Adakah Benar Jika Bermimpi Bertemu Rasulullah SAW Yang Keluar Dari Bilik Mandi?

4,258

Soalan:

Saya bermimpi menghadiri suatu perhimpunan, didapati orang ramai berkerumun di bilik mandi. Seorang lelaki telah keluar dari bilik mandi tersebut, saya melihat badannya basah, kulitnya sawo matang dan kelihatan seperti berkudis. Saya bertanya kepada orang yang berada di sekitar itu perihal lelaki tersebut. Orang tersebut menjawab bahawa lelaki tersebut ialah Nabi Muhammad SAW. Saya tergamam dan tertanya-tanya adakah benar lelaki yang saya lihat itu Nabi Muhammad SAW. Apabila saya bertanya seorang tuan guru berkenaan mimpi itu, tuan guru tersebut menyarankan agar bertanya kepada Ustaz Haron Din kerana beliau pernah bermimpi berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW dan kemungkinan beliau dapat menjelaskan sama ada benar atau tidak. (Muhaimin Muhammad, Serdang)

Jawapan:

Dalam sebuah hadith daripada Abu Hurairah RA:

Maksudnya: “Rasulullah SAW menjelaskan bahawa mimpi terbahagi kepada 3 jenis. Pertama, mimpi yang baik dan benar (al-Ru’ya al-Sadiqah) daripada Allah. Kedua, mimpi akibat gangguan syaitan. Ketiga, mimpi akibat perkara seharian yang berlaku kepada seseorang lalu dia bermimpi mengenainya.”

Mimpi yang benar memang wujud dan boleh berlaku dengan izin Allah SWT. Bermimpi bertemu Rasulullah SAW boleh digolongkan dalam erti kata anugerah Allah SWT kepada seseorang.

Abu Hurairah berkata:

Maksudnya: “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya sesiapa yang bermimpi melihat aku dalam tidurnya, maka akan melihat aku ketika sedarnya (yaqazah), atau seolah-olah dia melihat aku dalam sedarnya. Syaitan tidak boleh menyerupaiku.”

Sebuah hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim bahawa Abu Salamah telah berkata maksudnya: “Telah berkata Abu Qatadah, Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang telah melihat Aku dalam mimpinya, maka sesungguhnya dia telah melihat yang benar (al-Haqq).”

Banyak lagi hadith yang menceritakan mimpi bertemu Rasulullah SAW boleh berlaku dan ia termasuk mimpi yang benar. Mengenai mimpi yang saudara sebutkan di atas, perlu diingatkan bahawa saya bukanlah orang yang boleh mengesahkan, menafikan sama ada benar atau pun tidak mimpi saudara itu. Adakah yang saudara lihat itu benar-benar Rasulullah SAW? Ada beberapa sebab yang perlu kita ambil perhatian:

Pertama, mimpi tersebut adalah anugerah Allah SWT kepada saudara. Sama ada benar atau tidak, hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya.

Kedua, jika saudara yang bermimpi tetapi tidak pasti lelaki itu Rasulullah SAW atau tidak, bagaimanakah orang lain seperti saya boleh memastikannya?

Ketiga, jika saudara sendiri meraguinya, tentulah orang yang tidak bermimpi akan meraguinya.

Keempat, hadith-hadith Nabi SAW yang menceritakan perihal mimpi bertemu dengan Nabi SAW disebut dengan jelas maksudnya “seolah-olah dia melihatnya dalam keadaan sedar” ini memberi erti lelaki itu ialah Rasulullah SAW yang sebenar.

Rasulullah SAW yang sebenar berkulit cerah, sedikit kemerah-merahan, bukannya sawo matang. Rasulullah SAW mempunyai wajah yang cantik dan tidak berkudis seperti yang saudara lihat.

Kelima, hadith-hadith yang banyak menceritakan perihal mimpi bertemu Rasulullah SAW merujuk kepada keyakinan diri orang yang bermimpi berasa yakin di hadapannya adalah Rasulullah SAW yang sebenar.

Keenam, sekiranya ada orang lain yang memberitahu bahawa itu ialah Rasulullah SAW, timbul persoalan siapakah orang itu? Bolehkah perkhabarannya diterima.

Ketujuh, pernah beberapa orang menemui saya menceritakan perihal mimpi mereka bertemu Rasulullah SAW. Ada yang mengatakan Rasulullah SAW orangnya pendek dan terlalu gemuk. Ada pula yang berkata Rasulullah SAW berkulit hitam seperti Negro, dan ada yang mengatakan Rasulullah SAW bertubuh kurus, berjanggut hingga ke paras pusat dan bermacam-macam lagi. Saya menjawab kepada mereka Wallahu a’lam.

Saya tidak ada kebolehan untuk membuat tafsiran tetapi semua sifat-sifat yang disebutkan itu, bukanlah sifat sebenar Rasulullah SAW.

Nabi Muhammad SAW ialah insan kamil. Sifat asasinya memenuhi segala kesempurnaan insan. Tiada sebarang kekurangan dan kejelikan seperti yang disebutkan dalam mimpi saudara tadi. Walau bagaimanapun berkaitan mimpi yang disebutkan oleh saudara, saudara telah bermimpi dengan sesuatu yang baik iaitu bertemu insan yang dikhabarkan sebagai Nabi Muhammad SAW. Sudah tentulah mimpi tersebut lebih baik daripada bermimpi berjumpa dengan sesuatu yang tidak baik.

Petikan daripada buku Menjawan Persoalan Makhluk Halus bersama Tuan Gurun Dato’ Dr. Haron Din

Get real time updates directly on you device, subscribe now.