Bolehkah Manusia Menentukan Seseorang Itu Masuk Syurga Ataupun Neraka?

874

Soalan:

Saya ada kemusykilan seperti berikut;
(a) Di sebuah kampung telah lahir satu ajaran yang diikuti oleh beberapa orang pengikut dan pengikut ajaran tersebut semakin bertambah dan kebanyakkan daripada mereka terdiri daripada orang luar dari kampung tersebut. Saya difahamkan mereka mengikuti ajaran Tok Ayah (gelaran mereka), mereka akan ditabalkan menjadi “Wali” oleh Tok Ayah dengan bayaran tertentu. Persoalannya bolehkah manusia menabalkan seseorang sebagai Wali Allah?
(b) Bolehkah seorang manusia walau setinggi mana darjat ketakwaannya kepada Allah SWT, menentukan nasib seseorang akan dimasukkan ke dalam syurga sekiranya mengikut tarekatnya dan berjanji akan menyelamatkan pengikutnya daripada azab neraka?
(Muhammad Abu Kasim, Bagan Serai)

Jawapan (a):

Istilah Tok Ayah, Abuya atau Ayah Pin memang biasa kita dengar dalam kehidupan seharian. Berkaitan dengan soalan ini, terdapat ajaran yang disampaikan dan ajaran itu mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Islam berkembang atau perintah Nabi Muhammad SAW:

Maksudnya: “Sampaikanlah kepada manusia daripada saya walaupun dari satu ayat”.

Dakwah ialah salah satu daripada tugas-tugas penting untuk menyebarkan Islam yang sebenar kepada masyarakat. Masyarakat yang peka kepada ilmu dan ingin mendapatkan kelebihan-kelebihan yang dimiliki oleh orang-orang yang berilmu akan mencari Ustaz, Guru, Tok Ayah, Abuya, dan lain-lain untuk mendapat bimbingan ke arah mendekati Allah SWT.

Terdapt ajaran yang disampaikan kepada masyarakat diasaskan kepada ilmu yang tulen dan tidak menyeleweng iaitu ilmu yang meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Namun terdapat ilmu yang tidak mungkin boleh disampaikan kepada masyarakat iaitu ilmu untuk mengangkat seseorang kepada martabat wali.

Perlu difahami bahawa meningkatkan darjat manusia kepada darjat yang tinggi bukanlah kerja manusia, Allah SWT yang berkuasa mengangkat darjat orang-orang yang beriman kepada pelbagai peringkat.

Apabila ada Tok Ayah hendak menabalkan atau melantik seseorang menjadi wali, maka mungkin dimaksudkan itu bukan wali Allah, tetapi itu wali kepada Tok Ayah yang memberi maksud pembela atau yang dekat dengan Tok Ayah. Wali Allah hanya diangkat oleh Allah SWT sahaja.

Melihat kepada perkara yang berlaku, apabila seseorang itu mengangkat orang lain menjadi wali Allah SWT, sudah tentu ajaran tersebut menyimpang daripada maksud wali Allah SWT yang sebenar.

Jawapan (b):

Ketinggian darjat ketakwaan seseorang hanya diketahui oleh Allah SWT sahaja. Seseorang itu tidak mendapat jaminan untuk masuk syurga melainkan dengan kemuliaan, kerahmatan dan menurahan Allah SWT.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda kepada anak baginda iaitu Fatimah:

Maksudnya: “Wahai Fatimah binti Rasulullah, berbuatlah amal yang baik kerana Allah, kelak di akhirat, ayah tidak dapat membelamu dihadapan Allah SWT.”

Daripada hadith Hudhaifah ini Nabi SAW yang mempunyai al-Syafa’ah al-‘Uzma bermaksud syafaat yang tertinggi yang boleh memberi pertolongan pada hari Akhirat, Nabi SAW menyuruh puterinya beramal dan bersungguh untuk mendapat keredhaan Allah SWT, kerana baginda sendiri pun tidak dapat membela anaknya sekiranya amalan di dunia tidak diterima oleh Allah SWT.

Oleh itu, setinggi mana pun darjat seseorang itu tidak boleh menjamin dirinya sendiri masuk syurga, apatah lagi memberikan jaminan kepada orang lain masuk syurga dan terlepas daripada api neraka.

Pada pandangan saya, dakwaan tersebut tidak berasas sama sekali. Pada pandangan hukum syarak, tiada siapa yang mampu untuk meramalkan perkara-perkara ghaib.

Petikan daripada buku “Menjawab Persoalan Makhluk Halus” bersama Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Get real time updates directly on you device, subscribe now.