Benarkah Rasulullah SAW Tidak Pernah Mengubati Orang Sakit?

833

Soalan:

Saya mendengar seorang penceramah mengulas tentang sebuah hadith bahawa pernah dibawa kepada Rasulullah SAW seorang pesakit yang meminta untuk diubati. Rasulullah tidak mengubatinya, sebaliknya pesakit itu dirujuk kepada pengubat lain.

Penceramah tersebut mengatakan bahawa Rasulullah SAW tidak mengubati pesakit. Oleh itu, bagaimana kita hendak mengaitkan ilmu perubatan Islam dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran sedangkan Nabi SAW tidak melakukannya? Mohon penjelasan tentang kesahihan hadith tersebut. (Ahmad Nizam Yaakub, Hulu Klang)

Jawapan:

Hadis yang disebutkan oleh penceramah tersebut adalah hadith sahih diriwayatkan oleh Imam Muslim yang didapati dalam banyak kitab seperti Sahih Muslim dan Zad al-Ma’ad oleh Ibn al-Qayyim dalam juzuk keempat.

Antara hadith yang berkenaan ialah:

Maksudnya: “Daripada Ibn Syihab al-Zuhri beliau berkata: Seorang lelaki telah dipatuk ular berbisa lalu dibawa kepada Rasulullah SAW, lalu Nabi SAW bertanya kepada sahabat: “Adakah terdapat orang yang mahir mengubati bisa ular?” Sahabat memberitahunya, ada, iaitu Alu (keluarga) Hazmin, mereka terkenal dengan ilmu pengubatan ini, tetapi apabila engkau (Rasulullah SAW) melarang jampi, maka mereka telah meninggalkannya. Lalu Nabi bersabda: “Bawakan ‘Imarah ibn Hazmin”. Lalu mereka membawanya bertemu Rasulullah SAW dan mendengarnya, Nabi SAW bersabda: “Tidak mengapa” dan baginda membenarkan ‘Imarah membacanya untuk tujuan pengubatan.”

Lalu beliau melakukannya dan pesakit itu sembuh dengan izin Allah SWT.

Permasalahan yang saudara bangkitkan dan ulasan penceramah tersebut sememangnya mencelarukan orang yang mendengarnya malah boleh memecahbelahkan orang ramai yang kurang ilmu pengetahuan tentang hadith.

Orang yang banyak membaca dan memahami ilmu syariat, khususnya menguasai hadith Nabi boleh memahami hadith ini. Kebiasaannya orang yang mahir dengan hukum tidak mudah untuk membuat kesimpulan semata-mata dengan hanya menjumpai satu hadith sahih sahaja. Adalah tidak wajar daripada satu hadith sahaja penceramah tersebut membuat kesimpulan dan menyalahkan orang lain kononnya Nabi SAW tidak pernah mengubati pesakit.

Saya dapati amat banyak hadith-hadith sahih tentang pengubatan. Bagi memudahkan kita memahami hadith-hadith ini, saya membuat kesimpulan bahawa hadith-hadith sahih tersebut dikumpulkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, diletakkan dalam satu bab khusus yang dipanggil Bab al-Tadawi iaitu Bab Mengubati Penyakit. Saya menyimpulkan semua hadith sahih tentang bab pengubatan penyakit ini sekurang-kurangnya dalam enam keadaan yang berlainan tetapi mempunyai signifikasi yang sendiri.

Senario Pertama

Pesakit datang berjumpa Rasulullah SAW, meminta Rasulullah SAW sendiri merawat mereka dengan bacaan ayat al-Quran ataupun daripada hadith baginda. Hal ini ada disebut dalam hadith daripada Uthman Ibnul ‘Ass dan ‘A’isyah binti Abu Bakar yang menyebut bahawa Rasulullah SAW mengubati keluarganya yang sakit. Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari.

Demikian juga Anas bin Malik menceritakan bahawa Tahbit al-Banani datang kepada baginda dan mengaku sakit lalu Nabi SAW merawatnya. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Anas bahawa telah datang seorang pesakit kepadanya lalu Anas berkata, mahukah kamu aku jampi ke atas kamu sebagaimana jampi Rasulullah SAW ke atas ku? Jawabnya mengapa tidak. Lalu Anas menjampinya dengan jampi Rasulullah SAW. Hadith ini turut diriwayatkan oleh Imam Bukhari.

Senario Kedua

Nabi SAW mengajar para sahabat menjampi pesakit untuk mereka menjadi pengubat. Hal ini sabit dengan hadith dari ‘A’isyah, Uthman Ibnul ‘Ass dan Anas bin Malik, bahawa Nabi mengajar bacaan untuk mengubati penyakit.

Senario Ketiga

Nabi SAW pernah ditimpa sakit, tetapi baginda tidak mengubati dirinya sebaliknya diubati oleh Jibrail AS. Hal ini boleh dilihat daripada Hadith Abu Sa’id al-Khudri yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, beliau berkata “Jibrail datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata, wahai Muhammad, apakah anda mengadu kesakitan? Jawab baginda, ya. Lalu Jibrail menjampikan baginda.”

Ini menunjukkan, bahawa pasti setiap yang sakit ada perawat yang tertentu. Pesakit perlu dirujuk kepada perawat atau pakai lain dalam bidang-bidang tertentu.

Senario Keempat

Nabi SAW mengalami sakit dan baginda merawat dirinya sendiri. Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim bahawa ‘A’isyah RA menceritakan Rasulullah SAW mengadu kesakitan lalu baginda mengubati dirinya sendiri dengan membaca ayat-ayat al-Quran.

Senario Kelima

Pesakit yang mahir ataupun pakar boleh diubati oleh orang yang kurang pakar. Hal ini berlaku ketika Jibrail merawat Rasulullah SAW ketika baginda sakit dan dalam hadith sahih menceritakan peristiwa menjelas kewafatan baginda, baginda meminta ‘A’isyah RA merawat baginda.

Pada mulanya, ‘A’isyah enggan merawat Nabi SAW kerana mengenangkan siapalah dirinya jika hendak dibandingkan dengan Rasulullah SAW. Disebabkan Rasulullah sendiri yang meminta ‘A’isyah membacanya, lalu ‘A’isyah membaca ayat-ayat al-Quran dengan memegang tangan Rasulullah SAW sambil mengharapkan keberkatan yang lebih dari tangan Nabi yang suci itu. Dalam senario ini juga, Nabi SAW meminta ‘A’isyah membaca sebekas air untuk didoakan, setelah didoakan Nabi mencelupkan tangannya di dalam air tersebut lalu Nabi menyapukannya di muka dan di badan baginda.

Senario keenam

Nabi tidak mengubat pesakit (sedangkan baginda boleh berbuat demikian). Senario ini sama sebagaimana yang disebutkan dalam soalan tadi. Ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW mengajar kita apabila ada pesakit yang serius (seperti dipatuk ular dalam hadith tadi), maka diarahkan supaya dirujuk kepada pakar segera.

Sememangnya Nabi SAW pakar dalam segalanya, tetapi baginda memberi peluang untuk dirujukkan hal-hal tertentu kepada sahabat-sahabat yang lain. Oleh itu, hadith yang saudara persoalkan hanyalah salah satu episod daripada cara pengubatan Rasulullah SAW.

Petikan daripada buku Menjawab Persoalan Makhluk Halus bersama Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.