Benarkah Nabi Ayub Pernah Sakit Teruk Sehingga Badanya Berulat?

1,745

Soalan :

Seorang penceramah di masjid tempat saya menceritakan perihal Nabi Ayub AS yang mendapat penyakit ganjil kerana perbuatan jin-jin kafir ke atasnya. Seluruh badan Nabi Ayub AS berkudis dan bernanah sehingga dagingnya reput, berbau busuk dan berulat. Para jemaah tertanya-tanya tentang peristiwa tersebut, bagaimanakah Nabi Ayub AS boleh mengajak orang mempercayai seruannya dan kerasulannya sekiranya keadaan beliau sedemikian. Mohon penjelasan Ustaz. (Fauzi Abdul Rahman, Gombak)

Jawapan :

Kisah Nabi Ayub AS terkena penyakit kerana perbuatan syaitan adalah kisah benar, wajib dipercayai kerana dipaparkan dalam al-Quran surah Sad ayat 41 yang bermaksud:

“Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba kami Nabi Ayub ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata, “Sesungguhnya aku diganggu oleh syaitan dengan lepayaan dan seksaan penyakit”

Ayat ini menjelaskan bahawa Nabi Ayub AS ditimpa kesusahan dan azab. Cuma persoalannya, apakah jenis penyakit yang dialami oleh beliau? Adakah benar seperti yang dijelaskan oleh penceramah tersebut seperti bernanah dan berkudis serta hancur daging dan sebagainya.

Penjelasan yang disebut oleh penceramah itu memang ada sandarannya. Dalam tafsir al-Qurtubi menjelaskan badan Nabi Ayub AS gatal dan berkudis, digaru dengan kukunya sehingga berdarah. Baginda menggaru dengan menggunakan tembikar (jenis batu bata) sehingga daging-dagingnya berkecai.

Walau bagaimanapun, perlu disedari bahawa dalam kitab-kitab tafsir yang muktabar sekalipun, pengarangnya telah memasukkan kisah-kisah yang diistilahkan sebagai Isra’iliyyat iaitu cerita-cerita kaum Bani Israil. Kisah-kisah seperti ini memang terdapat dalam kitab-kitab, bagaimanapun ia tidak ada sandaran dan tiada hadith yang benar-benar sahih menceritakannya.

Malah dalam kitab Tafsir al-Qurtubi selepas mencatat cerita seperti yang saya sebutkan tadi, penulisnya menghuraikan bahawa cerita-cerita Isra’iliyyat ditolak oleh ulama muktabar secara keseluruhannya.

Pada hemat saya, setelah melihat banyak tafsir yang menceritakan kisah Nabi Ayub AS terkena ibtila’, memang benar Iblis laknatullah berjaya mengenakan Nabi Ayub AS dengan gangguan fizikal.

Dengan kejahatan Iblis itu baginda terganggu dan menjadi susah untuk beribadah dan berasa sengsara disebabkan gatal-gatal badan yang tidak henti-henti. Keadaan ini juga menyebabkan emosi Nabi Ayub AS terganggu, fikiran berkecamuk atau bercelaru bila mengenangkan gangguan ke atas dirinya itu.

Penyakit tersebut tidaklah sampai badannya hampir luluh, berkudis, bernanah sehingga sesiapa yang melihatnya berasa jijik, loya dan hampir termuntah.

Jika ini berlaku, kenabian atau kerasulan Nabi Ayub AS akan terjejas kerana tidak ada orang yang mahu menghampirinya atau orang yang melihatnya akan melarikan diri.

Menurut Ibnu Abbas, Nabi Ayub AS terkena penyakit itu selama tujuh tahun, tujuh bulan, tujuh hari. Akhirnya Nabi Ayub AS mengadu kepada Allah SWT seperti yang terpapar dalam surah al-Anbia’ ayat 83-84 yang bermaksud:

“Dan ingatlah kisah Nabi Ayub ketika ia menyeru Tuhannya, “Sesungguhnya saya telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan yang lebih mengasihi daripada segala yang mengasihi. “Maka kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya, keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik.”

Cara Allah SWT hendak menyembuhkan penyakitnya adalah dengan cara:

Pertama : Doa Nabi Ayub AS seperti yang disebutkan di atas.

Kedua : Allah SWT mewahyukan kepada Ayub AS menghentakkan kakinya ke bumi yang dipijaknya beberapa kali, sehingga terpancar air daripada bumi itu.

Ketiga : Mengambil air itu untuk diminum dan mandi.

Setelah berbuat demikian, Allah SWT menyembuhkan Nabi Ayub AS daripada penderitaannya untuk menyambung semula tugas kerasulan baginda.

Walau apapun ulasan tentang cerita ini, kita hendaklah mengambil iktibar bahawa Allah SWT memberikan contoh kepada kita perihal kesabaran seorang Nabi yang terseksa hidupnya akibat gangguan syaitan. Akhirnya, setelah begitu lama menanggung kesusahan barulah Nabi Ayub AS berdoa ke hadrat Allah SWT memohon kesembuhan, lalu Allah SWT memperkenankan doanya.

Petikan daripada buku Menjawab Persoalan Makhluk Halus bersama Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.