Kaedah Syaitan Dalam Menyesatkan Manusia

1,490

Sekiranya ada orang yang telah menekuni suatu pekerjaan selama lima puluh tahun misalnya dapat dipastikan jika dia sangat faham dan mengerti selok belok, tatacara dan segala rahsia pekerjaan tersebut.

Demikian pula iblis, sejak Allah SWT mengusirnya dari syurga hingga sekarang ini, pekerjaannya hanyalah menyesatkan dan menjerumuskan manusia. Masa serta pengalamannya yang lama, membantunya untuk menciptakan berbagai-bagai cara dan seni menjerumuskan serta menggoda dan menyesatkan manusia. Di antaranya ialah:

  1. Menghiasi Kebatilan

Sesungguhnya, kebatilan mempunyai bayangan yang sangat buruk dan ciri-ciri yang sangat menjijikkan. Hal ini adalah kerana syaitan sentiasa bersandar pada kebatilan ini dan membungkusnya dengan penutup yang sangat indah serta memakaikan selendang yang menarik, menghiasi dan memperindahnya. Kemudian dia (laknatullah) mulai menggoda dan menjerumuskan hamba-hamba Allah SWT dengan kebatilan tersebut. Hal itu dapat kita ketahui berdasarkan cerita iblis tentang dirinya sendiri, ketika ia berkata kepada Tuhan-nya:

“Iblis berkata: “Ya Tuhanku! Oleh sebab Kamu telah memutuskan bahawa aku sesat, aku pasti akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya.”(Surah Al-Hijr:39)

Iblis mengawal godaannya dengan menghiasi (membuat manusia memandang baik terhadap perbuatan dosa dan maksiat). Kemudian baru menggoda dan menyesatkannya.

Ibnul Qayyim berkata, “Di antara tipu daya syaitan ialah selalu memperdaya akal sehingga dia boleh menipunya. Tidak ada orang yang selamat daripada sihir syaitan kecuali yang dikehendaki Allah SWT selamat.”

Syaitan sentiasa menjadikan manusia memandang baik perbuatan yang membahayakannya. Disebabkan itu iblis menggambarkan bahawa hal itu merupakan perbuatan yang paling bermanfaat baginya. Sebaliknya pula dia menjauhkan manusia daripada perbuatan yang sebenarnya paling bermanfaat dan menggambarkannya sebagai hal yang membahayakannya.

La ilaha illallah! Berapa banyak manusia yang dihipnotis dengan sihir ini? Seberapa jauh fitnah ini menghalang antara hati, Islam, iman dan ihsan? Berapa banyak kebatilan yang kelihatan dan muncul dalam bentuk yang dipandang baik? Lalu dia menghinakan kebenaran dan menggambarkannya dalam bentuk yang sangat mengerikan?

Berapa ramai para pemikir yang menyimpang dalam pemikiran? Berapa banyak para ilmuan yang terjerumus ke dalam lembah kehinaan? Inilah yang menghipnotis akal hingga menjerumuskan pemiliknya kepada hawa nafsu yang berbeza dan pelbagai pendapat lagi?

Oleh itu syaitan pun menempuhi jalan kesesatan bersama mereka. Dia berusaha untuk menjerumuskan mereka ke dalam jurang-jurang kehancuran. Di samping itu, iblis membuat mereka memandang baik perbuatan menyembah berhala, memutuskan tali silaturahim, mengubur anak perempuan hidup-hidup dan menikahi ibu sendiri.

Bersama kekafiran, dia menjanjikan syurga kepada mereka. Demikian juga dengan berbagai-bagai bentuk kefasikan dan kederhakaan mereka. Dia menampakkan syirik sebagai pengagungan , dan pengingkaran sifat-sifat Allah s.w.t., keagungan-Nya, firman-Nya di dalam kitab-kitab suci-Nya sebagai bentuk penyucian. Dia menghiasi perbuatan meninggalkan amar makruf dan nahi mungkar, dengan alasan kasihan kepada manusia, berbuat baik kepada mereka dan sebagai bentuk aplikasi daripada firman Allah s.w.t.:

“Wahai orang yang beriman! Jagalah diri kamu; tiadalah orang yang sesat itu akan (mampu) memberi mudarat kepada kamu apabila kamu telah mendapat petunjuk. Hanya kepada Allah kamu semua akan kembali, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah Al-Ma’idah: 105)

Disebabkan itu mereka berpaling daripada ajaran Rasulullah s.a.w. dengan alasan taklid pada ajaran nenek moyang, dan merasa cukup dengan perkataan orang yang lebih pintar daripadanya. Bersifat munafik dan menjilat terhadap agama Allah s.w.t. dengan alasan kebebasan akal untuk memilih apa saja yang dia kehendaki.

