Adakah Bermimpi Penderitaan Ibu Di Alam Kubur Menunjukkan Arwah Ibu Terseksa?

2,795

Soalan :

Ibu kami baru meninggal dunia. Adik-beradik kami sering bermimpi dan mimpi kami hampir sama. Kami bermimpi ibu berada dalam kesusahan di alam kubur. Ibu menanggung pelbagai penderitaan. Seorang teman mengatakan bahawa seksa kubur tidak ada kerana pernah terbaca persoalan tersebut dalm sebuah majalah. Apakah pandangan Ustaz mengenai mimpi kami dan apakah cara untuk mengatasi seksa kubur? (Wahidah Abu Kasim, Pontian, Johor)

Jawapan :

Terserahlah kepada Allah SWT untuk membalas segala amalan orang yang telah meninggal dunia. Amalan baik pasti dibalas dengan nikmat, begitu juga sebaliknya. Semoga ibu saudari dirahmati oleh Allah SWT.

Alam kubur merupakan suatu realiti yang pasti akan ditempuhi oleh semua orang. Di dalamnya terdapat balasan baik ataupun jahat yang bergantung kepada amalan manusia ketika di dunia.

Seksa kubur adalah suatu yang benar. Terdapat nas-nas syarak yang tidak boleh diragukan berkaitan seksa kubur.

Antaranya firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 93 yang bermaksud:

“…Sungguh ngerinya sekiranya kamu melihat sewaktu orang-orang yang zalim menghadapi seksaan sakaratul maut, sedang para malaikat memukul (menyeksa) mereka dengan tangan mereka, sambil berkata (dengan menengking dan mengejek); “Keluarkanlah nyawamu (dari tubuh kamu sendiri), pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang amat menghinakan.”

Firman Allah SWT dalam surah al-Sajdah ayat 21 yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya kami merasakan kepada mereka sebahagian azab yang dekat (segera) sebelum azab yang lebih besar (di akhirat), supaya mereka bertaubat dan kembali ke jalan yang benar.”

Dalam Tafsir at-Tabari menyebut dengan jelas bahawa ayat tersebut merujuk kepada seksa kubur. Kenikmatan di alam kubur disebut dengan jelas sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Waqi’ah ayat 88-89 yang bermaksud:

“Kesudahannya, jika dia (yang mati itu) termasuk daripada orang Muqarrabin, maka dia akan beroleh ketenteraman, rezeki yang baik serta syurga yang penuh kenikmatan.”

Hadith-hadith Nabi Muhammad SAW banyak menceritakan perihal azab kubur. Antara lainnya Imam Bukhari menukilkan dalam kitabnya bab jenazah, hadith 1372, meriwayatkan hadith daripada ‘A’isyah RA yang bermaksud: “Beliau bertanya Rasulullah SAW tentang seksa kubur: Rasulullah SAW menjawab:

Maksudnya: “Seksa kubur adalah benar (haq)”

Imam Muslim meriwayatkan hadith daripada Ibnu Abbas RA yang bermaksud: “Bahawa Rasulullah SAW mengajar sahabat-sahabatnya doa untuk mengelak daripada azab kubur.” Hadith-hadith mengenai azab kubur adalah sabit dan dikatakan sampai kepada tahap mutawatir.

Semua dalil ini menggambarkan keyakinan bahawa wujudnya seksa kubur dan tidak ada sebab langsung untuk menginkarinya. Jika ada pendapat lain seperti yang rakan anda nyatakan daripada sebuah majalah, pendapat-pendapat yang disebut itu tidak berdasarkan kepada nas-nas syarak.

Hal-hal yang akan berlaku, khususnya selepas seseorang itu meninggal dunia tidak boleh dirujuk kepada fikiran atau menggunakan akal semata-mata. Ia mestilah didasarkan kepada wahyu dan nas-nas yang sahih.

Berkenaan mimpi yang dialami oleh saudari adik-beradik, saya tidak dapat mentafsirkannya kerana semua itu adalah mimpi. Mimpi memang ada yang benar dan ada yang tidak. Mimpi yang benar disebut al-Ru’ya al-Sadiqah dan yang tidak benar adghath ahlaam atau mimpi yang kosong, merepek atau mengingau. Kemungkinan juga mimpi saudari itu benar, oleh itu sebaik-baiknya saudari dan adik-beradik banyakkan berdoa kepada Allah SWT agar merahmati ibu yang telah meninggal dunia. Pohonlah agar Allah SWT mengampunkan dosa-dosa ibu anda (jika ada) dan merahmatinya.

Dalam satu hadith lain, Nabi SAW menyebut: “Roh orang-orang yang mati itu, tergantung-gantung di antara dunia dan alam kubur atau di alam kubur dengan sebab hutang-hutang yang tidak dilunaskan.”

Mungkin juga ibu saudari mempunyai hutang dengan kawan-kawan yang belum dijelaskan. Pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW, baginda enggan menyembahyangkan jenazah seorang sahabat yang meninggal dunia dalamkeadaan menanggung hutang sehinggalah anggota keluarga sahabat tersebut menjelaskan hutang-hutangnya. Selepas hutang itu dilangsaikan, barulah Rasulullah SAW menyembahyangkan jenazah tersebut.

Semua ini menggambarkan bahawa ada kemungkinan isyarat yang saudari terima berkaitan dengan masalah tersebut. Carilah puncanya dan selesaikanlah apa yang perlu. Semoga Allah SWT merahmati ibu saudari.

Petikan daripada buku Menjawab Persoalan Makhluk Halus bersama Tuan Guru Dato’ Dri. Haron Din

Get real time updates directly on you device, subscribe now.