allah SWT menyebut namaku kepadamu?”

Rasulullah SAW menjawab: “Ya”

Ubay RA bertanya lagi: “Sungguh benarkah namaku telah disebut di sisi Rabb alam semesta?”

Rasulullah SAW menjawab: “Ya”

Maka kedua-dua belah mata Ubay RA pun mengalirkan air mata. Dia menangis kerana perasaan gembira, bahagia, khusyuk dan takut jangan-jangan dirinya lalai dari mensyukuri nikmat Allah SWT.

Salah satu amalan yang disunatkan ialah mendengar bacaan Al-Quran pada waktu-waktu tertentu dari orang lain.

Abdullah bin Mas’ud RA berkata: “Nabi SAW bersabda kepadaku, ‘Bacakan Al-Quran kepadaku.’ Aku menjawab, ‘Wahai Rasulullah, apakah aku membaca Al-Quran kepadamu sedangkan Al-Quran itu diturunkan kepadamu?’ Rasul bersabda, ‘Ya betul.’ Aku pun membaca surah An-Nisa’, hingga sampai pada ayat: ‘Bagaimana ketika Kami datangkan seorang saksi dari setiap umat, dan Kami datangkan engkau sebagai saksi ke atas mereka.’ Rasulullah SAW bersabda, ‘Cukupkan bacaanmu sekarang.’ Aku menoleh kepada baginda SAW, ternyata kedua-dua belah mata baginda mengalirkan air mata.”

Umar bin Khattab RA berkata kepada Abu Musa Al-As’ari RA: “Ingatkan kami akan Rabb kami,” lantas Abu Musa RA, membacakan Al-Quran sampai menjelang tibanya waktu solat, di tengah-tengah bacaannya dia berkata: “Wahai Amirul mukminin! Sudah tiba waktu solat, sudah tiba waktu solat.” Umar bin Khattab RA berkata: “Sekarang aku sedang solat.”

Jelas bahawa mendengar bacaan Al-Quran dari orang lain pada waktu-waktu tertentu itu termasuk sunnah, tetapi apakah diwajibkan mendengarnya setiap kami Al-Quran dibacakan?

Berdasarkan firman Allah SWT: “Apabila dibacakan Al-Quran, maka kamu dengarkanlah itu dan diamlah, agar kamu mendapat rahmat.” (Al-A’raf: 204)

Jawapannya: “Apabila dibacakan pada waktu solat, maka diwajibkan. Adapun di luar waktu solat, maka kebanyakan ulama sepakat bahawa itu hukumnya sunat.”

Get real time updates directly on you device, subscribe now.