2. Menamakan Kemaksiatan dengan Nama-Nama yang Menyenangkan

Salah satu daripada bentuk godaan dan tipu daya syaitan adalah dengan memberi nama kekejian dan kemaksiatan dengan nama-nama yang disukai agar keburukan dan kekejian kurang jelas. Iblis yang telah menamakan pohon terlarang dengan Syajaratul Khuldi (Pohon Kekal) seperti yang dinyatakan di dalam firman Allah SWT:

“Kemudian syaitan membisikkan fikiran jahat kepadanya, dengan berkata: Wahai Adam! Mahukah aku tunjukkan kepada kamu pohon khuldi dan kekuasaan yang tidak akan binasa?” (Surah Taha: 120)

Ibnul Qayyim berkata, “Para pengikut iblis menamakan perbuatan-perbuatan terlarang dengan nama-nama yang mereka suka. Mereka menamakan khamar dengan ‘Ummul Afrah’ (Induk Kesenangan).”

Mereka juga yang menamakan riba dengan “faedah” (tambahan), pelepasan aurat perempuan dengan “kebebasan perempuan”, ikhtilath (percampuran) antara lelaki dengan perempuan dengan ‘kemajuan’ dan “masyarakat moden”, pelakon, penyanyi, muzik, perbuatan kotor dan sejenisnya dengan nama “seni”. Semua ini mereka lakukan adalah untuk menarik hati manusia agar cenderung kepada kekejian dan keburukan.

3. Menamakan ketaatan dengan nama-nama yang tidak disukai

Sesungguhnya kebenaran mempunyai cahaya yang terang benderang. Sekiranya kebenaran ini dalam bentuk aslinya sebelum dinoda dicemarkan, nescaya jiwa manusia akan cenderung untuk tertarik kepadanya.

Pendengaran dan hati mereka akan tertumpu dan tunduk kepadanya. Oleh itu, peranan syaitan yang pertama ialah memburukkan citra kebenaran, mencemari dan menamakannya dengan nama-nama yang tidak disukai. Hal ini terbukti ketika syaitan membisikkan kepada para penolong dan perajuritnya dari kaum-kaum Ad yang kafir agar mereka berkata kepada Nabi Hud AS seperti berikut:

“Ketua-ketua yang kafir daripada kaumnya berkata: “Sesungguhnya kami memandang kamu benar-benar dalam kebodohan dan sesungguhnya kami menganggapmu termasuk orang yang berdusta.” (Surah Al-A’raf: 66)

Selain itu syaitan juga membisikkan kepada para perajuritnya dari kaum Madyan yang kafir untuk berkata kepada manusia:

“Dan ketua-ketua kaum Syu’aib yang kafir berkata (kepada sesamanya): Sesungguhnya jika kamu mengikut Syu’aib, tentulah kamu termasuk orang yang rugi.” (Surah Al-A’raf: 90)

Seterusnya syaitan turut membisikkan kepada para perajuritnya dari kaum Firaun yang kafir untuk menamakan Musan dan Harun AS sebagai tukang sihir, sebagaimana firman Allah SWT:

“Mereka berkata: ‘Sesungguhnya dua orang ini ialah ahli sihir yang hendak mengusir kamu dari negeri ini dengan sihirnya dan hendak melenyapkan kedudukan kamu yang utama’.” (Surah Taaha: 63)

Syaitan juga membisikkan kepada para perajuritnya dari kalangan kafir Quraisy untuk menamakan Nabi Muhammad SAW sebagai tukang sihir. Selain itu syaitan turut memberi nama ahli perdukuran, tukang syair, terkena sihir, orang gila atau nama-nama buruk yang lain, sebagaimana firman-Nya:

“Atau (mengapa tidak) diturunkan kepadanya harta kekayaan atau (mengapa tidak ada) kebun baginya, sehingga dia dapat makan daripada hasilnya?” Dan orang zalim itu berkata: “Kamu hanyalah mengikutti seorang lelaki yang terkena sihir.” (Surah Al-Furqan: 8)

Namun begitu Allah SWT menafikan dan menyangkal kedustaan, kepalsuan dan tipu daya yang dinisbatkan kepada Nabi Muhammad SAW. Allah SWT berfirman:

“Maka peringatkanlah, kerana dengan nikmat Tuhanmu engkau (Muhammad) bukanlah seorang tukang tenung dan bukan pula orang gila.” (Surah At-Tur: 29)

Allah SWT juga berfirman:

“Dan ia (al-Quran) bukanlah perkataan seorang penyair. Amatlah sedikit kamu beriman kepadanya. Dan bukan juga perkataan tukang tilik. Amatlah sedikit kamu mengambil peringatan darinya. Ia (al-Quran) adalah wahyu yang diturunkan dari Tuhan seluruh alam”. (Surah Al-Haqqah: 41-43)

Kemudian syaitan turut membisikkan kepada perajuritnya dari kafir Quraisu untuk menamakan Nabi Muhammad SAW dengan nama Shabi’in (menyeleweng dari ajaran nenek moyang).

Syaitan sentiasa melancarkan aksi dan tipu dayanya, dengan cara dan kaedah yang sama hingga zaman kita sekarang ini. Syaitan membisikkan kepada para perajuritnya, untuk menamakan orang-orang yang berpegang teguh pada ajaran Nabi Muhammad SAW dan sunahnya secara lahir dan batin sebagai fundamestalis dan fanatik.

