Apakah ilmu ladunni? Bolehkah ilmu ini dipelajari?

3,055

Soalan :

Saya sering kali mendengar kawan-kawan berbicara tentang ilmu yang disebut sebagai ilmu ladunni. Mereka mendakwa bahawa guru mereka memiliki ilmu ladunni. Apakah maksud ilmu ladunni? Bolehkah manusia mendapat ilmu tersebut dengan mempelajarinya? (Ahmad Hashim, Tasek Gelugor, Pulau Pinang)

Jawapan :

Saya pernah diajukan pelbagai soalan tentang ilmu ladunni. Ada yang meminta pengesahan daripada saya sama ada benarkah si pulan mempunyai ilmu tersebut atau ilmu ganjil yang digelar dengan ladunni.

Pada pengamatan saya, ilmu ladunni disebut dalam firman Allah dalam surah al-Kahfi ayat 65 yang bermaksud:

“Lalu mereka (Musa dan pembantunya) mendapati ada seorang dari hamba Kmi, yang telah Kami kurniakan kepadanya rahmat daripada Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu dari sisi Kami.”

Istilah yang digunakan dalam ayat ini ialah mil ladunna ‘ilma, daripada perkataan ini timbullah istilah al-‘Ilm al-Ladunniyy.

Ayat ini mengisahkan tentang Nabi Musa AS mengetahui ada seorang hamba Allah SWT yang dianugerahkan ilmu khusus daripada Allah SWT kepadanya tanpa sebarang perantaraan.

Menurut satu riwayat, hamba Allah SWT itu bernama Balya bin Malkan atau dikenali sebagai nama Nabi Khaidir, sempena nama kampungnya yang bernama Khaidharah.

Nabi Khaidir terkenal sebagai seorang yang mendapat ilmu ladunni yang diberikan oleh Allah SWT kelebihan mengetahui perkara-perkara ghaib.

Nabi Musa AS ingin berjumpa dengan Nabi Khaidir untuk belajar ilmu tersebut. Sebaik sahaja Nabi Musa AS ingin belajar dengan Nabi Khaidir, Nabi Khaidir menegaskan. “Kamu tidak boleh kerana kamu tidak sabar.”

Nabi Musa AS menyatakan kepada Nabi Khaidir bahawa dia datang mencarinya untuk belajar dan akan bersabar dengan apa jua keadaan.

Nabi Musa AS ternyata tidak sabar lalu kedua-duanya berpisah dan ilmu itu tidak diperturunkan kepada Nabi Musa AS. Kisah ini dirakam oleh Allah SWT dalam surah al-Kahfi.

Nabi Musa AS cuba mendapat ilmu ladunni itu dengan pergi mempelajarinya, sanggup mengikut apa sahaja kehendak Balya bin Malkan namun gagal sedangkan Nabi Musa AS adalah seorang yang penyabar. Ini menunjukkan bahawa seorang Rasul yang boleh bercakap dengan Allah SWT pun tidak mampu untuk mendapatkan ilmu ladunni, mana mungkin insan biasa boleh mendapat ilmu ladunni?

Saya merasakan bahawa ilmu ini anugerah Allah SWT. Orang yang mendapat ilmu ini terdiri daripada kalangan orang yang paling takut kepada Allah SWT, paling tawaduk dan paling sayang dengan ilmunya, takut Allah SWT menarik balik ilmu itu daripadanya dengan sentiasa melakukan ketaatan kepada Allah SWT.

Mereka yang memiliki ilmu ini sudah tentu tidak akan mendakwa atau mengaku mendapat ilmu ladunni atau dengan mudah mengajar ilmu ini kepada orang lain.

Ilmu yang biasa diterima oleh manusia adalah ilmu zahir atau disebut ilmu syariat. Ilmu inilah yang wajib dipelajari. Kita boleh menghampiri Allah SWT dengan mengamalkan semua saranan dalam ilmu syariat berdasarkan hukum-hakam yang termaktub dalam syariat Islam.

Orang yang mendakwa mereka mendapat ilmu ladunni dan cuba menurunkan kepada orang lain sebenarnya tertipu dengan perkara-perkara ghaib. Mereka hendaklah sedar bahawa bukan semua perkara yang ghaib datang daripada Allah SWT. Barangkali wujud sumber lain yang tidak diketahui, di situlah seseorang akan tertipu dengan apa yang diterimanya dan akhirnya terjebak dengan ajaran yang terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar.

Petikan daripada buku Menjawab Persoalan Makhluk Halus bersama Tuan Guru Dato’ Dri. Haron Din.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.