APAKAH HIKMAH MANUSIA TIDAK BOLEH MELIHAT MAKHLUK HALUS?

1,460

Soalan :

Apakah hikmah Allah SWT menciptakan makhluk halus yang boleh melihat manusia sedangkan manusia tidak boleh melihat rupa asal mereka? Makhluk ini turut memusuhi manusia dan sering menyakiti manusia. (Zainal, Kota Sarang Semut, Kedah)

Jawapan :

Bukan semua makhluk halus sentiasa menyakiti manusia. Ada makhluk halus yang beragama Islam dan ada juga yang kafir. Makhluk halus yang beragama Islam dan beramal soleh tidak akan menyakiti makhluk-makhluk lain.

Diriwayatkan oleh ‘Abd Allah ibn ‘Amr, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Seorang Muslim yang sebenar adalah seorang Muslim yang akan memberi keselamatan dan kesejahteraan kepada Muslim yang lain sama ada melalui lidahnya mahupun perbuatannya dan orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan sesuatu yang dilarang oleh Allah.”

Manusia Muslim dengan makhluk halus yang Muslim adalah bersaudara. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud:

“Sesungguhnya semua orang beriman itu adalah bersaudara.”

Makhluk halus yang benar-benar Muslim menjadi saudara kepada kita dan tidak akan menyakiti kita. Walaupun begitu, permusuhan merupakan salah satu sifat yang ada pada diri manusia dan makhluk halus.

Allah SWT menganugerahkan suatu rahmat yang amat besar kepada manusia apabila manusia tidak dapat melihat makhluk halus. Allah SWT menciptakan filter atau penutup pada mata yang menjadi penghalang manusia daripada dapat melihat alam ghaib.

Sekiranya manusia boleh melihat makhluk halus, keadaan manusia tidak akan menjadi tenteram. sentiasa terancam dan diancam. Manusia tidak boleh berehat dan sukar untuk tidur nyenyak kerana sering melihat rupa-rupa mereka yang menakutkan.

Disebabkan manusia tidak dapat melihat makhluk halus, maka manusia boleh duduk bersenang lenang, berehat dan tidur tanpa sebarang gangguan, meskipun mereka berada di sekeliling kita.

Cuba kita bayangkan, sekiranya kita berada di dalam bilik tidur, tiba-tiba ternampak makhluk seperti ular ataupun anjing hitam lari masuk ke bawah katil, tentulah kita akan mencarinya hingga dapat. Jika tidak dapat, sudah tentu kita tidak akan tidur nyenyak dan mungkin akan berpindah ke bilik lain.

Kita harus faham bahawa dengan tidak dapat melihat makhluk halus merupakan nikmat yang sangat besar kepada manusia. Makhluk halus memang boleh menyakiti manusia, namun perlu diingat bahawa manusia juga boleh menyakiti makhluk halus. Makhluk halus juga takut kepada manusia. Malah sebenarnya makhluk haluslah yang lebih takut kepada manusia, khasnya orang-orang yang sangat tinggi darjat ketakwaannya kepada Allah SWT.

Disebut dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaiban daripada Muhammad ibn Sa’ad daripada ayahnya, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Demi (Allah) yang diriku yang berada di tanganNya, tidaklah kamu (‘Umar RA) mengikuti suatu jalan ke suatu arah, melainkan syaitan akan mengikuti jalan lain.” Nabi SAW berkata demikian kepada ‘Umar al-Khattab RA.

Kita boleh mempertahankan diri daripada makhluk halus dengan cara mendekatkan diri kepada Allah SWT dan memohon perlindungan daripada-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 200 yang bermaksud:

“Dan jika kamu ditimpa suatu gangguan atau godaan dari syaitan, makan pohonlah perlindungan kepada Allah SWT, sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Kedua-dua ayat ini membawa maksud yang sama, cuma dalam surah Fussilat, terdapat penambahan ayat hua atau Dialah sahaja. Ayat ini memberi penekanan bahawa Allah SWT sahaja yang akan memberikan perlindungan kepada manusia, mempertahankan manusia daripada kecelakaan yang akan dilakukan oleh makhluk halus.

Orang mukmin wajib takut kepada Allah SWT sahaja, bukan takut kepada makhluk halus. Jika kita takut dengan mereka, ini memberi makdus penggantungan kita kepada Allah masih rapuh dan perlu dipertingkatkan lagi.

Ingatlah bahawa manusia adalah khalifah dimuka bumi. Manusia ialah “boss” atau “ketua” atau “pemerintah” yang memerintah alam. Semua makhluk di muka bumi termasuk makhluk halus mesti patuh kepada manusia.

Inilah yang menyebabkan Iblis berasa dengki serta iri hati kepada Nabi Adam AS kerana Adam dan anak cucunya diangkat menjadi khalifah di muka bumi ini. Maka dengan itu manusia tidak seharusnya takut kepada makhluk halus.

Manusia perlu sedar, manusia diberi kelebihan yang tidak diberikan kepada makhluk halus.

Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 70 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami telah mengangkat mereka dengan pelbagai kenderaan di daratan dan di lautan. Kami juga telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda yang baik-baik, serta Kami telah memberi kelebihan kepada mereka dengan sempurna mengatasi makhluk-makhluk yang Kami ciptakan.”

Salah satu daripada kelebihan yang Allah SWT berikan kepada manusia adalah keupayaan mempertahankan diri daripada sebarang gangguan musuhnya termasuklah makhluk halus dengan berpegang dan bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT.

Petikan Daripada Buku ‘Menjawab Persoalan Makhluk Halus‘ oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Get real time updates directly on you device, subscribe now.