Di samping itu, mereka menamakan orang-orang yang menjaga diri daripada kemaksiatan, kefasikan dan perbuatan terlarang yang lain sebagai orang yang “kurang pergaulan”. Mereka menamakan hijab (tudung) yang disyariatkan Islam dengan “kerugian”, serta menamakan perempuan yang bertanggungjawab pada ajaran serta perintah Tuhan-nya dan duduk di dalam rumahnya dengan “ketinggalan zaman” dan “kuno”. Semua itu merupakan bisikan dan tipu daya syaitan kepada manusia.

Namun di sini, saya hendak memanggil para penegak kebenaran. Jangan sekali-kali semua ini membuat kalian patah semangat dan lemah sehingga berundur dan berpaling daripada sunah Nabi Muhammad SAW. Seharusnya kalian harus lebih kukuh, komitmen serta mengatakan:

Janganlah kamu membisikku, hai kelawar di kegelapan
Dengan istilah asasi, radikal dan bahagian hadapan
Janganlah kamu menuduh kami sebagai orang aneh
Sesungguhnya kami meniti jalan yang diajar bagainda
Nabi Muhammad SAW
Kami memberikan dalil pada setiap perkataan, baik berupa ayat
Mahupun hadis mulia yang disandarkan
Kami juga mengetahui naskh dan umum
Di samping kami juga memahami hal yang mutlak dan muqayyad (terikat)
Kami memahami teks firman Ilahi secara sempurna
Kamu jangan mengira bahawa pemahaman serupa
dengan pendapat picisan
Apabila teks (al-Quran dan sunah) saling kontra
Kami mengambil pendapat para ulama (Imam mujtahid) yang diberi petunjuk.

4. Syaitan memasuki manusia dari pintu yang paling disenangi jiwanya

Sesungguhnya, musuh Allah tidak akan masuk pada diri manusia kecuali dari pintu yang disukai jiwanya. Dengan begitu tujuan direalisasikan sehingga syaitan mendapatkan penolong untuk hawa nafsunya dan penyokong hasratnya.

Ibnul Qayyim berkata, “Ini merupakan pintu yang paling besar bagi syaitan untuk menjerumuskan manusia. Syaitan memasuki diri manusia melalui saluran ini. Dia berjalan di dalam diri manusia melalui aliran darah, sehingga dapat mempengaruhi nafsunya.

Kemudian bertanya kepadanya tentang apa yang disukai dan diinginkannya. Jika telah mengetahuinya, dia akan meminta pertolongan kepadanya untuk menjerumuskan pemiliknya dan akan masuk dari pintu ini.

Syaitan juga mengajarkan kepada bala tentera dan perajuritnya dari kalangan manusia. Apabila mereka hendak mendapatkan keinginan yang buruk dari orang lain, hendaklah mereka masuk dari pintu yang mereka sukai dan kehendaki.

Hal ini adalah kerana ini merupakan pintu yang tidak akan memberikan kerugian dan kegagalan bagi yang memasukinya. Sesiapa yang ingin masuk dari pintu lain, dia akan terhalang dan tidak mendapat apa yang dia inginkan.

5. Menyesatkan manusia secara berperingkat

Syaitan tidak akan mendatangi manusia dan mengatakan, “Lakukanlah kemaksiatan ini atau kerjakanlah kemungkaran ini.” Tetapi syaitan menjerumuskan manusia selangkah demi selangkah.

Orang-orang zaman dahulu mengatakan, “Bermula dari pandangan, lalu senyuman, kemudian perbincangan, mengikat janji lalu pertemuan.” Di tahap ini akan terjadi sesuatu yang dilarang. Oleh itu, Allah SWT berpesan kepada kita agar jangan sampai mengikuti jejak langkah dan bisikan syaitan. Allah SWT berfirman:

“Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Barang siapa mengikuti langkah-langkah syaitan, sesungguhnya dia (syaitan) akan menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan mungkar. Kalau bukan kerana kurniaan Allah dan rahmatNya kepadamu, nescaya tidak seorang pun di antara kamu bersih (daripada perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. (Surah Al-Nur: 21)

Hal ini merupakan seruan daripada yang penuh rahmat dan kasih sayang, daripada Allah Yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih kepada hamba-Nya sebagai peringatan agar tidak mengikuti jejak langkah dan bisikan syaitan. Selain itu, sebagai langkah berwaspada untuk menutup segala ruang pertama yang dapat dimasuki syaitan, untuk menghindarkan mereka dari penyesatan dan godaan syaitan.

Barang siapa yang memahami maksud-maksud syariat Islam, dia akan mengetahui hal ini secara jelas. Kaedah Saddudz Dzara’i termasuk dari sisi ini. Begitu pula dengan larangan seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang perempuan di tempat yang sunyi dan juga perintah menundukkan pandangan.

Wahai saudaraku yang budiman! Hendaknya anda menjadi orang yang sentiasa sedia dan berwaspada daripada segala tipu daya dan pujuk rayu syaitan terkutuk.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.