Adakah Nabi Khaidir Masih Hidup? – IKHTIAR SYIFA

1,359

Soalan :

Saya mendengar seorang ustaz menyebut bahawa Nabi Khaidir masih hidup dan ustaz itu mendakwa pernah berjumpa dengan Nabi Khaidir berpakaian jubah hijau serta bertasbih panjang. Menurutnya lagi perjumpaan itu berlaku dalam keadaan sedar, bukan mimpi. Bolehkah mempercayai dakwaan ini? Mohon penjelasan Ustaz agar kekeliruan ini dapat dilenyapkan. (Osman Abdul Kadir, Jengka, Pahang)

Jawapan :

Kewujudan Nabi Khaidir adalah benar (sahih). Cerita kewujudannya jelas di sebut dalam al-Quran surah al-Kahfi ayat 65 hingga ayat 82. Ayat ini khusus menceritakan perihal Nabi Allah Musa AS bertemu dengan Khaidir. Siapakah Khaidir?

Nama sebenarnya adalah Balya bin Malkaan, digelar al-Khadri, turut disebut sebagai Khaidir atau Nabi Khaidir. Jumhur ulama menyatakan beliau ialah Nabi. Beliau hidup pada zaman Nabi Musa AS.

Imam Bukhari meriwayatkan dalam hadith yang bermaksud:

“Nabi Musa dengan pembantunya bernama Yusha bin Nun bin Abraeen bin Yusof AS telah bertemu dengan Khaidir di satu tempat di tepi laut sedang berselimut menutupi seluruh badannya dengan kain hijau.”

Salah satu sebab mengapa beloau digelar al-Khadri atau Khaidir disebabkan al-Khadri itu bermaksud warna hijau. Ketika Nabi Musa AS bertemu buat kali pertama, Balya bin Malkaan (Khaidir) memakai pakaian berwarna hijau.

Mujahid mengatakan, beliau dinamakan al-Khaidir kerana ketika beliau bersembahyang, kawasan di sekitar beliau bersolat kelihatan berwarna hijau. Selepas perkenalan antara Nabi Musa AS dengan Khaidir, kedua-duanya bersetuju untuk mengembara dan berlakulah pelbagai kisah seperti yang boleh dibaca dalam ayat surah al-Kahfi seperti yang saya nyatakan di atas.

Persoalan tentang adakah Nabi Khaidir hidup sehingga hari ini, saya belum bertemu nas sahih dalam kitab tafsir yang muktabar ataupun dalam hadith-hadith yang boleh dijadikan hujah mengatakan Nabi Khaidir masih hidup. Jika dilihat dalam al-Quran, terdapat satu ayat Allah SWT berfirman dalam Surah al-Anbia ayat 34-35:

Maksudnya: “Dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelum mu dapat hidup kekal (di dunia). Maka jika engkau meninggal dunia (wahai Muhammad), adakah mereka akan hidup selama-lamanya? “Tiap-tiap diri (yang bernyawa) akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kami lah kamu semua akan dikembalikan.”

Al-Maraghi dalam tafsirnya, mentafsirkan ayat-ayat di atas dengan menerangkan: “Allah SWT tidak mengekalkan seorang pun di atas dunia ini sebelum kamu wahai Muhammad SAW, untuk menjadikan kamu kekal seperti mereka, malah semua Rasul Kami sebelum kamu tidak lagi hidup atau berada di atas muka bumi ini.”

Jika Nabi seperti Khaidir dikatakan tidak wafat dan hidup di atas muka bumi ini, maka yang lebih aula (utama) untuk hidup kekal ialah Nabi Muhammad SAW kerana baginda adalah Nabi akhir zaman, tiada Nabi lagi selepas baginda SAW.

Khaidir hanya seorang Nabi, bukannya Rasul. Jika hendak dikekalkan, maka Rasul yang lebih utama dikekalkan. Perkara yang paling penting ialah Nabi Muhammad SAW ialah Nabi dan Rasul terakhir dan tidak akan ada Nabi dan Rasul selepas baginda SAW.

Sekiranya Nabi Khaidir masih ada dan boleh ditemui dalam mimpi atau semasa berjaga yaqazah, maka ini bererti masih ada lagi Nabi selepas Muhammad SAW. Saya ingin bertanya pada ada, bolehkah berlaku adanya Nabi yang masih hidup selepas Nabi Muhammad SAW? Sudah tentu jawapannya tidak ada. Dengan alasan sedemikian, maka pada pandangan saya, Nabi Khaidir memang wujud, tetapi telah pun wafat.

Petikan daripada nuku Menjawab Persoalan Makhluk Halus bersama Tuan Guru Dato’ Haron Din

Get real time updates directly on you device, subscribe now.