Wujudkah Wali Allah Pada Zaman Sekarang?

1,872

Soalan :

Saya mengenali seseorang yang mendakwa bahawa dirinya wali Allah. Beliau mengajar ilmu-ilmu agama dengan menggunakan taraf dirinya sebagai wali Allah. Bolehkah saya mempercayai dakwaan tersebut? (Abu huzaifah, Kuala Lumpur)

Jawapan :

Memang mudah untuk menuturkan perkataan “saya ialah wali Allah SWT” namun hakikatnya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui. Wali Allah SWT ialah orang yang paling patuh dan taat kepada Allah SWT. Antara sifat-sifat utama kepatuhan kepada Allah SWT ialah tawaduk atau merendah diri dalam semua keadaan, tidak riak (menunjuk-nunjuk amal kebaikan), jauh sekali mendabik dada dengan pelbagai kelebihan yang ada pada dirinya.

Para wali amat menjauhi sifat takbur atau sifat meninggi diri. Sifat tersebut merupakan sifat yang tercela dan tidak patut ada pada orang biasa, apatah lagi kepada orang yang berpengetahuan agama atau orang yang hampir dengan Allah SWT.

Sifat takabbur, besar diri adalah sifat Iblis laknatullah. Iblis bersifat takbur kerana enggan tunduk kepada Adam AS dengan alasan Adam AS dijadikan daripada tanah dan dirinya dijadikan daripada api. Iblis beranggapan bahawa api lebih mulia daripada tanah dan berasa tidak mungkin yang mulia akan tunduk kepada yang hina. Iblis enggan patuh kepada Adam AS sehingga menentang arahan Allah SWT. Iblis telah dilaknat dan dikutuk serta akan dimasukkan ke dalam neraka pada hari kiamat nanti.

Firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 13:

Maksudnya: Allah berfirman, “Turunlah engkau dari syurga ini kerana tidak patut engkau bersikap sombong di dalamnya, oleh sebab itu kelarlah sesungguhnya engkau dari golongan yang hina.”

Dalam sebuah hadith sahih, Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang ada di dalam hatinya sebesar zarah dari takbur.”

Dalam sebuah hadith qudsi, Allah berfirman:

Maksudnya: “Takbur itu selendangku, kemegahan itu sarangku (pakaianku), maka sesiapa di kalangan makhluk-Ku yang melucutkan daripada-Ku salah satu daripada kedua-duanya (iaitu dengan bersikap takbur atau bermegah), maka akan Aku humban dia ke dalam neraka.”

Saya tidak pernah berjumpa sebarang petikan atau cerita dalam sejarah Islam seorang wali Allah SWT yang mendabik dada atau mengaku dirinya sebagai wali Allah SWT.

Kebanyakkan daripada wali Allah SWT menyisih diri daripada masyarakat kerana mereka takut dikenali sebagai wali, mereka tawaduk sepanjang waktu, tidak bercakap banyak kerana takut tersalah.

Mereka bersifat zuhud dalam semua hal, tidak bermewah-mewah, tidak meminta dari makhluk dan tidak mengenakan bayaran kepada insan yang menggunakan khidmat mereka. Mereka tidak mengambil apa yang diberikan kepada mereka melainkan sekadar yang diperlukan sahaja.

Apabila berlaku dalam sesebuah masyarakat, orang yang mengaku dirinya sebagai wali, akan timbul persoalan pengakuan itu menunjukkan perbuatan mengagungkan diri sendiri. Tambahan pula sekiranya ada sesetengah pihak mengaitkan dengan bayaran tertentu sebagai khidmat ilmu kewaliannya, akan wujud permasalahan yang timbul daripada pengakuan yang sebegini.

Jika benar dirinya wali Allah SWT, biarlah Allah SWT sahaja yang menentukannya.

Mengenai pengakuannya sebagai wali, hendaklah dilihan amalan-amalan zahirnya, sekiranya ada perkara yang berlawanan dengan syarak atau amalan-amalan yang diketahui umum bercanggah dengan kehendak Allah SWT. Bukannya mudah hendak digelar sebagai wali. Mengistiharkan diri sebagai wali adalah sifat riak, riak bukan sifat wali.

Petikan daripada buku “Menjawab Persoalan Makhluk Halus” bersama Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Get real time updates directly on you device, subscribe now.